Gema KLFW 2025 Kian Terasa! - Glam Malaysia

Gema KLFW 2025 Kian Terasa!

Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2025 kini kembali lagi! Mengangkat Kuala Lumpur sebagai nadi arena seperti tahun yang lalu, namun edisi kali ini menjanjikan kemeriahan berganda menerusi barisan pereka baru serta kemunculan semula pereka seperti Hatta Dolmat, Ezzati Amira dan ramai lagi.

Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2025 bakal membuka tirainya dari 4 hingga 10 Ogos dengan skala penganjuran terbesar setakat ini. Bertempat di Esplanade, KLCC dengan latarbelakang Menara Berkembar Petronas yang ikonik, edisi ke-13 ini menghimpunkan lebih 55 pereka dan jenama. Pentas fesyen berprestij ini bukan sekadar peragaan, tetapi satu pergerakan komuniti yang mengangkat seni reka fesyen lokal, meraikan evolusi gaya dan menjadi titik pertemuan antara tradisi serta kontemporari. Selain kehadiran 500 tetamu setiap hari, penstriman langsung di skrin LED luar turut menghubungkan penggemar fesyen dengan pentas utama secara inklusif.

KLFW 2025: Merentas Generasi, Menyatukan Komuniti

Tahun ini, lebih banyak kemunculan sulung buat debut KLFW oleh pereka muda seperti  Akmal Hakim, ShazNash, Ugly Pretty, HUNTILANAK dan MOKJY. Siap sedia untuk memperlihatkan impak segar melalui pendekatan berani, idea segar serta naratif peribadi yang jujur oleh pereka-pereka era kini. Tidak ketinggalan juga, tiga bintang dari Pencarian Pereka KLFW tahun lalu, Raja Irfan, Mei Mei dan Salahuddinhilmi yang akan diperkenalkan dalam segmen “Rekaan Demi Kelestarian”, mempersembahkan koleksi mereka dalam memperkukuh komitmen acara ini terhadap pembangunan bakat dan kelestarian dalam industri fesyen tempatan.

See also
SEMBANG FESYEN: EZZATI AMIRA

KLFW 2025 kali ini juga menyambut kepulangan nama-nama besar pereka tanah air seperti Hatta Dolmat dan Ezzati Amira yang akan kembali mempersembahkan koleksi mereka, turut akan diperlihatkan himpunan koleksi dari Maarimaia, Mimpikita, Neonate serta Private Stitch untuk tahun ini. Sementara itu, antara figura paling dinanti-nantikan ialah Radzuan Radziwill dan artisan bespoke, Teh Firdaus yang cukup terkenal akan rekaan couture untuk golongan elit dan dirajanya. Tidak dilupakan dengan deretan jenama ternama termasuk Rizman Ruzaini, Fiziwoo, Masyadi Mansoor, BEHATI dan ramai lagi, yang bakal mewarnai pentas peragaan serba hitam ini dalam mengukuhkan dominasi mereka dalam naratif fesyen tanah air.

Menambah nilai edisi pertunjukan fesyen kali ini adalah kolaborasi penuh antara KLFW dan barisan penaja utama yang merangkumi KLCC (Holdings) Sdn Bhd, L’Oréal Paris, Poh Kong, Vivo Malaysia, MOCCONA dan banyak lagi. Ia mendorong semangat komuniti serta visi KLFW yang kekal teguh sebagai platform kolektif untuk menyemarakkan kreativiti industri penuh glamor ini dan menyatukan para penggiat fesyen di Malaysia.

See also
Sinergi Kolaborasi Coach dan Disney

Artikel Berkaitan: RECAP: 10 Penampilan Selebriti Di KLFW 2024!

Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.