Jam Tangan Laureato Sangat Mewah Dengan Taburan Berlian

Berlian & Biru: Kilau Magis Laureato yang Mencuri Perhatian

Pada penghujung dekad 60-an lahirnya sebuah filem Il laureato, berkisar tentang seorang jejaka graduan universiti. Cerita ini mencipta sensasi sehingga nama filem itu diabadikan oleh Girard-Perregaux kepada satu jam yang turut melawan arus perdana. Jam tangan Laureato yang muncul pertama kali pada 1975 nyata menjadi satu objek pendahulu.

Ia dihasilkan oleh Adolfo Natalini, seorang arkitek asal Milan. Dia bermain dengan rekaan dom dengan bentuk oktagon yang cukup memancarkan rasa maskulin. Keunikan bentuk jam tangan Laureato ini meletakkan Girard-Perregaux pada landasan lebih moden berbanding dengan jenama jam tangan lain pada dekad 70-an. Sepanjang lima dekad, himpunan Laureato lahir dengan pelbagai variasi. Kali ini, bagi meneruskan kegemilangan 50 tahun, Girard-Perregaux menaruhkan dua rekaan terkini bagi jam tangan klasik ini.

jam tangan laureato

Ia adalah satu hadiah seni daripada Girard-Perregaux dengan menggabungkan seni ketukangan jauhari. Maka mempertontonkan nilai Métiers d’Ar pada dunia jam tangan. Karya pertama adalah jam tangan Laureato yang ditaburi dengan 32 butir berlian. Variasi kedua pula dikelilingi bersama berlian dan batu intan nilam rona biru yang mencipta efek gradient indah. Intan potong baguette memerlukan ketepatan luar biasa, satu cabaran yang diatasi dengan bezel yang direka khas. Setiap batu permata diletakkan dengan teliti dalam saluran yang menampung sedikit variasi saiz dan bentuk, memastikan penjajaran yang sempurna.

See also
Persinggahan Baton Nan Ikonik

Bezel oktagon Laureato mempunyai saluran berbentuk unik yang melebar ke arah setiap sudut untuk menyesuaikan dengan saiz batu permata yang berbeza. Dipasang menggunakan teknik penetapan tak terlihat, intan potong baguette terkenal dengan kadar yang luar biasa dan permainan cahaya yang menakjubkan. Dail jam jam tangan Laureato dibuat daripada emas putih dan dihiasi dengan corak Clous de Paris yang elegan. Berbeza dengan model Laureato lain, jam ini tidak mempunyai teks dail biasa antara pukul 4 dan 8.

Pada pandangan pertama, model ini kelihatan monokromatik, tetapi penelitian lebih dekat mendedahkan kontras tona halus yang memberikan penampilan yang tersangat halus dan mewah, diperkuat lagi dengan logo GP dan indeks yang dibentuk daripada emas putih. Lebih menakjubkan adalah pemilihan batu intan nilam biru. Jam tangan Laureato menampilkan berlian di sekitar jam 6, manakala batu nilam mendominasi bahagian lain, dengan warna biru yang semakin gelap menghampiri jam 12. Perubahan warna ini dipadankan dengan saiz batu permata yang berubah secara halus, dengan batu terbesar berada di setiap sudut bezel lapan sisi. Dua jam tangan terkini ilham Girard-Perregaux mencerminkan mutu rekaan yang kontemporari dan menjadi penghias pergelangan tangan wanita moden sekarang.

See also
Pewaris Takhta Diraja Paling Muda Di Dunia

Artikel berkaitan: Chopard Serlahkan Rasa Tenang Laut

Aizat Aidid, Pengarah Kreatif GLAM Malaysia, mengemudi dengan cita rasa mewah dan kandungan dinamik yang mengangkat nadi gaya aspirasi sekarang. Visinya nan elegan dan progresif terus mendefinisikan wajah baharu generasi semasa.