Akibat Mahu Putih Cepat - Glam Malaysia

Akibat Mahu Putih Cepat

Oleh: Suzie Adnan
 

02F13521

Gambar: INGimage


 
Dalam timeline Facebook, status berselang-seli orang mempromosi produk pemutih kulit tempatan. Selak kebanyakan akhbar atau majalah, iklan pemutih kulit juga mendominasi. Sampaikan di kaca TV pun, iklan pemutih kulit pasti pop up selang setengah jam. Sememangnya penjualan produk-produk pemutih tempatan sudah lama berakar umbi di negara kita sejak awal 90-an lagi. Walau banyak amaran dikeluarkan mengenai bahayanya, orang kita masih tegar menggunakan produk pemutih kulit. Kesedaran mengenai efek negatifnya tidak diendahkan apatah lagi apabila media arus perdana juga sudah mengiktirafkannya.
 
Saya tidak mengatakan kesemua produk pemutih kulit itu bahaya. Kebanyakkan produk berjenama antarabangsa turut menjanjikan kulit putih, namun bukanlah dalam masa semalaman. Kandungannya dijamin selamat oleh badan kesihatan antarabangsa dan apabila menggunakannya, kesan terbaik hanya boleh dinikmati jika dipakai dalam jangka masa panjang.
 
Saya sendiri pernah beberapa kali menemuramah beberapa doktor estetik dan kesemuanya memberitahu yang kulit mampu dicerahkan tetapi ada spesifikasi tertentu dari segi rawatan agar tidak menganggu sistem tubuh yang lain. Jauh beza dengan kebanyakkan produk pemuith kulit tempatan yang mampu mencerahkan kulit dalam masa seminggu.
 
Semua tahu produk-produk ini mengandungi merkuri. kerana itu efeknya pada kulit seakan menghakis sehingga kulit menjadi senipis kulit bawang lantas membuang sel pelindung kepada sinar matahari yang akhirnya mampu mengundang kanser. Lebih parah, zaman sekarang ini ada pula ubat pemutih (yang khabarnya turut mengandungi merkuri!) yang diambil secara oral. Ramai pula yang membelinya. Tidakkah mereka takut kerana ini diibaratkan seperti menelan racun?
 
Sebenarnya banyak kisah yang jarang diwar-warkan mengenai impak pemakaian produk pemutih kulit secara berpanjangan. Namun trend minum supplement putih ini lebih membimbangkan. Seseorang yang saya kenali, awalnya sihat walafiat, secara tiba-tiba jatuh sakit. Sampai sahaja di hospital, doktor mengesahkan kedua-dua buah pinggangnya sudah gagal berfungsi. Bila dilakukan kaji selidik, rupa-rupanya arwah seorang pengamal produk minuman yang seringkali dipaparkan di kaca TV. Sesungguhnya, hanya doktor yang bertauliah sahaja yang layak memberi preskripsi. mengapa sampai sanggup lumur (dan telan) racun satu osesi membuta-tuli yang cukup menggerunkan.
 

See also
Hari Perkahwinan Rakan, Mary-Kate & Ashley Curi Perhatian