Cindy Crawford dalam kempen Balmain Spring/Summer 2016. Gambar: Steven Klein/Balmain
Wajahnya cukup sinonim dalam arena modelling sejak 30 tahun lalu, kini Cindy Crawford mengumumkan untuk bersara menjelang ulang tahun kelahirannya yang ke-50 pada 20 Februari ini.
Menerusi temu bualnya bersama sebuah majalah antarabangsa, Cindy berkata, “Saya yakin bahawa wajah saya masih akan dirakam dalam masa sepuluh tahun akan datang, tetapi bukanlah sebagai seorang peragawati. Dan ianya tidak mengapa, kerana saya telah melaluinya sebelum ini. Saya pernah bekerjasama dengan ramai jurugambar hebat. Apa lagi yang perlu saya lakukan? I can’t keep reinventing myself. Saya tidak perlu untuk sentiasa membuktikan diri sendiri. Saya tidak mahu.”
Cindy Crawford mencipta fenomena tersendiri dalam industri modelling. Terkenal dengan signature tahi lalat di atas bibir, dia pernah dinamakan sebagai peragawati dengan bayaran tertinggi di dunia pada tahun 1995 oleh Forbes. Popularitinya melonjak sekitar era 80-an dan 90-an dimana wajahnya sering menghiasi majalah fesyen antarabangsa serta dipilih untuk melewati pentas rumah fesyen ternama seperti Chanel, Versace dan Christian Dior. Iklan Pepsi dibintanginya pula antara yang begitu ikonik hingga kini.
Terkini, dia melancarkan buku yang digelar “Becoming”, menceritakan kisah hidup serta perjalanan kariernya selain turut dipilih sebagai wajah kempen Balmain musim bunga panas 2016 bersama Naomi Campbell dan Claudia Schiffer.