3 Best Items Dari Koleksi Dioriviera Pilihan GLAM - Glam Malaysia

3 Best Items Dari Koleksi Dioriviera Pilihan GLAM

GLAM kongsi tiga item ikonik dari koleksi Dioriviera yang menyerlahkan keanggunan musim panas dengan gabungan sentuhan tropika, warisan seni dan gaya Perancis yang abadi.

Menjejak langkah ke pop-up eksklusif Dioriviera di Macalister Mansion, Pulau Pinang, terasa seolah-olah melangkah masuk ke dunia magis yang menggabungkan gaya tropika dan kemewahan Perancis. Lokasi bersejarah ini dihidupkan dengan suasana rimba rotan dan rona hangat musim panas, menjadi latar sempurna untuk mempersembahkan koleksi Dioriviera yang ikonik. Lokasi penuh magis dengan hiasan rimba rotan, turut ada pengalaman menjamu selera di Café Dior, menyuntik sensasi rasa eksklusif dengan pengalaman yang cukup menakjubkan. Namun, himpunan item fesyen bernuansa musim panas, berinspirasikan cetakan ikonik Toile de Jouy Sauvage dan Toile de Jouy Palms serta banyak lagi adalah item mesti miliki dalam gerobok pakaian untuk diterokai.

Must-Have! Tiga Item Fesyen Ikonik Dari Koleksi Dioriviera

1. Tas tangan Lady Dior Wicker

Di antara koleksi menawan boleh diterokai adalah Lady Dior Wicker yang muncul sebagai simbol keanggunan abadi. Mengangkat semangat savoir-faire Dior, beg ini diperbuat daripada material anyaman rotan semula jadi yang memancarkan keindahan buatan tangan yang klasik. Bahagian dalamnya dihiasi dengan beg pouch bercetak Toile de Jouy dalam rona merah jambu dan putih yang lembut, serta dihias sulaman ‘Christian Dior Paris’. Pesona charm D.I.O.R. dalam kemasan rona emas antik pula, nyata menambahkan sentuhan elegan yang tersendiri. Apa yang menjadikan beg ini lebih istimewa adalah statusnya sebagai edisi eksklusif hanya untuk Dioriviera Penang dalam rantau Asia Pasifik, lantas menjadi satu item kolektor yang tidak wajar dilepaskan.

See also
6 Gaya Eyka Farhana Pilihan GLAM

2. Topi Visor Dioriviera D-Ocean dengan skarf Mitzah

Jika aksesori adalah medium untuk mengekspresikan gaya musim panas, maka D-Ocean visor menjadi pilihan ideal. Topi visor ini memadukan suntikan elemen klasik dan moden, diinspirasikan daripada siluet topi matahari yang diperhalusi dengan anyaman jerami dan band sulaman dalam rona krim dan putih. Di bahagian belakang, ia diikat menggunakan skarf Mitzah bercetak Toile de Jouy Sauvage yang boleh ditukar ganti. Di mana, ia bukan sahaja praktikal, tetapi juga membawa gaya versatiliti untuk pelbagai ragam fesyen. Ia nyata memancar gaya santai yang tetap mengutamakan perincian, selaras dengan semangat kapsul Dioriviera itu sendiri.

3. Sepatu Dioriviera Dway Slide

Untuk sentuhan terakhir yang melengkapkan gaya musim panas, Dioriviera Dway Slide tampil sebagai pilihan sepatu yang menyatukan keindahan dengan injekkan suasana tropika. Menampilkan cetakan Toile de Jouy Palms dalam rona biru dan putih yang menggambarkan panorama rimba eksotik hasil karya Pietro Ruffo, sandal ini menyerlahkan keanggunan yang tidak berlebihan. Bahagian atasnya disulam dengan logo Christian Dior Paris yang ikonik, manakala bentuknya yang ringkas membolehkan ia disarung dengan mudah. Dipadankan bersama helaian kapsul Dioriviera lain, ia menjanjikan gaya yang relaks, mewah dan kekal relevan sepanjang musim ini.

See also
Peluncuran DIOR Cruise 2022, Sambil Bersantai di DIOR Café Pertama di Kuala Lumpur

Artikel berkaitan: Dioriviera Bawa Magis Tropika Ke Pulau Pinang

Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.