GBC Eksklusif: Di Sebalik Tabir Solekan Bernadya Untuk Konsert Tur Berjalan - Glam Malaysia

GBC Eksklusif: Di Sebalik Tabir Solekan Bernadya Untuk Konsert Tur Berjalan

Peluang eksklusif buat GBC kali ini adalah ketika berada di belakang tabir dan menyaksikan sendiri persiapan Bernadya bagi konsertnya yang dinanti peminat di Malaysia, Tur Berjalan.

Segala yang eksklusif buat ahli GBC! Kami mendekati kedua-dua figura yang kami kagumi iaitu Ezad Ibrahim, jurusolek Malaysia yang menjadi pilihan Bernadya, penyanyi dari negara seberang yang kian mendapat tumpuan ramai. Kehadiran Bernadya yang julung-julung kalinya di Malaysia memikat hati para peminat dengan gaya natural dan personalitinya yang menyenangkan. Sentuhan solekan malam itu yang diserikan oleh Ezad datang dari inspirasi solekan Korea yang mana ia bukan sahaja menonjolkan kecantikan semula jadi Bernadya, tetapi ia juga antara gaya solekan kesukaan Bernadya yang meminati gaya minimalis dan fresh.

Bernadya dan Tur Berjalan
Bernadya, penyanyi yang popular dengan lagu Untungnya, Hidup Harus Tetap Berjalan buat julung kalinya mengadakan konsert pertamanya di The Bee Publika, Kuala Lumpur pada 25 September lalu. Penyanyi yang berusia 20 tahun ini menyampaikan 11 buah lagu daripada albumnya pada malam berlangsungnya konsert dan dihadiri 500 orang peminat.

Inspirasi di Sebalik Solekan Gaya Korea

Ezad berkongsi bahawa inspirasi solekan kali ini adalah untuk mencipta penampilan yang ringkas tetapi memukau, sesuai dengan keinginan Bernadya untuk kelihatan semula jadi dan tidak berlebihan. “Rona kulit Bernadya yang sekata dan bercahaya menjadikannya ia kanvas sempurna untuk solekan gaya Korea,” jelas jurusolek lokal ini.

Kredit: Ezad Ibrahim

“Saya menggunakan teknik asas cushion foundation, yang memberikan hasil minimalis sekaligus cuba mengelak dari menghasilkan solekan pentas yang terlalu tebal. Ia sesuai untuk mengekalkan elemen segar dan semula jadi seperti yang Bernadya mahukan,” jelas Ezad.

Dengan menggunakan cushion foundation, Ezad dapat memastikan solekan kekal ringan tetapi tetap mampu menutup cela kecil. Kulit yang lembap adalah kunci untuk solekan gaya Korea. Gunakan pelembap yang memberi kesan dewy, kemudian aplikasikan primer untuk memastikan solekan tahan lebih lama. Tambahan lagi, gunakan concealer yang ringan untuk menutup lingkaran hitam dan jerawat. Pastikan ia blend dengan baik untuk kelihatan semula jadi.Teknik ini juga membantu mencipta kesan kulit yang dewy, yang merupakan ciri utama dalam solekan Korea.

Korean Look Menyerlahkan Sisi Lembut Bernadya

Ezad memberitahu bahawa kulit Bernadya merupakan antara kulit idaman wanita kerana sangat flawless dan anjal. Oleh itu, jurusolek terkenal ini memilih untuk menggunakan warna-warna semula jadi yang lembut, tanpa perlu menambah lapisan asas berkali-kali.

“Sedikit gincu rona merah jambu mampu menaikkan seri wajah Bernadya dan menambah sedikit kesegaran,” katanya. Menurut Ezad, kunci utama adalah memastikan kulit sentiasa kelihatan sihat dan bercahaya, kerana ia memainkan peranan penting dalam solekan yang sentiasa malar segar.

Selain itu, jurusoleh terkenal ini juga berkongsi bahawa lip tint adalah item penting untuk mendapatkan bibir yang tampak lembut dan kemerah-merahan. Warna-warna seperti merah jambu, peach, atau merah cerah sering digunakan.

Tip Mencipta Solekan Wanita Korea

Ketika ditanya mengenai cabaran terbesar dalam mencipta solekan ini, Ezad berkongsi bahawa mengekalkan solekan sepanjang konsert adalah perkara yang mencabar, terutamanya dengan pancaran spotlight yang boleh membuat solekan kelihatan berlebihan. “Jadi, untuk solekan yang tipis, sangat penting untuk memulakan dengan persiapan kulit yang baik. Pilih cushion foundation yang sesuai untuk mengunci solekan, dan elakkan penggunaan highlighter yang berlebihan kerana ia boleh menyebabkan wajah kelihatan terlalu bercahaya di bawah spotlight,” tambah Jurusolek ini.

Bagi peminat yang ingin mencipta semula solekan inspirasi Korea ini, Ezad menyarankan untuk memberi fokus kepada persiapan kulit terlebih dahulu dan memilih produk solekan yang sesuai dengan jenis kulit masing-masing.

Selain itu, solekan Korea sering menggunakan pemerah pipi dengan rona lembut seperti peach atau merah jambu. Oleskan di bahagian apple of the cheeks (bahagian pipi yang terangkat ketika senyum) untuk memberikan efek manis dan segar. Layangan maskara perlu untuk dimensi bulu mata yang lentik, tetapi hindari melapis hingga tampak terlalu tebal dan bergumpal. Satu lapisan maskara biasanya cukup untuk menambah definisi dan memberi kesan mata bundar. Dengan penampilan Bernadya yang memukau dan solekan sempurna oleh Ezad Ibrahim, konsert ini pasti akan menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan bagi para peminat Bernadya di Malaysia.

Fun Fact Tentang Bernadya

Untungnya, Hidup Terus Berjalan telah mendapat 47 juta tontonan peminat di akaun YouTube miliknya dan 95 juta pendengar di Spotify.
Penyanyi yang berkulit gebu putih ini menjelaskan pada GBC bahawa dirinya mendapat inspirasi untuk menulis lirik lagu apabila meluangkan masa bersama teman-teman.

Lebih membanggakan, penyanyi berbakat luar biasa ini kini mendapat lima nominasi daripada anugerah berprestij Anugerah Industri Muzik, AIM 2024. Bernadya dinominasikan dalam kategori Artis Solo Wanita Pop Terbaik, Album Pop Terbaik, Album Terbaik Terbaik, Karya Produksi Terbaik Terbaik dan Pencipta Lagu Pop Terbaik.

Artikel Berkaitan: GBC Lulus: Ini 3 Wangian Terbaharu Yang Unik Di TROVE