4 Personaliti Buat Kempen Chanel Eyewear Musim Bunga-Panas 2025
Mempersembahkan kempen Chanel terbaharu yang cukup ikonik, dengan tampilan empat bintang berbakat seperti Margaret Qualley, Lupito Nyong’o, Nana Komatsu dan pemenang Grammys, Kendrick Lamar yang kini secara rasmi menjadi duta buat rumah fesyen mewah ini.
Kempen Chanel Kaca Mata Musim Bunga/Panas 2025 oleh CHANEL merupakan pernyataan gaya yang nyata berani dengan esen cool yang disuntik bersama, menampilkan empat wajah personaliti termasuk pelakon Lupita Nyong’o, Margaret Qualley, Nana Komatsu serta pemuzik ternama Kendrick Lamar. Dirakam oleh jurugambar terkenal Karim Sadli, setiap potret bukan sekadar mempamerkan fesyen, malah mencerminkan karakter mendalam dan kebebasan kreatif. Dalam semangat CHANEL yang berterusan, koleksi kaca mata ini menonjolkan keperibadian serta keberanian artistik barisan duta jenama ini.
Kendrick Lamar Duta Rasmi Chanel, Mengikuti Jejak Barisan Duta Global Lain Untuk Kempen Chanel
Setiap figura dalam kempen Chanel ini membawa warisan seni tersendiri. Kendrick Lamar, penerima anugerah Grammy dengan lagu popularnya “They Not Like Us“, tampil sebagai satu-satunya lelaki dalam kempen ini. Kendrick mencerminkan legasi CHANEL dalam bentuk aksesori yang nyata maskulin namun elegan. Pelakon Jepun, Nana Komatsu pula menyampaikan sisi feminin yang berani dan ekspresif melalui rekaan kaca mata yang mampu mencerminkan personalitinya yang dinamik. Margaret Qualley yang sudah lama menjadi duta lama rumah fesyen ini, berkongsi keterujaannya terhadap kaca mata CHANEL yang mencipta misteri dan memancarkan gaya klasik yang tidak lapuk dek zaman.
Lupita Nyong’o, yang turut menjadi wajah rasmi juga, menyatakan penghargaan mendalam terhadap jenama yang menyokongnya sejak awal kerjaya. Menurutnya, kaca mata kempen CHANEL kali ini bukan sahaja selesa dengan rekaan yang halus, tetapi turut membawakan watak kebebasan dan kekuatan wanita moden musim kini. Kaca mata adalah medium ekspresi diri, daripada sentuhan keanggunan sehingga lah ke elemen ikonik yang menguatkan penampilan.
Label mewah ini tidak sekadar mencipta aksesori, ia menghadirkan identiti dan ekspresi diri yang tersendiri. Setiap bingkai kaca mata dalam koleksi ini menyatukan nuansa klasik dan moden, lantas membawa warisan gaya CHANEL yang penuh bergaya. Daripada simbol kemewahan kepada alat ekspresi peribadi, koleksi kempen Chanel ini membuktikan bahawa kaca mata bukan hanya pelengkap gaya, tetapi cerminan jiwa si pemakai.
Artikel Berkaitan: Jennie Sertai Dua Lipa Sebagai Duta Beg Chanel 25