Kenali Legasi Dan Visi Setiap Bekas Pengarah Kreatif Dior
Dior mempunyai sejarah penuh warna dengan barisan Pengarah Kreatif yang cukup disegani dengan visi seni tersendiri.
Rumah fesyen Christian Dior bukan sekadar lambang kemewahan dan gaya agung Paris, tetapi institusi penting yang mencorakkan sejarah fesyen dunia. Sejak maison ini dibuka pada 1946, Dior telah menjadi medan eksplorasi fesyen di bawah kendalian pengarah-pengarah kreatif terkemuka dunia. Setiap satu membawa kayuhan kreatif tersendiri terhadap legasi Christian Dior, mencipta naratif visual yang menandakan zaman mereka. Kenali semua pereka fesyen yang pernah menduduk kerusi utama kreatif di Dior!
1. Christian Dior (1946–1957)
Segalanya bermula dengan Christian Dior, pereka Perancis yang memperkenalkan “New Look” pada tahun 1947. Siluet feminin dengan pinggang ramping, bahu lembut dan skirt kembang penuh. Koleksi ini meraikan kewanitaan selepas era perang, dan mengubah arah dunia fesyen secara menyeluruh. Dior percaya pada keindahan struktur, romantisme dan keanggunan klasik, serta sering mengambil inspirasi daripada seni dan budaya Perancis semasa menjadi pengarah kreatif.
2. Yves Saint Laurent (1957–1960)
Dilantik ketika hanya berusia 21 tahun selepas kematian mengejut Dior, Yves Saint Laurent memikul tugas besar bagi meneruskan legasi jenama ini. Walaupun muda, beliau membuktikan keupayaannya dengan koleksi pertama yang diterima baik, termasuk siluet Trapèze yang memodenkan gaya Dior. Namun, pendekatannya yang lebih radikal dan progresif tidak disenangi oleh semua terutama semasa koleksi Beatnik yang lebih “street” dan kurang aristokratik. Tekanan yang dihadapi akhirnya membawa kepada pemergiannya meninggalkan jenama Dior sebagai pengarah kreatif.
3. Marc Bohan (1960–1989)
Marc Bohan membawa kestabilan dan kesinambungan kepada Dior selama hampir tiga dekad, yakni satu tempoh paling lama dalam sejarah jenama ini. Gayanya lebih konservatif, tetapi tidak kurang elegan. Di bawah Bohan, Dior menyaksikan perkembangan global yang pesat, termasuk pembukaan butik di luar Eropah dan pengaruh kuat dalam budaya pop tahun 60-an dan 70-an. Bohan memperkenalkan koleksi Miss Dior sebagai tribut kepada wanita muda era 60-an – ringkas, feminin dan chic, selaras dengan tugasnya sebagai pengarah kreatif.
4. Gianfranco Ferré (1989–1996)
Kemunculan Gianfranco Ferré, seorang pereka Itali dengan latar belakang dalam bidang seni bina, memberi nafas baru kepada Dior dengan pendekatan dramatik dan struktur. Ferré menekankan teknik potongan yang kompleks, fabrik mewah dan siluet yang lebih kuat. Rekaannya dianggap lebih dramatik dan mewah berbanding gaya klasik Perancis. Walaupun beliau mendapat pujian atas pencapaian adibusana yang rumit, gaya estetikanya lebih “Latin” dan berbeza daripada identiti asal Dior menjadikan era ini sebagai fasa peralihan eksperimental semasa beliau sebagai pengarah kreatif.
5. John Galliano (1996–2011)
Dikenali dengan gaya dramatiknya, John Galliano menjadikan pentas peragaan Dior sebagai teater fantasi fesyen semasa menyandang jawatan pengarah kreatif. Rekaannya penuh emosi, bermain dengan budaya, dan tidak takut mencabar norma gaya. Di bawah Galliano, Dior mencapai puncak kreativiti adibusana dengan gaun-gaun dramatik, pertunjukan megah dan sentuhan eksentrik yang mencipta buzz setiap musim. Koleksi adibusana musim bunga 2004 yang berinspirasikan Mesir Purba ialah antara yang paling ikonik. Dengan model bertatah perhiasan emas, hiasan kepala Firaun dan fabrik eksotik, ia menunjukkan kemahiran penceritaan fesyen luar biasa.
6. Bill Gaytten (2011–2012)
Selepas pemecatan Galliano, Bill Gaytten yakni orang kanan beliau selama bertahun-tahun mengambil alih jawatan ketua kreatif buat sementara. Gaytten cuba mengekalkan momentum jenama tanpa terlalu lari daripada DNA Galliano. Kritikan bercampur diterima, tetapi koleksi couture terakhirnya mendapat pujian atas teknik dan kehalusan struktur. Tempohnya yang singkat menjadi fasa peralihan sebelum Dior memasuki era yang lebih kontemporari.
7. Raf Simons (2012–2015)
Raf Simons memperkenalkan pandangan minimalis dan gaya lebih bijak ke dalam DNA Dior. Pereka asal Belgium ini dikenali dengan falsafah modenisme dan struktur seni bina dalam rekaannya. Koleksi pertamanya yang dilancarkan hanya dalam masa tiga bulan selepas pelantikan memukau dunia dengan interpretasi segar terhadap siluet Dior: bersih, segar, dan ultra-feminin. Beliau juga banyak bermain dengan teknologi fabrik dan elemen seni moden, termasuk inspirasi dari Andy Warhol dan Sterling Ruby. Dibawah Raf juga melihat Dior bersifat terbuka dengan mengambil Rihanna sebagai duta berkulit gelap pertama mereka, semasa beliau sebagai pengarah kreatif.
8. Maria Grazia Chiuri (2016–2025)
Wanita pertama dalam sejarah Dior yang memegang jawatan utama ini, Maria Grazia Chiuri membawa naratif feminisme dan kekuatan wanita ke dalam dunia jenama ini. Bekas pengarah bersama di Valentino, Chiuri terkenal dengan mesej sosial dalam rekaan termasuk t-shirt “We Should All Be Feminists” yang menjadi fenomena budaya. Estetikanya lebih lembut dan bersifat ceraian harian, tetapi tetap menggali inspirasi daripada sejarah seni, budaya rakyat dan keanggunan klasik. Dia terus memberi keunikan kepada Dior dengan pandangan kreatifnya. Setiap pertunjukannya disertai dengan elemen sastera dan intelektual, membentuk identiti baharu untuk wanita Dior moden: bijaksana, kuat dan penuh ekspresi. Chiuri melepaskan jawatannya di Dior selepas sembilan tahun berkhidmat di sana.
Terkini, Dior telah mengumumkan yang mereka mempunyai Pengarah Kreatif baharu. Jonathan Anderson bakal mengemudi jenama ini dan menjadi pengarah kreatif tunggal buat semua koleksi utama Dior – wanita, adibusana dan lelaki. Ia adalah satu misi untuk mencipta dunia Dior yang lebih kolektif dengan satu singular idea.
Artikel Berkaitan: Dari Loewe Ke Dior: Jonathan Anderson Mulakan Pengembaraan Baru