Temu Bual Bersama Anya Hindmarch Buat Kolaborasi Bersama Uniqlo - Glam Malaysia

Temu Bual Bersama Anya Hindmarch Buat Kolaborasi Bersama Uniqlo

Kolaborasi Uniqlo x Anya Hindmarch musim panas 2025 hadir dengan koleksi t-shirt ceria berjiwa girang, menggabungkan fungsi, gaya moden dan sentuhan peribadi ikonik.

Uniqlo sekali lagi mencuri tumpuan dengan kolaborasi kali kedua bersama pereka dari Britain, Anya Hindmarch, menerusi koleksi Musim Panas 2025 yang mengangkat nama “T-shirt Shop”. Diperkenalkan secara eksklusif di Kuala Lumpur, himpunan ini meraikan keindahan gaya kasual yang ceria dengan sentuhan jenaka halus dan perincian rekaan yang bijak. Ia cukup selari dengan falsafah LifeWear Uniqlo yang mengutamakan keselesaan, fungsi dan keperibadian.

Temu Bual Bersama Pereka Anya Hindmarch Dengan Kerjasama Bersama Uniqlo

1. Apakah yang menjadi sumber inspirasi anda buat musim ini?

Saya sentiasa menjadi peminat besar Uniqlo. Saya benar-benar merayakan Uniqlo dan
lima orang anak saya sering berpakaian dari kepala hingga ke kaki dengan jenama ini. Oleh itu, saya
tidak mahu mencipta sesuatu yang berbeza secara drastik. tetapi ingin menginjek apa yang menjadi teras buat Uniqlo dengan baik, kerana pelanggan mempercayai jenama ini. Jadi, saya memutuskan untuk meneroka elemen dekonstruksi seperti perincian pada kelim atau leher yang memberi sentuhan menarik. Ia adalah butiran kecil yang menyeronokkan, yang mungkin kelihatan sedikit terkeluar apabila dipakai bersama jumper, atau mungkin hanya sepasang mata kecil yang ‘mengintai’ dari balik jaket. Inilah yang kita semua sukai tentang Uniqlo, tetapi dengan elemen cabaran untuk menambah sesuatu yang tidak dijangka

2. Kongsikan tentang obsesi t-shirt anda dengan kami.

Saya rasa himpunan t-shirt dalam almari walaupun jarang dibicarakan, sebenarnya sangat penting untuk dipilih dengan tepat. T-shirt yang dipakai di bawah jaket berbeza dengan yang dipakai ke gim, dibawa tidur atau yang dipakai sebagai helaian utama. Kita perlukan t-shirt untuk lapisan, dengan ketebalan yang berbeza mengikut kegunaan. Jadi saya benar-benar ingin mendalami dunia t-shirt dan cuba mencipta satu rangkaian sempurna yang boleh dimiliki semua orang, kerana saya percaya label ini sangat cemerlang dalam menghasilkan keperluan asas ini. Itulah sebenarnya punca ilham utama koleksi ini.

See also
Koleksi Neo Klasik Uniqlo SS25 Buat Penggemar Gaya Kasual

3. Bagaimana Anya Hindmarch melihat orang memakai koleksi ini?

Boxy ialah apa yang saya anggap sebagai t-shirt utama, sesuai dipadankan dengan helaian jean atau skirt. Ia boleh digayakan bersama jaket atau jumper, namun tetap menyerlah apabila dipakai sendiri. Potongannya tidak terlalu longgar dan tidak melekap pada badan, dengan siluet santai seperti “boyfriend fit”. Seterusnya, Classic fabriknya yang lebih nipis dan ringan, tetapi tidak jarang. Ia diperbuat daripada kapas yang sangat lembut dan t-shirt ini tidak melekap pada badan. Sangat sesuai dipakai untuk dilapisi atau secara santai dan potongannya lebih feminin. Kemudian, Sleeveless potongan standard yang menyerupai Boxy. Ideal dipakai bersama jaket dan juga menarik digayakan sendiri dengan seluar tinggi pada hari panas. Akhir sekali, Tank merupakan t-shirt berpotongan ribbed yang lebih fit dengan gaya sedikit racerback dan garis leher yang kemas. Tidak terlalu tinggi, tidak terlalu rendah, ia mengingatkan kepada singlet lelaki klasik, tapi dengan aura moden. Cantik dipakai bersama jean, sama ada tersorok dalam seluar atau digayakan berlapis. Kesemuanya memiliki fungsi berbeza, dan tentunya, koleksi ini turut menampilkan t-shirt kanak-kanak dengan potongan klasik yang selesa yang sesuai untuk semua jantina.

4. Anda bercakap tentang dekonstruksi yang menjadi tema dalam semua daripada koleksi anda. Bolehkah anda bercakap tentang maksudnya dan mengapa ia penting bagi anda?

Apabila saya mula bekerja untuk kolaborasi bersama Uniqlo, jenama yang begitu jelas dan hebat dengan identiti Jepun. Saya banyak menghabiskan masa di Jepun dan amat menyukai negara itu dan masyarakatnya. Saya sering terfikir tentang konsep “deconstruction” sebagai sesuatu yang begitu sinonim dengan budaya Jepun. Di mana, cara mereka mengkaji sesuatu secara intelektual, mengkaji strukturnya dan menyusunnya semula dengan penuh ketelitian. Dari situlah sebenarnya titik permulaannya. Bagi saya, sesuatu yang kelihatan ringkas tetapi dibina dengan pertimbangan mendalam adalah menarik bagi saya.

See also
Vibe Terkini Hailey Baldwin -- Barbie!

5. Adakah motif mata itu datang kepada anda, atau lebih kepada idea yang datang secara beransur-ansur?

Ia sebenarnya tercetus secara spontan daripada pasukan studio rekaan saya yang penuh dengan idea kreatif gila. Ketika sambutan hari lahir seseorang, kami mengadakan parti teh dan seseorang meletakkan sepasang mata pada teko. Kemudian, mata itu dipindahkan ke kerusi dan selepas itu ke belakang bekas biskut. Lama-kelamaan, motif mata itu seakan-akan ‘menghidupkan’ segala objek di studio dan dari situ ia terus melekat.

6. Adakah ini musim pertama anda telah memperkenalkan sebarang jenis aksesori?

Ya! Kami turut hasilkan ‘packing cubes’. Keseluruhan koleksi ini sebenarnya sedikit terinspirasi oleh bentuk segi empat. Jadi, ia hadir dalam bentuk kantung kecil berzip dengan motif mata ikonik, yang boleh digunakan untuk menyusun pada t-shirt atau barangan mandian. Saya sangat suka mengembara dengannya. Kami menghasilkan dalam dua saiz, di mana satu lebih besar dan satu lagi lebih kecil. Yang kecil itu sangat comel dan sesuai untuk stokin, aksesori atau alat solek. Bagi saya, ia sangat praktikal dan menjadi satu lagi item asas yang sangat berguna semasa perjalanan. Asas itu indah, bukan?

7. Butiran arahan pada tag, bagaimana tercetus mempunyai idea itu dan juga, siapa yang menulisnya?

Kami cipta ayat-ayat itu di sini juga, sewaktu kami sedang bergurau suatu hari. Ia diinspirasikan daripada idea tag dobi yang biasanya bersifat arahan. Saya rasa ia sekadar menambah senyuman dan sedikit personaliti pada rekaan. Koleksi ini memang asas dan mudah dipakai, dengan tambahan perincian kecil yang tidak menyulitkan, sebaliknya menyuntik sedikit karakter.

See also
The Road Less Traveled

8. Adakah koleksi ini dirasakan sebagai satu kelainan atau peralihan arah bagi anda dalam apa-apa cara?

Langsung tidak. Ia terasa sangat semula jadi sebenarnya, kerana bekerjasama dengan Uniqlo memang terasa begitu dekat bagi saya. Mungkin kerana saya sendiri pelanggan mereka dan sering memakai pakaian mereka. Dalam dunia kerja saya, saya memang memakai label pereka mewah, tetapi saya sangat suka memadankannya dengan Uniqlo. Bagi saya, itulah kekuatan sebenar label ini. Ia menjadi sebahagian daripada almari semua orang, sama ada mereka berada dalam dunia fesyen tinggi ataupun tidak. Mereka benar-benar menguasai perkara asas dengan sangat baik.

9. Bercakap tentang kolaborasi anda, bagaimana perasaannya setakat ini? Ini merupakan koleksi ketiga anda bersama Uniqlo, bukan?

Ya, memang sangat mengujakan! Saya belajar begitu banyak sepanjang kolaborasi ini. Ia sangat mengagumkan bekerja dengan syarikat sebesar ini, yang memiliki kepakaran luar biasa dalam pembangunan produk dan kemampuan merealisasikan apa yang kita bayangkan. Semuanya boleh direalisasikan. Prosesnya juga sangat global dan menarik. Saya sangat menyukai pasukan yang saya bekerjasama di Uniqlo kerana mereka benar-benar luar biasa. Kami semua sangat bersemangat dengan apa yang kami lakukan dan begitu teliti dari segi produk hinggalah ke aktivasi, penulisan, dan pengarahan seni. Kami benar-benar memberikan sepenuh hati dan ia menjadi satu penghormatan besar bagi saya.

Artikel Berkaitan: Keselesaan Tanpa Batas Bersama Koleksi Linen Uniqlo SS25