Natasha Ozeir The Coffee Princess

The Coffee Princess

Natasha Ozeir, seorang usahawan yang tegas dan berdikari, berkongsi kisah perjalanan hidup dan perniagaannya, dari membesar di Sabah hingga impiannya untuk mengembangkan jenama Richman Coffee sambil terus memajukan perniagaan milik keluarga.

pengarah kreatif  AIZAT AIDID konsultan kreatif CHEAH WEI CHUN pengarah seni kanan KHAIRANI RAMLI pengarah seni AMIRUL ARIFIN gambar MICKY WONG solekan KF BONG dandanan MEI CHOI penyelaras SYAHIRAH HUSSAIN teks MAYA KUSUMA pelatih amali aesya sofilea aksesori Our Heritage Enterprise

Natasha Ozeir tiba di studio pada petang itu dengan penuh keyakinan. Baru sahaja mendarat dari lapangan terbang selepas percutian, dia terus menuju ke set penggambaran. Tanpa membuang masa, Natasha segera mengambil tempat di kerusi solek. Meskipun tidak mengenalinya secara peribadi, tingkah lakunya menggambarkan dia seorang yang tegas dan sentiasa memberi fokus terhadap apa yang dia dilakukan. Pembantu peribadinya setia di sisi, memastikan segalanya berjalan lancar agar Natasha dapat memberi tumpuan penuh pada persiapan rambut dan solekannya.

Natasha Ozeir bangunkan legasi

Semasa sesi persiapan bermula, pembantu peribadi Natasha menghulurkan makanan dan minuman kepada seluruh pasukan GLAM yang terlibat dalam penggambaran hari itu. “Ini daripada Natasha, makanlah,” katanya ringkas. Walaupun sedang sibuk bersiap, Natasha tetap mengambil kira kebajikan orang di sekelilingnya, memastikan semua orang selesa dan dijamu. Tindakannya itu mencerminkan rasa hormat dan empatinya terhadap mereka yang bekerja bersamanya. Ia menggambarkan sisi peribadinya yang rendah hati dan pemurah, sifat yang memberi aura positif kepada orang-orang disekelilingnya.

Ketika proses solekan berlangsung, Natasha memberikan sepenuh kepercayaan kepada pasukan kreatif untuk merealisasikan konsep penggambaran ini. Dia bersetuju untuk melunturkan warna keningnya, satu keputusan yang menunjukkan keterbukaaan dalam beradaptasi dengan idea baharu. Tindakan ini juga membuktikan dirinya tidak takut untuk keluar dari zon selesa demi hasil kerja yang berkualiti.

Anak kedua daripada tiga beradik ini dilahirkan di Kota London, United Kingdom, namun dibesarkan di Beaufort, Sabah. Baginya, pengalaman membesar di Sabah menjadi asas kepada segala nilai yang dipegangnya hari ini. “Membesar di Sabah memang membentuk siapa saya hari ini. Saya sangat bertuah sebab dapat bersama dalam komuniti yang pelbagai iaitu lebih 30 kumpulan etnik, lebih 80 bahasa lokal dan kepelbagaian itu bukan saja diterima, tapi dirayakan,” ujarnya.

See also
HERMES WRTW AW25 Fashion Show Livestream

Natasha menjelaskan lagi bahawa suasana di rumah nenek dan datuknya amat berbeza daripada kebanyakan orang. Ia menjadi tempat pertemuan dan perkongsian dari pelbagai latar belakang. “Sejak kecil, memang sudah biasa tengok macam-macam budaya, sebab saya membesar di rumah nenek dan datuk saya, tempat orang dari pelbagai lapisan umur, bangsa, budaya datang singgah.” Dia juga mempunyai darah campuran Bisaya, Melayu Brunei, Kadazan dan Cina. Di sana, amalan melayan semua orang seperti keluarga adalah budaya yang sudah menjadi kebiasaan sejak kecil. Pengalaman hidup dalam suasana seperti ini membentuk sikap terbukanya terhadap perbezaan, serta mendorongnya untuk menghormati dan menghargai setiap individu tanpa mengira latar belakang.

Daripada pengalaman hidup itulah tumbuh kesedaran Natasha tentang kekuatan masyarakat di sana terutamanya peranan wanita dalam membentuk struktur sosial dan ekonomi luar bandar. Melihat bagaimana nenek, ibu saudara dan jiran-jiran wanitanya menguruskan keluarga, menjana pendapatan, dan tetap menjaga keharmonian, dia mula memahami bahawa kekuatan wanita Sabah bukanlah satu perkara baharu. Cuma kadang kala, ia tidak diberi perhatian yang sewajarnya. “Saya percaya wanita di Sabah boleh memainkan peranan besar dalam pembangunan transformasi ekonomi luar bandar. Mereka mempunyai intelektual, bijak dan tajam akal. Kadang-kadang apa yang kurang hanyalah akses kepada peralatan dan peluang yang tepat. Tapi bila mereka diberi ilmu, latihan dan platform, mereka bukan saja boleh bina bisnes kecil malah mereka juga boleh hidupkan semula komuniti, dan menjadi penggerak ekonomi yang lebih mampan,” kongsinya.

Natasha turut menyuarakan rasa kagumnya terhadap ketahanan dan kecekalan wanita desa yang selama ini membuktikan kemampuan mereka dalam pelbagai sektor dari pertanian ke pelancongan komuniti. “Mereka tak perlukan ‘penyelamat’. Apa yang mereka perlukan adalah peluang dan keyakinan yang dunia juga percaya pada kebolehan mereka. Saya percaya wanita akan terus jadi antara kekuatan utama dalam membentuk ekonomi baru Sabah,” katanya.

See also
Christian Louboutin Melancarkan Koleksi Sepatu Nude Baru

Sebagai seseorang yang bangga dengan warisan tempatan, Natasha turut menekankan potensi besar dalam kraf tradisional Sabah. Dia memberitahu dastar dan tenunan Rungus sebagai dua contoh warisan yang boleh diberikan nafas baru dan diterjemah ke dalam rekaan fesyen kontemporari. “Kalau saya boleh kembangkan sesuatu dari Sabah, saya akan guna dastar dan tenunan Rungus,” jelasnya. “Dastar yang ringan dan kuat itu sesuai sangat jadikan jaket moden, skirt potongan sleek atau top berstruktur. Corak berani tenunan Rungus pula saya bayangkan cantik untuk bucket hats, tote bags, atau sneakers. Sabah punya kraf sangat kaya cuma kita perlu olah jadi item yang orang muda boleh pakai hari-hari.”

Berkongsi pandangannya tentang bagaimana untuk menarik minat generasi muda terhadap kekayaan budaya dan alam semula jadi Sabah yang unik. “Kalau nak orang muda menghargai Borneo, kita kena buat benda tu ‘relatable’. Tak boleh mengharapkan mereka tiba-tiba jatuh cinta dengan warisan kalau semua benda disampaikan seperti dalam buku teks. Kita kena bawa Borneo itu keluar sikit melalui festival muzik, kesenian, pengembaraan yang Instagrammable,” jelasnya. “Make it cool. Baru mereka rasa Borneo bukan sekadar hutan dan pulau, tapi satu ‘vibe’, satu identiti yang mereka banggakan. Kalau tidak, semua tinggal dalam slideshow Google,” kata wanita cantik kacukan Lubnan ini.

Natasha berpendapat, kepelbagaian yang dimiliki Sabah, baik dari segi alam semula jadi mahupun warisan budaya, sepatutnya diterjemahkan dalam cara yang lebih moden dan menarik bagi generasi muda. Hal ini penting agar mereka dapat melihat keindahan Borneo bukan hanya dalam dimensi tradisional, tetapi sebagai sebuah destinasi yang penuh dengan potensi dan daya tarikan. Natasha percaya bahawa perubahan besar dalam cara orang luar melihat Sabah dan Borneo dapat dicapai apabila lebih banyak elemen moden dan kontemporari dimasukkan ke persembahan budaya tradisional, menjadikannya lebih dekat dengan kehidupan mereka.

See also
GLAM FIRST: Hermès Fall/Winter 2022 RTW

“Dengan cara itu, kita boleh wujudkan satu hubungan antara orang muda dan warisan mereka sendiri,” katanya sambil menambah, “Bila boleh ‘relate’ dan bangga dengan tempat asal mereka, itu adalah langkah pertama untuk menjadikan Sabah bukan hanya sebagai tempat percutian, tetapi juga pusat peluang yang lebih luas. Sabah perlu dilihat sebagai tempat untuk berkembang, bukan hanya destinasi untuk bercuti semata-mata.”

Bagi Natasha, visi untuk membawa Sabah ke tahap yang lebih tinggi bukan sekadar tentang mempromosikan keindahan alam semula jadi, tetapi juga tentang memberi ruang kepada masyarakat tempatan terutamanya generasi muda untuk melihat dan menyertai peluang yang tersedia. Dengan sokongan platform yang lebih besar, ia bukan sahaja akan membuka lebih banyak pintu kepada mereka, tetapi juga memberi peluang kepada dunia luar untuk mengenali lebih mendalam mengenai potensi yang ada di Sabah.

Berbicara tentang wanita-wanita yang paling banyak membentuk dirinya sejak kecil adalah neneknya, ibu saudara dan ibu tirinya. “Kesemua mereka merupakan insan yang kuat. Tetapi kalau saya kena pilih satu, saya pilih ibu saya. Dia seorang yang kuat, tidak mudah putus asa, berdikari dan dia selalu mengajar kami untuk bercakap benar, merendah diri dan tidak bergantung kepada orang lain kecuali diri sendiri,” kongsinya. Tambah Natasha, membesarkan dirinya dan adik-beradik lain bukan sesuatu yang mudah. Mereka memiliki sikap keras kepala dan tidak mudah mengalah tetapi sifat-sifat tersebut tidak bermaksud negatif cuma mencabar untuk dikendalikan. Ia memerlukan kekuatan yang luar biasa daripada seorang ibu yang tegas dan berdikari untuk membentuk diri mereka menjadi seperti hari ini. “Pada akhirnya, ibu saya tetap wanita terkuat yang saya kenal. Ada juga yang berkata saya mirip arwah bapa saya…jadi boleh bayangkan, ianya tidak mudah!”

Baca kisah penuh Natasha Ozeir dengan mendapatkan majalah GLAM isu Mei 2025 di pasaran sekarang atau langgan secara online menerusi magzter.com.