Dior Cruise 2026 Sebuah Fantasi Rom Yang Menjelma - Glam Malaysia

Dior Cruise 2026 Sebuah Fantasi Rom Yang Menjelma

Koleksi Dior Cruise 2026 kali ini mengembara hingga ke kota Rom, menghadirkan sentuhan kostum, siluet klasik dan sinematik Roma disuntik ke dalam helaian yang mengaburkan garis antara realiti dan fantasi.

Dalam keindahan taman Villa Albani Torlonia, Dior mempersembahkan koleksi Cruise 2026 sebuah karya puitis yang lahir daripada imaginasi Pengarah Kreatif, Maria Grazia Chiuri. Terinspirasi oleh Mimì Pecci-Blunt, ikon sosial Rom pada abad ke-20, koleksi ini mengangkat semula semangat “Bal de l’Imagination”. Di mana, suatu ketika dahulu dianjurkan oleh Mimì dalam satu acara yang memadukan seni, fesyen serta puisi ke dalam satu ruang penuh mistik.

Maria Grazia Chiuri Mentafsir Roma Ke Dalam Koleksi Dior Cruise 2026

Koleksi ini adalah bingkisan kenangan yang menyingkap sejarah fesyen melalui tafsiran kontemporari dengan fantasi yang berpaksikan kota Roma. Helaian seperti gaun renda halus berona putih mutiara dengan perincian timbul yang menghiasi, nyata menjalinkan esen anggun dan tampil sofistikated. Jaket tentera bertrim hitam, rompi berlapel mahupun himpunan gaun bersiluet panjang, kesemuanya menghadirkan naratif elemen masa lampau. Begitu juga dengan material yang bermain dengan sutera, baldu dan renda yang dipersembahkan, dipilih dengan cermat lantas menyampaikan ritma seni yang seiring dengan semangat ‘bella confusione’. Ia memancarkan kekeliruan indah namun masuk akal, diilhamkan dari tajuk filem Federico Fellini.

See also
GLAM FIRST: Dior Cruise 23 di Plaza de España, di Seville Spain.

Rona putih dan hitam pula mendominasi koleksi dengan beberapa helaian busana warna lain yang menjadi daya tarikan. Gaun baldu pendek dalam rona hitam dan merah, membentuk siluet yang mengimbau era filem ikonik, La Dolce Vita. Di mana, ia memberi penghormatan kepada adik-beradik Fontana, pereka ikonik yang memakaikan Anita Ekberg dalam filem klasik Itali. Sementara itu, gaun putih dan emas yang beralun lembut bagaikan menari ketika model berjalan di pentas peragaan, membawa watak bayangan dalam tarian farandole yang magis.

Dior Cruise 2026 bukan sekadar koleksi pakaian, tetapi sebuah perjalanan imaginatif menelusuri mitologi dan lanskap Rom, sebuah kota yang kaya dengan sejarah, seni dan filem. Melalui tafsiran Maria Grazia Chiuri, koleksi ini menyelami dunia fantasi yang menghimpun kenangan, inspirasi dan sejarah dalam helaian busana yang tampak mewah dan penuh jiwa.

Artikel Berkaitan: GLAM FIRST: Dior Cruise 2026 Di Villa Albani Torlonia, Itali