Skop: Sensitiviti Adab Yang Kian Terhakis
Dalam era digital yang serba pantas ini, kehadiran media sosial telah mengubah landskap komunikasi dan gaya hidup masyarakat, terutamanya dalam kalangan generasi muda. Generasi z, yang lahir dalam lingkungan teknologi serba canggih, terdedah kepada pelbagai maklumat tanpa tapisan sejak usia muda. namun, disebalik akses tanpa had kepada dunia maya, persoalan besar yang timbul adalah – mana sensitiviti adab?
Jika dahulu nilai-nilai ketimuran seperti hormat-menghormati, sopan santun, dan kesantunan dalam berbicara menjadi tunjang utama dalam kehidupan bermasyarakat, hari ini ia seakan semakin terhakis. Budaya “berani kerana netizen” semakin menjadi-jadi, di mana sesiapa sahaja boleh mengeluarkan pendapat tanpa memikirkan sensitiviti adab, akibat, atau tanggungjawab terhadap kata-kata yang dilemparkan. Generasi Z membesar dalam era di mana media sosial bukan lagi sekadar alat komunikasi, tetapi sudah menjadi bahagian penting dalam kehidupan seharian. Instagram, TikTok, Twitter, dan YouTube menjadi pentas utama untuk mengekspresikan diri, mencari hiburan, serta mendapatkan maklumat. Tetapi, tanpa kawalan dan bimbingan yang seimbang, pendedahan yang berlebihan kepada media sosial boleh membawa kepada hilangnya rasa hormat terhadap nilai-nilai tradisional.

Kredit foto: Getty Images
Kebebasan bersuara tanpa batas ramai anak muda kini menggunakan media sosial untuk menyuarakan pendapat, tetapi ramai yang lupa tentang sensitiviti adab. Makian, sindiran, dan kecaman sewenang-wenangnya dilemparkan hanya kerana perbezaan pandangan. Budaya viral dan kecaman Budaya “cancel culture” yang semakin menular menyebabkan ramai yang teruja mencari kesalahan orang lain. Malangnya, konsep menegur secara beradab semakin dilupakan, digantikan dengan penghinaan dan menjatuhkan maruah secara terbuka.
Hilang rasa hormat terhadap autoriti dan golongan tua. Sikap ‘aku lebih tahu’ menjadi trend, di mana generasi muda tidak lagi menghormati nasihat orang yang lebih berpengalaman. Di ruang digital, sesiapa sahaja boleh menjadi ‘pakar’ dan mudah menidakkan pendapat golongan lebih tua, walaupun dengan hujah yang tidak berasas. Ketagihan validasi sosial ‘Likes’ dan ‘shares’ menjadi mata wang baru. Ramai sanggup mencipta kandungan kontroversi demi perhatian tanpa memikirkan impak kepada masyarakat. Selain media sosial, pengaruh budaya Barat juga memainkan peranan besar dalam membentuk pemikiran generasi muda. Kemodenan dan kebebasan berpendapat yang ditekankan dalam budaya Barat semakin meresap dalam masyarakat kita, tetapi malangnya ia sering diterjemahkan secara ekstrem.
Kebebasan bersuara tanpa adab. Di Barat, konsep kebebasan bersuara adalah hak asasi, tetapi dalam budaya Timur, kebebasan ini datang bersama tanggungjawab dan batasan moral. Namun, ramai yang meniru tanpa memahami konteksnya. Individualisme berlebihan, budaya ketimuran menekankan semangat kekeluargaan dan kebersamaan, tetapi pengaruh Barat mempromosikan kebebasan individu. Hasilnya, ramai anak muda kini lebih cenderung untuk menolak nilai-nilai keluarga demi memenuhi kepuasan peribadi. Normalisasi kandungan tidak beradab, filem, muzik, dan media sosial dari Barat sering menampilkan gaya hidup bebas dan komunikasi tanpa sekatan. Ini secara tidak langsung membentuk persepsi bahawa sensitiviti adab dan kesantunan adalah sesuatu yang ‘ketinggalan zaman’.
Kontroversi yang Mencetuskan Perdebatan
Mengambil contoh isu semasa yang berlegar di Malaysia, merujuk kepada isu aktres Ellie Suriaty, yang terkenal dengan ketegasan pendiriannya dalam dunia seni, telah dikaitkan dengan kontroversi mengenai kandungan yang diparodikan oleh pempengaruh Imran Bard yang dikongsi di platform digital. Imran Bard telah terlibat dalam penyebaran kandungan yang dianggap kurang sensitif terhadap perasaan individu tertentu, sekaligus mencetuskan reaksi negatif dalam kalangan warganet. Tindakan memuat turun atau berkongsi kandungan tanpa mempertimbangkan kesannya boleh membawa akibat buruk bukan sahaja kepada individu yang terlibat tetapi juga kepada masyarakat secara keseluruhan. Dalam kes ini, ramai yang berpendapat bahawa kandungan yang dimuat turun dan dikongsi telah mengguris perasaan pihak tertentu, lantas mencetuskan polemik yang berlarutan.
Begitu juga dengan isu tercetus apabila seorang pengulas makanan, Jason, dikritik oleh pengulas makanan yang dikenalinya kerana memberikan ulasan yang terlalu jujur sehingga didakwa menjejaskan perniagaan peniaga tempatan. Kejujuran adalah elemen asas dalam setiap ulasan. Pengguna bergantung kepada ketelusan pengulas untuk membuat keputusan yang tepat. Jason menegaskan bahawa sebagai pengguna, dia berhak memberikan pendapat yang jujur mengenai makanan yang dinikmatinya. Dia juga menolak idea bahawa setiap ulasan harus positif semata-mata, kerana itu lebih menyerupai promosi daripada ulasan sebenar. Namun, kejujuran tanpa pertimbangan boleh membawa implikasi negatif. Ulasan yang terlalu kritikal berpotensi menjejaskan periuk nasi peniaga kecil. Seorang pengulas makanan lain menekankan bahawa tujuan ulasan adalah untuk membantu peniaga memperbaiki perkhidmatan mereka, bukan untuk menjatuhkan. Dia mencadangkan agar maklum balas negatif disampaikan secara peribadi kepada peniaga, sementara ulasan positif dikongsi kepada umum. Perdebatan ini semakin hangat apabila beberapa pengulas makanan didakwa menyindir Jason melalui video kolaborasi yang dianggap tidak profesional oleh netizen. Tindakan sedemikian mencerminkan ketidakmatangan dan boleh menjejaskan kredibiliti komuniti pengulas makanan secara keseluruhan.
Baru-baru ini, insiden melibatkan tiga penyampai radio Era FM telah mencetuskan perbincangan hangat mengenai kepentingan kepekaan dalam penyiaran dan media sosial. Tiga penyampai radio Era FM, iaitu Nabil Ahmad, Azad Jasmin, dan Radin Amir, terlibat dalam sebuah video yang didakwa mempersendakan upacara keagamaan Hindu, khususnya tarian kavadi yang dilakukan semasa perayaan Thaipusam. Video tersebut menunjukkan mereka meniru tarian sambil menyebut “Vel Vel”, yang dianggap menyinggung perasaan penganut agama Hindu. Walaupun video itu telah dipadamkan selepas menerima kecaman, ia sempat ditonton sebanyak 95,400 kali dan dikongsi oleh 204 pengguna di media sosial. Susulan insiden tersebut, pihak polis menerima enam laporan dan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Ketiga-tiga penyampai radio tersebut telah digantung tugas serta-merta oleh pengurusan stesen radio sementara siasatan dijalankan. Malaysia Hindu Sangam (MHS) menerima permohonan maaf mereka dan menekankan kepentingan kepekaan dalam berkongsi kandungan di media sosial bagi mengelakkan insiden seumpama ini berulang. Susulan kes ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenakan kompaun RM250,000 kepada Maestra Broadcast Sdn Bhd kerana muat naik kandungan jelik melampau di TikTok Era FM. Kompaun itu dikenakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (yang dipinda pada 11 Februari 2025). Denda itu dikeluarkan dengan kelulusan Jabatan Peguam Negara.
Dampak Kurangnya Kepekaan

Kredit foto: Getty Images
Kurangnya kepekaan dalam memuat turun kandungan digital bukanlah isu baharu. Fenomena ini telah membawa kepada beberapa implikasi negatif, termasuk: Ketegangan Sosial Kandungan yang menyinggung perasaan boleh memecah-belahkan masyarakat dan mencetuskan konflik yang tidak diingini. Mengundang Kecaman dan Denda Undang-Undang Penyebaran kandungan sensitif tanpa kawalan boleh membawa kepada tindakan undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Menjejaskan reputasi Individu Mereka yang terlibat dalam penyebaran kandungan negatif berisiko kehilangan kredibiliti dan kepercayaan masyarakat. Menanam Sikap Tidak Bertanggungjawab dalam Kalangan Pengguna Digital. Jika tindakan ini dibiarkan berterusan, ia boleh menggalakkan budaya digital yang tidak beretika dan kurang bertanggungjawab.
Tanggungjawab Sosial dalam Era Digital
Sebagai pengguna digital yang bertanggungjawab, adalah penting untuk menilai kesan setiap kandungan sebelum dimuat turun atau dikongsi. Beberapa langkah yang boleh diambil untuk memastikan kepekaan sosial dalam dunia digital termasuk: Menyemak Kredibiliti dan Kesesuaian Kandungan Pastikan kandungan yang dikongsi tidak mengandungi unsur yang boleh menyinggung perasaan mana-mana pihak. Berfikir Sebelum Bertindak Ambil masa untuk menilai impak kandungan yang dimuat naik atau dimuat turun. Mengamalkan Etika Digital Menghormati hak privasi dan sensitiviti orang lain dalam setiap interaksi digital. Memupuk Kesedaran Mengenai Akta dan Peraturan DigitalMemahami undang-undang berkaitan komunikasi dalam talian bagi mengelakkan tindakan yang boleh mendatangkan kesan buruk.
Sensitiviti adab bukan sekadar warisan lama, tetapi asas kepada harmonian masyarakat. Jika generasi kini terlalu leka dengan kebebasan tanpa batas, kita akan melahirkan generasi yang kaya ilmu tetapi miskin akhlak. Kemajuan tidak akan bermakna jika ia mengorbankan nilai-nilai murni yang membentuk jati diri kita. Sebagai generasi yang bakal menerajui masa depan, sudah tiba masanya untuk kita bertanya kepada diri sendiri, adakah kita sedang maju, atau sekadar hanyut dalam arus globalisasi yang melunturkan identiti dan sensitiviti adab kita sendiri?
Artikel Berkaitan: Trend Viral TikTok: Gaya Hidup ‘Romanticizing’