Barisan Bintang Bersinar Di Pertunjukan Adibusana Schiaparelli AW25 - Glam Malaysia

Barisan Bintang Bersinar Di Pertunjukan Adibusana Schiaparelli AW25

Musim Couture dibuka dengan penuh gaya apabila barisan selebriti antarabangsa seperti Dua Lipa, Cardi B dan ramai lagi, hadir menyerikan Schiaparelli Haute Couture Fall/Winter 2025-2026 di kota Paris.

Membuka tirai Minggu Adibusana di Paris, Daniel Roseberry mempersembahkan koleksi Schiaparelli Musim Luruh/Musim Sejuk 2025-206 yang mengangkat tajuk ‘Back to the Future’ di lokasi berprestij Petit Palais. Menerusi palet monokrom yang menguasai pentas peragaan, koleksi ini menterjemah warisan Elsa Schiaparelli dalam pendekatan yang lebih kontemporari dan lebih segar. Dari butiran jantung berdenyut, sulaman mata trompe-l’œil, sehingga ke gaun bersiluet bebas, Roseberry menolak formaliti klasik couture dan memperkenalkan bentuk-bentuk sculptural yang mencabar konvensi. Semua elemen dari tekstur hingga rekaan, nyata menimbulkan satu naratif visual yang mendalami antara romantisme sejarah dan bayangan masa depan.

Menerusi pendekatan yang lebih bebas, Roseberry turut menyingkirkan korset tebal yang sinonim dengan couture lama, lalu menggantikannya dengan potongan yang membebaskan pergerakan. Gaun berpotongan ekstrem, jaket panjang bertindih seluar denim, serta busana berkilauan metalik memberi efek hampir surreal. Ia seolah-olah membawa penonton ke dunia mimpi penuh dramatik dengan suntikan elemen fesyen mewah. Ruang pertunjukan sendiri dihiasi dengan lukisan pinjaman dari Musée du Louvre, lantas mencipta suasana yang hampir suci untuk persembahan penuh emosi ini.

See also
Anugerah Emmy 2018: Selebriti-Selebriti Best Dressed Di Karpet Merah

Tampilan Deretan Selebriti Di Adibusana Schiaparelli A/W 2025-2026

Seperti yang dijangka, antara selebriti antarabangsa membanjiri langkah tangga Petit Palais dalam gaya memukau termasuk Dua Lipa yang tampil memukau. Penyanyi pop ini hadir memadukan gaun putih penuh kilauan mikro-sekuin yang kelihatan seolah rupa bulu, dengan bahu bersiluet bulat dan butiran dada terbuka berbentuk kunci ikonik Schiaparelli. Hunter Schafer pula membawa glamor klasik Old Hollywood menerusi gaun bertali hijau pudina berjalur ivory dan aksesori mutiara besar. Namun, yang benar-benar mencuri tumpuan adalah Cardi B, yang hadir dalam padanan gaun berstruktur dengan rumbai seperti tirai sambil membawa seekor gagak hitam di tangan, lantas menjadikan penampilannya paling memberi sorotan.

Barisan tetamu lain turut diserikan oleh nama-nama besar lain seperti Karol G, Cooper Koch, Vera Wang, dan Law Roach, memeriahkan acara fesyen pagi itu meskipun di bawah langit Paris yang kelabu. Schiaparelli sekali lagi membuktikan kekuatannya dalam mengadun seni, sejarah dan gaya, menjadikan koleksi ini bukan hanya tontonan, tetapi tatapan fesyen mewah sebenar.

See also
Fesyen Selebriti Paling GLAMour di Le Grand Dîner du Louvre

1. Dua Lipa

2. Cardi B

3. Hunter Schafer

4. Cooper Koch

5. Heart Evangelista

6. Philippine Leroy-Beaulieu

7. Karol G

Artikel Berkaitan: Imbas Kembali: Minggu Adibusana SS25 Oleh Deretan Rumah Fesyen Terkemuka

Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.