GLAM First: Di Sebalik Solekan Ikonik Che’ Som Lakonan Nabila Huda
Di sebalik transformasi watak-watak yang menghidupkan layar perak, berdirinya sosok senyap yang mencurahkan kreativiti dan ketelitian — jurusolek profesional yang tahu bicara wajah lebih dari kata-kata. Dalam edisi eksklusif ini, GLAM membawakan perbualan istimewa bersama Ezad Ibrahim, jurusolek filem yang bertanggungjawab menghasilkan solekan ikonik watak Che’ Som menerusi filem Gayong.
Apakah rujukan atau inspirasi utama anda dalam menghasilkan solekan untuk watak Che’ Som?
Sejurus menerima skrip, perkara pertama yang terlintas di fikiran saya ialah visual klasik Gadis Kretek — yang menjadi rujukan utama dalam mencorakkan solekan Che’ Som. Saya tertarik dengan sentuhan solekan yang minimalis tetapi tetap memancarkan aura anggun. Memandangkan Gayong merupakan sebuah filem biografi epik, saya turut meneliti foto-foto wajah sebenar Che’ Som untuk memastikan solekan yang dihasilkan benar-benar autentik dan berlandaskan rujukan realistik.
Bagaimana anda memilih palet warna asas untuk menyerlahkan karakter Che’ Som — adakah lebih kepada neutral, earthy atau tona yang lebih lembut?
Saya memilih palet earthy yang berpaksikan rona kulit semula jadi Nabila Huda. Objektif saya adalah untuk menonjolkan kecantikan asli tanpa solekan berlebihan, memandangkan imej asal Che’ Som yang boleh didapati dalam talian juga memperlihatkan penampilan yang cukup ringkas dan tidak keterlaluan.
Berapa lama masa yang diambil untuk proses solekan Che’ Som setiap kali penggambaran?
Keseluruhan proses solekan dan dandanan rambut mengambil masa kira-kira dua jam sebelum kamera mula bergulir.
Apakah produk atau alatan yang anda anggap sebagai ‘wajib ada’ untuk mencipta solekan Che’ Som?
Antara produk kegemaran saya untuk solekan tipis dan semula jadi ialah Dior Backstage Face & Body Powder-No-Powder — ia memberikan kemasan halus tanpa nampak terlalu ‘berbedak’.
Apakah teknik atau produk signature anda untuk karakter ini?
Saya menggunakan Dior Backstage Foundation — namun saya memilih tona yang sedikit gelap daripada warna kulit asal Nabila untuk mencipta efek kulit tanned yang lebih bersifat sinematik. Ini menjadi antara teknik signature saya dalam menjayakan transformasi watak Che’ Som.
Sebagai jurusolek filem, bagaimana anda pastikan solekan kekal cantik dan konsisten sepanjang hari penggambaran?
Persediaan kulit (skin prep) adalah elemen terpenting sebelum memulakan solekan. Saya juga menggunakan One/Size On ‘Til Dawn Mattifying Waterproof Setting Spray bagi memastikan solekan kekal rapi, segar dan tidak mudah luntur sepanjang penggambaran.
Apakah cabaran terbesar dalam mencipta solekan Che’ Som agar kelihatan realistik dan menyentuh emosi?
Cabaran utama saya adalah untuk ‘menghidupkan’ watak Che’ Som di layar perak, lebih-lebih lagi kerana ini merupakan kali pertama saya menyolek Nabila Huda untuk filem layar lebar. Ia satu penghormatan besar buat saya, namun dalam masa yang sama, turut mendatangkan sedikit tekanan kerana solekan ini perlu menyerupai wajah asal Che’ Som secara tepat — dari gaya rambut hinggalah ekspresi wajah.
Bagaimana anda mengekalkan keseimbangan antara solekan dramatik filem dan ekspresi wajah pelakon?
Saya akan menyesuaikan intensiti solekan mengikut emosi dan naratif setiap babak. Sebagai contoh, untuk babak yang melankolik, saya hanya akan gunakan pelembap bibir dan mengurangkan pemakaian produk lain. Untuk babak yang ceria, saya tambahkan sedikit warna agar ia kelihatan hidup dan ekspresif.
Sebagai jurusolek, bagaimana anda menterjemahkan emosi dan jalan cerita melalui solekan?
Saya sentiasa merujuk kepada jalan cerita dan berbincang dengan Nabila Huda untuk menyusun padanan solekan, gaya rambut dan busana yang sesuai. Setiap babak diteliti satu demi satu — termasuk mengambil kira suasana dan latar tempat — agar penampilan keseluruhan benar-benar selari dengan mood dan naratif skrip.
Apakah respon paling bermakna yang anda terima tentang solekan Che’ Som — sama ada dari pelakon mahupun penonton?
Momen paling menyentuh hati adalah apabila Nabila memuat naik imej Che’ Som di media sosial dan ramai yang meninggalkan komen bahawa wajahnya benar-benar menyerupai Che’ Som yang sebenar. Ia satu pengesahan emosi buat saya — bukti bahawa usaha yang dicurahkan dalam solekan dan dandanan itu diterima dan dihargai.
ARTIKEL BERKAITAN: 10 Pasangan Selebriti Malaysia Pilihan GLAM