Galeri SARENG Lancar Program Residensi Seni Antarabangsa Untuk Seniman Malaysia
Galeri SARENG

Galeri SARENG Lancar Program Residensi Seni Antarabangsa Untuk Seniman Malaysia

SARENG, sebuah galeri kontemporari di kota Kuala Lumpur mengumumkan pelancaran Program Residensi Seni Antarabangsa dwitahunan. 

Program Residensi Seni Antarabangsa ialah satu inisiatif terkini oleh Galeri SARENG untuk industri seni Malaysia. Galeri SARENG dibuka di tengah kota Kuala Lumpur sejak tahun 2022. Ini bertujuan untuk meningkatkan pendedahan bagi seniman Malaysia di peringkat antarabangsa dengan memudahkan pertumbuhan kreatif melalui pengalaman yang mendalam sambil mengukuhkan rangkaian seni global. 

Seniman pertama yang dipilih untuk program ini adalah Hisyammuddin Abdullah, seorang seniman yang terkenal di Malaysia. Program residensi ini akan berlangsung pada 15 Julai hingga 30 September 2024 di Studio Pompstraat di Rotterdam, Belanda. Tumpuan akan diutamakan kepada penyelidikan dan pembangunan seni, penghasilan karya seni, dan pengalaman dalam komuniti seni tempatan.

Galeri SARENG

Hisyamuddin Abdullah, seniman Malaysia pertama yang dipilih untuk Program Residensi Seni Antarabangsa Galeri SARENG

Studio Pompstraat yang memiliki ruang serbaguna dengan enam buah studio, ruang projek berkongsi, dan sebuah dewan berpusat yang boleh berfungsi sebagai ruang pameran. Studio ini diduduki oleh artis-artis yang bekerja secara antarabangsa dan di Belanda. Terletak di tengah-tengah Charlois, studio ini merupakan tempat bagi komuniti seni antarabangsa yang besar dan bertenaga. Pertama kali dibuka pada tahun 2004, studio ini merupakan salah satu inisiatif seni yang telah lama berdiri di Rotterdam.

Galeri SARENG

Studio Pompstraat, Rotterdam

Program Residensi Seni Antarabangsa Galeri SARENG yang dianjurkan bersama dengan Studio Pompstraat ini disediakan dengan penginapan yang baik oleh Yayasan N.A.C. (Nieuwe Ateliers Charlois). Program ini akan diakhiri oleh pameran berkumpulan dianjurkan oleh Foundation B.a.d. ketika Groot Rotterdams Atelier Weekend, menampilkan hasil karya yang dicipta oleh Hisyamuddin semasa residensi.

See also
Potret Unik Puteri Diana Dipamer Di London

Peranan Penting Residensi Seniman Untuk Kerjaya Seorang Seniman

“Residensi seniman memainkan peranan penting dalam perkembangan kerjaya seorang seniman dengan menyediakan mereka masa, ruang, dan sumber untuk tumpu kepada amalan kreatif mereka. Seniman dapat mengasingkan diri dari persekitaran biasa, terlibat dalam suasana baru, dan berinteraksi dengan komuniti kreatif yang beraneka ragam. Residensi seniman juga menawarkan peluang untuk menjalinkan rangkaian, mendapatkan pendedahan kepada penonton baru, dan berkolaborasi. Pendedahan kepada perspektif dan idea baru dapat membangkitkan inovasi, menggalakkan eksperimen. Dengan ini, kami berharap, mendorong seniman untuk meneroka teknik dan tema baru.” Ujar Syukur Ali, salah seorang pengasas Galeri SARENG. 

Sebahagian daripada pembiayaan program ini bagi edisi 2024 datang daripada Asia Art Archive dan Bloomberg. “Menganjurkan dan menyediakan tempat residensi seni antarabangsa ini adalah langkah seterusnya dalam keinginan kami untuk menyumbang dan memberi balik kepada seni kontemporari Malaysia,” kata salah seorang pengasas Galeri SARENG, Chong Wei-Hsiang.