Cara Mencari Kekuatan Untuk Memilih Diri Sendiri
Ada satu fasa dalam hidup yang tidak ramai yang bersedia untuk bicarakan. Dimana saat kita terpaksa memilih untuk melepaskan orang yang kita cinta demi mempertahankan diri sendiri. Ia bukan keputusan mudah. Ada malam-malam yang penuh air mata, ada kenangan yang memaksa kita berpaling kembali, dan ada bisikan hati yang bertanya, “Adakah aku sudah cukup berusaha?”
Tidak salah untuk sayang orang lain sepenuh hati. Tapi, jangan sampai kita lupa untuk sayang diri sendiri. Ini adalah cara-cara mencari kekuatan untuk memilih diri sendiri dalam sesuatu hubungan:
#1 Dengar Bisikan Suara Hati Anda
Setiap luka ada suaranya. Ikut bisikan suara itu kerana walau perlahan, ianya jujur. Benarkan diri anda untuk menangis, kerana tangisan itu juga adalah satu bentuk kekuatan. Bila kita akui derita itu, kita memberi ruang kepada diri sendiri untuk sembuh. Hati yang jujur pada dirinya, akan temui jalan keluar dari kesedihan tersebut.
Memilih diri sendiri bukan tanda kegagalan dalam cinta. Sebaliknya, ia adalah bukti bahawa kita memahami nilai diri kita. Ia menunjukkan keberanian untuk berkata, “Aku berhak untuk bahagia, walaupun itu bermakna aku perlu berjalan sendirian seketika.”
#2 Kumpul Semangat Dengan Sokongan Sekeliling
Jangan pendam semua perasaan sendirian. Mungkin anda tidak sedar tetapi, akan ada tangan-tangan yang sedia menyambut bila kita hampir jatuh. Luahkan pada orang yang dipercayai seperti sahabat ataupun ahli keluarga. Kadang satu pelukan atau kata semangat cukup menenangkan badai dalam dada. Kadang satu nasihat boleh mengubah perspektif dalam hidup kita. Bersama yang menyayangi, kita akan mula sedar yang kita tidak keseorangan.
Dan di saat itu, memilih untuk melepaskan bukan bermakna kita berhenti mencintai tetapi ia bermakna kita memilih untuk tidak mengorbankan diri sendiri dalam proses itu.
#3 Ketahui Nilai Diri Kita
Bukan semua cinta harus kita genggam selamanya. Ada yang hadir hanya untuk mengajar kita mencintai diri. Pilihlah diri sendiri, bukan kerana ego, tetapi kerana kita layak dicintai dengan sepenuh hati. Cinta sejati bermula apabila kita tahu menjaga jiwa sendiri. Dan percayalah, memilih diri sendiri bukan pengakhiran, malah ia permulaan kepada segalanya.
#4 Percaya Bahawa Melepaskan Juga Satu Bentuk Cinta
Kita perlu percaya bahawa melepaskan bukanlah menafikan semua momen indah yang pernah tercipta. Ia hanya menandakan satu bab telah tamat, dan kini kita diberi peluang untuk menulis cerita baru. Dan untuk cerita ini, diri sendiri sebagai watak utama.
Hidup terlalu berharga untuk dihabiskan dengan rasa kurang dihargai. Hidup terlalu singkat untuk terus menunggu seseorang yang tidak pasti. Kita berhak memilih ketenangan berbanding usaha yang sekadar melepas batuk di tangga, berhak memilih diri sendiri tanpa rasa bersalah.
Jadi kepada anda yang sedang berada di persimpangan ini, ketahuilah bahawa memilih diri sendiri bukan bermaksud kita gagal dalam cinta. Ia bermaksud kita cukup berani untuk mencintai diri kita dengan sepenuh hati.
ARTIKEL BERKAITAN: Putuskan Rantaian: Pasangan yang Abusif