Penginapan Mewah Atas Awan Bakal Dibuka Ogos Ini!
Kuala Lumpur bakal menerima kehadiran destinasi mewah terbaru yang pastinya menarik perhatian peminat gaya hidup eksklusif iaitu Park Hyatt Kuala Lumpur, hotel sulung jenama ikonik ini di Malaysia.
Dijadualkan dibuka pada Ogos 2025 di puncak Merdeka 118, bangunan tertinggi di Asia Pasifik dan kedua tertinggi di dunia. Dengan kedudukan yang begitu mengagumkan, hotel ini menjanjikan pengalaman menginap yang benar-benar luar biasa, seolah-olah berada “di atas awan”.
Penginapan mewah di atas awan

Rendering of Exterior
Park Hyatt terkenal di seluruh dunia dengan pendekatan mewah yang tenang dan bersahaja dan versi Kuala Lumpur ini tidak terkecuali. Direka oleh firma terkenal G.A Group, ruang dalamannya diinspirasikan oleh seni warisan dan sentuhan kraftangan Malaysia, menghasilkan suasana yang mewah namun masih mengekalkan identiti negara ini. 252 buah bilik dan suite luas di hotel ini bukan sahaja menawarkan keselesaan, tetapi juga panorama menakjubkan yang merentasi seluruh bandar.
Tetamu juga boleh menantikan pengalaman gaya hidup lengkap yang bukan sekadar bermalam. Di tingkat 99, tersedia ruang khas untuk kesihatan dan kesejahteraan, tempat para tetamu boleh menyegarkan badan dan minda dengan kemudahan spa dan kecergasan yang bertaraf dunia.

Rendering of Pool
Bagi penggemar makanan, tingkat 75 akan menjadi pusat gastronomi baharu di ibu kota dengan tiga konsep menarik: Park Lounge untuk hidangan sepanjang hari, restoran eksklusif Merdeka Grill, dan bar bertemakan coklat unik yang dinamakan Cacao Mixology & Chocolate.
Yang menjadikan semuanya lebih menarik adalah tawaran pembukaan yang kini tersedia untuk tempahan. Pakej Opening Offer termasuk sarapan untuk dua orang, tempat letak kereta percuma dan 500 mata World of Hyatt. Manakala pakej The Suite Escape membawa pengalaman ke tahap lebih tinggi lengkap dengan manisan istimewa ciptaan Pastri Chef Holger Deh, lawatan budaya peribadi ke Rumah Penghulu Abu Seman, dan kredit hotel bernilai RM650 yang boleh digunakan di restoran dan spa.
Park Hyatt Kuala Lumpur bukan sekadar hotel ia satu destinasi gaya hidup yang menggabungkan kemewahan, kehalusan seni reka, dan penghargaan terhadap budaya tempatan. Bagi yang menghargai ketelitian dalam setiap pengalaman, inilah masa untuk merancang satu percutian yang benar-benar eksklusif di tengah kota.
Artikel Berkaitan: Percutian Safari Mewah di Thailand