Kecantikan Bermula Dari Usus? Ini Makanan Terbaik Untuk Kulit
Apabila berbincang tentang penjagaan kulit, ramai yang hanya menumpukan pada produk luaran seperti pencuci muka, serum, masker dan pelindung matahari. Tapi, tahukah anda bahawa kecantikan sebenarnya bermula dari dalam? Ya, usus yang sihat adalah asas kepada kulit yang berseri. GLAM berkongsi antara makanan terbaik untuk kulit anda tampak sihat.
Usus Sihat, Kulit Lebih Bersinar
Usus memainkan peranan penting dalam kesihatan keseluruhan, termasuk kesihatan kulit. Ia bertindak sebagai pusat penyerapan nutrien dan pembuangan sisa toksik. Bila usus tidak sihat atau sistem penghadaman terganggu, toksin mudah terkumpul dalam badan.
Toksin ini akhirnya keluar melalui kulit dan menyebabkan masalah seperti jerawat, keradangan, kulit kusam dan tidak sekata. Sebaliknya, bila usus sihat dan seimbang, kulit akan menerima cukup nutrien dan mampu membaiki diri secara semula jadi.
Oleh itu penting bagi kita untuk menjaga kesihatan usus dengan makanan yang betul. Ia bukan sahaja memberi tenaga dan keseimbangan hormon, tapi turut menjadikan kulit lebih segar dan muda.
Ini Makanan Terbaik untuk Kulit Anda
- Yogurt dan makanan tinggi probiotik
Yogurt merupakan sumber probiotik semula jadi yang bantu menyeimbangkan bakteria baik dalam usus. Ia mengurangkan keradangan dalaman yang boleh muncul pada kulit. Makanan terbaik untuk kulit yang lain seperti tempe, kimchi dan kombucha juga boleh dimasukkan dalam diet harian anda. - Buah-buahan tinggi antioksidan
Buah beri, delima, strawberi dan kiwi penuh dengan antioksidan serta vitamin C. Nutrien ini bantu lawan radikal bebas dan mempercepatkan penghasilan kolagen. Kulit akan jadi lebih anjal dan cerah bila diambil secara konsisten. - Sayur hijau dan bijirin penuh
Sayur seperti bayam, brokoli dan sawi kaya dengan vitamin A, C dan zat besi. Ia penting untuk pembaharuan sel kulit. Bijirin penuh seperti oat dan quinoa pula tinggi serat, membantu penghadaman dan menyingkirkan toksin dari badan.
Pemakanan Sihat, Kunci Kulit Cantik
Untuk mendapatkan kulit yang cantik, bersih dan bersinar, kita tidak boleh hanya bergantung pada produk penjagaan kulit semata-mata. Apa yang kita makan memainkan peranan besar dalam menentukan keadaan dalaman tubuh dan kulit kita.
Dengan mengamalkan makanan terbaik untuk kulit secara konsisten, anda akan mula melihat perubahan dari segi tekstur, tona, dan keserian kulit. Kulit bukan sahaja lebih sihat, malah anda akan rasa lebih bertenaga dan yakin dengan penampilan diri.
ARTIKEL BERKAITAN: Rambut Kering? Cuba Tips Menggunakan Minyak Rambut Ini