Bottega Veneta 50 Tahun: Sambutan Intrecciato Ikonik Dan Gah
bottega veneta 50 tahun

50 Tahun Keanggunan: Bottega Veneta Hadir Dengan Kempen ‘Craft is our Language’

Sempena Bottega Veneta 50 tahun, rumah fesyen mewah dari Itali ini memperkenalkan kempen istimewa bertajuk Craft is our Language untuk meraikan ulang tahun ke-50 teknik anyaman kulit ikonik mereka, Intrecciato. Lebih daripada sekadar teknik, Intrecciato menjadi lambang seni buatan tangan, keterhubungan budaya, dan warisan yang kekal relevan sepanjang zaman.

Penghormatan kepada keindahan gerak tangan

Dilancarkan secara rasmi oleh Bottega Veneta, kempen ini diabadikan dalam bentuk visual menakjubkan oleh jurugambar Jack Davison dan koreografi oleh Lenio Kaklea. Ia memberi penghormatan kepada keindahan gerak tangan sebagai bentuk komunikasi universal. Melalui gabungan gambar dan filem, Craft is our Language menampilkan barisan personaliti terkenal merentas bidang termasuk pelakon Julianne Moore, artis Lauren Hutton, pemuzik Jack Antonoff, pengarah Dario Argento, penyanyi Neneh Cherry, serta bintang Korea Selatan, I.N.

Mengetengah para artisan Bottega Veneta 50 tahun

Lebih istimewa, kempen ini juga mengetengahkan para artisan Bottega Veneta sendiri. Mereka berdialog dengan artis dan tokoh seni dalam filem pendek yang menyentuh aspek budaya, kemahiran, dan penciptaan. Ia merungkai bagaimana peranan tangan yang sering dipandang remeh sebenarnya memainkan peranan besar dalam menyampaikan emosi, tradisi dan keindahan.

See also
Identiti Tersendiri Amal Clooney

Teknik Intrecciato, yang mula diperkenalkan pada tahun 1975, memerlukan berjam-jam malah hari untuk disiapkan. Jalur kulit halus dianyam secara tangan ke dalam panel kulit atau dibentuk di atas acuan kayu. Susunan diagonal yang menjadi identiti Intrecciato melambangkan keunikan serta ketelitian hasil kerja tukang dari wilayah Veneto, Itali. Walaupun Bottega Veneta mengamalkan pendekatan tanpa logo, teknik ini sendiri telah menjadi identiti global jenama tersebut.

Inspirasi buku klasik tahun 1963

Lebih menarik, Craft is our Language juga diinspirasikan oleh buku klasik tahun 1963, Supplemento al Dizionario Italiano karya seniman Milanese, Bruno Munari, yang menghimpunkan isyarat tangan rakyat Itali. Sebuah buku edisi khas akan diterbitkan pada bulan September ini, menampilkan 50 gerak tangan yang mewakili bahasa visual serta nilai-nilai Bottega Veneta.

Kempen ini menandakan lebih daripada sekadar ulang tahun, ia adalah penghormatan kepada warisan, kesenian, dan semangat kolaborasi. Dengan meraikan Bottega Veneta 50 tahun, jenama ini terus menegaskan bahawa kemewahan sejati bukan terletak pada lambang atau trend, tetapi pada ketulenan hasil tangan, warisan budaya, dan ekspresi kreatif yang tidak lapuk dek waktu.

See also
Gaya Halloween Heidi Klum

Tonton video kempen “Craft is our Language” di bawah.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by GLAM Malaysia (@glammalaysia)

Artikel berkaitan: Louise Trotter Mengukir Jejak Baru Di Bottega Veneta