Kempen Miu Miu L’Eté Menyuntik Nuansa Alam Semula Jadi - Glam Malaysia

Kempen Miu Miu L’Eté Menyuntik Nuansa Alam Semula Jadi

Label popular, Miu Miu meneroka keindahan musim panas dengan koleksi serta kempen terkini, “Miu Miu L’Été 2025” yang bersatu dengan alam semula jadi.

Koleksi dan Kempen Miu Miu L’Été 2025 menyajikan satu interpretasi baharu tentang keindahan musim panas yang bukan sekadar tentang gaya, malah berbicara akan cara hidup. Terinspirasi daripada alam semula jadi yang tenang dan subur, koleksi ini menzahirkan estetika ketenangan, kebebasan dan kelembutan dalam suasana musim percutian. Pemilihan lokasi yang dikelilingi kehijauan nyata memberi rasa damai, lantas dihidupkan pula dengan perabot antik serta nuansa nostalgia yang menggamit kenangan.

Miu Miu L’Été 2025: Gaya Fesyen Kontemporari Buat Musim Panas Kali Ini

Kempen yang dirakam oleh Sian Davey, artis terkenal yang pertama kalinya melangkah ke dunia fesyen, menampilkan pelakon seperti Callina Liang dan Diana Silvers yang membawa naratif kelembutan yang dipamerkan ke dalam koleksi. Ia seolah menyelami sisi sebenar mereka, mencipta momen yang nyata membangkitkan rasa kontemplatif dan puitis buat setiap bingkai gambar. Lalu menjadikan koleksi ini bukan hanya tentang pakaian, tetapi satu emosi yang boleh dirasai.

See also
Upcycled by Miu Miu, Interpretasi Gaya Bersama Levi’s®

Miu Miu L’Été 2025

Setiap ceraian yang dipersembahkan hadir dalam pelbagai siluet yang menonjolkan esen sporty dan klasik. Seperti contoh, gaun sundress, skirt tenis, jaket aviator dan sut kelabu dengan potongan rapi, dipadankan dengan cara yang unik seperti bustier rajut, skarf bandana simpulan, tali pinggang berpermata serta sarung tangan tanpa jari. Pemilihan rona terang termasuk rona merah, merah jambu dan periwinkle pula, menghidupkan semula gaya keanakan dengan sentuhan dewasa yang moden. Kerjasama eksklusif bersama Petit Bateau turut menambahkan nilai nostalgia menerusi fabrik kapas lembut berjalur khas.

Aksesori turut memainkan peranan penting dalam melengkapkan naratif koleksi ini. Daripada kasut Mary Janes bertumit blok sehingga lah ke sneakers bertali tidak sepadan, kesemuanya membawa elemen ceria dan selesa. Beg tangan seperti Wander, Beau dan Aventure ditampilkan dalam material semula jadi seperti kulit anyaman, suede serta kanvas berwarna asas. Tidak ketinggalan juga, kaca mata aviator bersaiz besar dan barang kemas yang diilhamkan daripada flora serta fauna, menambahkan sentuhan yang nyata peribadi. Miu Miu L’Été 2025 ternyata membawa sebuah koleksi yang penuh estetika tersendiri, dengan sentuhan alam semula jadi buat koleksi musim panas yang penuh kekinian.

See also
Most GLAM 2021: Nurida Suraya

Artikel Berkaitan: Keajaiban Miu Miu Holiday 2024 Bersama Emma Corrin