Dior D-Motion: Item Fesyen Mesti Miliki Musim Ini - Glam Malaysia

Dior D-Motion: Item Fesyen Mesti Miliki Musim Ini

Tas tangan Dior D-Motion menggabungkan seni pertukangan mewah dan fungsi moden dalam satu rekaan ikonik, menjadikannya aksesori statement yang mendefinisikan semula gaya feminin kontemporari dari koleksi Dior Musim Luruh/Sejuk 2025–2026.

Label mewah Dior terus mendefinisikan semula aksesori kontemporari menerusi pelancaran beg terbarunya, D-Motion, bersempena koleksi ready-to-wear Musim Luruh/Sejuk 2025–2026. Dihiasi dengan motif macrocannage yang ikonik, ia kini menjadi satu lambang warisan buat rumah fesyen tersebut. Tas tangan ini bukan sekadar pelengkap gaya, tetapi juga lambang gerakan, kebebasan dan keanggunan moden.

Tas Tangan Dior D-Motion Menyuntik Elemen Fungsional Bertemu Feminin

Dengan reka bentuk lengkung yang lembut dan siluet yang cukup kontemporari, tas tangan D-Motion menyerlahkan warisan savoir-faire yang telah sekian lama menjadi nadi kepada seni pertukangan Ateliers Dior. Setiap inci beg ini diolah dengan ketukangan tinggi, dari jahitan yang rapi hingga kepada pemilihan aksesori yang menjadi lambang keanggunan tersendiri. Charm huruf-huruf ‘D, I, O, R’ yang digantung sebagai salah satu perincian bukan sahaja menonjolkan identiti jenama, malah memberi sentuhan peribadi yang memancarkan karakter wanita Dior yang moden.

See also
Inspirasi High Fashion Halloween Daripada Pentas Peragaan Spring 2019

Keistimewaan D-Motion bukan sahaja terletak pada estetika rekaannya yang memikat, malah turut mengutamakan unsur praktikaliti. Dilengkapi dengan tali boleh laras yang membolehkan ia digayakan secara silang badan atau disandang di bahu, tas tangan ini direka untuk tampilan yang bergaya tanpa mengorbankan keselesaan. Tambahan pula, kehadiran tali serut menjadikan beg ini pilihan versatil untuk kegunaan harian yang nyata sofistikated.

Untuk memenuhi selera gaya yang berbeza, D-Motion ditawarkan dalam dua jenis kemasan kulit, sama ada kulit licin yang memancarkan kemewahan klasik, mahupun tekstur berkerut yang membangkitkan elemen kontemporari. Palet warna pula menambah lapisan emosi kepada beg ini seperti rona hitam dan coklat lembut yang ditampilkan untuk saiz sederhana, manakala saiz kecil pula hadir dalam warna ecru, merah jambu lembut dan hitam.

Sebagai penata gaya tambahan yang menjembatani kemewahan artisan dengan keperluan wanita moden, tas tangan D-Motion memancarkan esen ketelitian, keselesaan dan juga gaya. Ia bukan sekadar tas tangan, tetapi ekspresi peribadi dan pernyataan identiti buat wanita Dior musim kini. Sudah tersedia di butik Dior bermula Julai ini, D-Motion adalah item mesti miliki untuk menjadi teman gaya yang dinamik, elegan, dan praktikal.

See also
GLAM Update Untuk Fall 2017 Couture Week

Artikel berkaitan: Dioriviera Bawa Magis Tropika Ke Pulau Pinang

Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.