Rizman Ruzaini Menyulam Dua Dekad Legasi Dalam Era Baharu Fesyen
Rizman Ruzaini melakar bab baharu dengan pembukaan butik flagship elegan di Shangri-La Kuala Lumpur, disertai pelancaran kerjasama kreatif bersama Modinity Group serta kesinambungan jenama RR yang terus mendekati peminat fesyen dengan gaya mampu milik.
Dua puluh tahun bukan tempoh yang singkat. Namun bagi rumah fesyen tempatan air Rizman Ruzaini, ia bukan sekadar titik pencapaian, tetapi penanda aras kepada bab baharu yang lebih berani dan berwawasan. Bertempat di hotel Shangri-La Kuala Lumpur, deretan selebriti ternama tanah air bersama klien eksklusif dan juga rakan industri hadir meraikan pelancaran secara rasmi flagship showroom jenama ini. Ia menjadi satu ruang elegan yang bukan sekadar butik, tetapi lambang kepada perjalanan penuh pencapaian serta nilai seni.
Rizman Ruzaini Menempa Legasi Di Nadi Kota
Menjulang nilai ketukangan dan kustomisasi, flagship ini direka secara bertingkat di mana setiap ruang mempunyai fungsinya yang tersendiri. Aras bawah didedikasikan buat salon Bridal Couture dan Men’s Bespoke Atelier manakala bahagian atas menempatkan koleksi ready-to-wear wanita dan ruang atelier khas. Lebih eksklusif, tingkat mezzanine menjadi suite ultra-private untuk klien VIP. Setiap perincian didatangkan dari marmar import sehingga lah ke pencahayaan khas. Lantas, ini mencerminkan dedikasi label ikonik ini terhadap ketelitian dan pengalaman pelanggan kelas pertama.
Namun paling mencuri tumpuan adalah pengumuman kerjasama kreatif bersama Modinity Group dari Indonesia, syarikat di sebalik jenama seperti Buttonscarves kini bekerjasama dengan jenama Rizman Ruzaini. Perikatan ini bukan sahaja menggabungkan dua kuasa besar Asia Tenggara dalam fesyen, malah memperkukuhkan aspirasi serantau untuk membina suara kolektif yang meraikan identiti budaya rantau ini. Hasil kolaborasi ini bakal diperlihatkan pada pentas Kuala Lumpur Fashion Week 2025, menandakan fasa baharu buat Rizman Ruzaini yang lebih bersifat antarabangsa.
RR by Rizman Ruzaini: Gaya Eksklusif Yang Lebih Dekat Di Hati Ramai
Dilancarkan pada tahun 2020, RR by Rizman Ruzaini dicipta sebagai koleksi ready-to-wear yang lebih mampu milik namun masih mengekalkan gaya dan keanggunan. Ia membawakan sentuhan esen Rizman Ruzaini ke khalayak lebih luas. Dari siluet elegan hingga rekaan berjiwa moden, ia ternyata menjadikan pilihan utama buat pencinta fesyen yang menghargai cita rasa mewah dalam bentuk lebih praktikal dan relevan.
Artikel Berkaitan: 5 Busana Rekaan Rizman Ruzaini Menjadi Sorotan Fesyen Antarabangsa
Syahirah Hussain
Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.