Alia Bastamam, Mencipta Legasi Bersinar
Alia Bastamam bukan sekadar nama dalam dunia fesyen, tetapi suara yang membawa naratif tentang identiti, sensualiti dan evolusi kreatif wanita Malaysia. Diwawancarakan oleh Nelissa Hilman, Nazifi Nasri, Melinda Looi dan Kit Woo.
pengarah kreatif AIZAT AIDID konsultan kreatif CHEAH WEI CHUN pengarah seni kanan KHAIRANI RAMLI pengarah seni AMIRUL ARIFIN gambar EDMUND LEE/HEXA PRODUCTION solekan KF BONG dandanan YUSOF RUZAIMI penyelaras SYAHIRAH HUSSAIN teks MAYA KUSUMA
Di pagi penggambaran itu, saya tiba serentak dengan ketibaan Alia Bastaman yang menaiki sebuah kereta MPV hitam dihantar pemandunya. Saya mendekati dan membantu membawa pakaian daripada koleksinya sendiri untuk penggambaran hari itu. Kami berdua berjalan ke lif menuju ke tingkat dua sambil berbual kosong. Meskipun dia seorang pereka fesyen yang dikenali ramai, namun dia seorang yang peramah dan tidak sombong. Saya berfikir, mungkin sifat itulah yang menjadi rahsia kejayaannya hingga ke tahap sekarang.
Legasi Alia Bastamam
Dalam dunia fesyen Malaysia, nama Alia Bastamam tidak lagi asing dengan gaya rekaannya yang elegan, sensual, dan penuh dengan elemen seni yang halus. Setiap kali koleksi terbaru dilancarkan, saya selalu menyimpan hasrat untuk memiliki kesemua rekaannya. Untuk isu bulan Jun/Julai ini, kami berasa amat bertuah dapat berkolaborasi bersama Alia sebagai wajah muka depan majalah GLAM. Lebih menarik lagi, dalam temubual istimewa ini, empat rakan seindustri iaitu Nelissa Hilman, Melinda Looi, Nazifi Nasri dan Kit Woo bertanyakan Alia tentang cabaran industri, impian masa hadapan dan menyelami kisah di sebalik rekaannya.
Nelissa Hilman
Nelissa Hilman, pereka jenama kasut tempatan membuka perbualan dengan soalan mendalam tentang bahasa reka bentuk Alia yang sering digambarkan sebagai sensual dan elegan tanpa terlalu mencolok mata. Alia berkongsi bahawa segala rekaan yang dihasilkannya bermula dari keinginan peribadi, “Saya cipta pakaian yang saya sendiri mahu pakai. Tidak kira untuk acara rasmi atau harian, saya sentiasa mahu rekaannya mudah dan tidak rumit. Ada kekuatan dalam pakaian yang tidak perlu menjerit untuk dilihat, tetapi mampu berbicara dengan penuh makna.” Alia juga menekankan bagaimana latar belakang dalam bidang seni bina banyak membantu membentuk kefahaman struktur dalam fesyen, sementara pengalamannya bekerja rapat dengan wanita membimbingnya memahami erti sebenar sensualiti dan keperluan seseorang memiliki aura sendiri ketika mengenakan pakaian.
Disoal tentang resortwear, koleksi yang telah mengubah cara pandang wanita Malaysia terhadap pakaian bercuti, Alia menerangkan bahawa ilham itu datang dari pengalaman peribadinya sendiri. “Saya mulakan dengan berkongsi gaya saya ketika bercuti di tepi pantai atau pakaian yang saya ubah semula untuk majlis tertentu. Resortwear ini adalah tentang keanggunan yang santai, rasa selesa dan penuh keyakinan dimana ia mencerminkan wanita Malaysia yang anggun dan berjiwa bebas.” Mengenai perkembangan koleksi ini, Alia menegaskan bahawa evolusi rekaannya kini berlaku secara semula jadi dan tidak lagi cuba memenuhi citarasa pasaran atau identiti tertentu yang boleh menjauhkan dirinya daripada prinsip rekaan asal.
Selain itu, kerjasama kreatif menjadi salah satu aspek penting yang sering diperkatakan Alia. Dalam kolaborasinya bersama The Datai Langkawi, koleksi yang dihasilkan bukan sekadar pakaian, tetapi mewakili mood dan suasana yang istimewa iaitu kerinduan terhadap ketenangan dan pelarian, terutama ketika pandemik melanda dunia. “Kerjasama yang bermakna harus terasa semulajadi, seperti kita bercakap dalam bahasa yang sama. Saya tidak suka meletakkan logo secara sambil lewa di sebelah jenama saya. Setiap kolaborasi harus menonjolkan keanggunan tanpa paksaan, identiti tersendiri, dan kemewahan yang tenang serta peribadi.”
Dalam perspektif industri, Nelissa juga menyoal Alia tentang cabaran terbesar yang dihadapi pereka muda di Malaysia. Alia berpendapat bahawa masalah utama adalah kekurangan sokongan menyeluruh dari A hingga Z yang membolehkan pereka bukan sahaja melancarkan jenama, tetapi juga mengekalkan dan mengembangkan perniagaan mereka. “Ramai pereka muda yang mempunyai kreativiti hebat, tetapi kurang pengalaman dalam hal-hal operasi, pengeluaran, pemasaran dan pengurusan kewangan. Kita memerlukan sebuah institusi yang kukuh dan berwibawa, sama ada daripada sektor swasta atau kerajaan, yang dapat memberikan panduan praktikal dan infrastruktur yang sebenar bukan sekadar pameran atau pertunjukan. Kita perlu sesuatu seperti anugerah LVMH (LVMH Moët Hennessy Louis Vuitton SE) atau CFDA (Council of Fashion Designers of America) versi Malaysia yang benar-benar membantu pereka bertahan dan maju.”
Nazifi Nasri
Nazifi Nasri, seorang pereka muda yang dikenali dengan pendekatan eksperimental, menyentuh tentang hubungan antara jenama Alia Bastamam dan generasi baharu. Tanya Nazifi, apakah rekaan Alia akan berubah mengikut trend pasaran Gen Z? Alia menjawab bahawa walaupun trend datang dan pergi, keaslian jenama perlu kekal utuh. Dia terbuka untuk meneroka trend dan berinteraksi dengan audiens lebih muda, namun tidak akan sesekali mengorbankan identiti dan sejarah jenamanya sendiri. “Trend itu ibarat gelombang – kita boleh mengikutinya, tapi jangan sampai hanyut,” katanya. “Saya tertarik dengan kreativiti dan tenaga Gen Z, tapi kami perlu kekal berpijak pada nilai asal jenama.”
Tentang kehadiran jenamanya di TikTok, Alia menjelaskan bahawa mereka sedang memerhati, belajar, dan menyesuaikan diri secara perlahan tanpa paksaan. “Keaslian tetap keutamaan, walaupun diplatform yang pantas seperti TikTok,” katanya. Menurutnya, pasukan muda di sekelilingnya membantu membuka jalan kepada pendekatan yang lebih segar dan sesuai dengan demografik muda, terutamanya untuk jenama ALIA B. “Kami sedang membina kehadiran yang lebih kuat untuk ALIA B dimana ia lebih santai, lebih ‘fun’, dan lebih mudah didekati.”
Nazifi turut bertanya bagaimana Alia mengatasi ‘creative block’ dan dia memberitahu inspirasi selalunya bermula dengan melihat ke dalam almari pakaiannya sendiri. “Bila saya rasa ada sesuatu yang ‘missing’ dalam gaya saya, itulah titik mula idea baru. Kadang saya rasa, ‘Saya perlukan sesuatu yang tak wujud lagi, tapi patut wujud.’” Selain itu, Alia juga suka ‘melarikan diri’ seketika ke dunia filem, buku, atau ke pantai. “Sedikit laut, matahari dan sunyi selalunya itu cukup untuk ‘reset’ minda saya.”
Melinda Looi
Melinda Looi, ikon dalam industri fesyen tempatan yang sinonim dengan gaya eksentrik, membuka bicaranya dengan menyentuh tentang cinta Alia terhadap fabrik pleats. “Saya membesar di kilang pleats ayah saya, dan saya tahu kamu suka pleats,” kata Melinda. Alia membalas dengan rasa terharu dan mendedahkan, “Fabrik pleats dari keluarga awak sebenarnya antara yang pertama saya gunakan lebih sepuluh tahun lalu.” Bagi Alia, pleats bukan sekadar teknik, ia adalah medium untuk membentuk siluet dan mencipta gerakan. “Ada sesuatu yang sangat memuaskan tentang cara fabrik berlipat bergerak dimana ia hidup, ia bercerita.”
Apabila Melinda bertanyakan tentang laut, unsur yang sering muncul dalam naratif dan suasana koleksi Alia, menurutnya ia menggambarkan jiwanya yang tenang dan penuh renungan. “Laut itu sumber kehidupan, luas dan misteri. Ia mengingatkan saya untuk mengalir, bukan memaksa,” katanya. Alia percaya bahawa lautan melambangkan kebebasan yang tidak terbatas, dan sentiasa menjadi tempatnya ‘melepaskan tekanan’ setiap kali mencari ilham baharu.
Melinda turut menyentuh tentang cabaran meyakinkan klien tentang keselesaan rekaan Alia yang sering digambarkan sebagai chic dan effortless. Bagi Alia, bukan semua rekaan akan terus difahami dari pandangan mata kasar. “Saya selalu galakkan mereka untuk cuba pakai dahulu. Bila mereka pakai, baru mereka faham,” katanya ringkas. Dia percaya bahawa pengalaman memakai adalah kunci kepada pemahaman, kerana setiap potongan dicipta untuk bergerak seiring tubuh, bukan sekadar tergantung di penyangkut baju.
Kit Woo
Kit Woo, yang dikenali dengan rekaan avant-garde dan pemikiran yang mencabar sempadan jantina dalam fesyen, memulakan soalannya dengan siapa yang menjadi figura impian Alia untuk digayakan pada tahun 2025. Tanpa ragu, Alia menjawab, “Saya ingin sekali mereka busana buat Michelle Yeoh. Dia bukan saja ikon global yang memenangi Oscar pertama buat Malaysia, tapi juga seorang wanita yang tetap berpijak di bumi nyata. Bayangkan dia melangkah di permaidani merah memakai rekaan pereka Malaysia. Itu satu penghormatan besar.” Bagi Alia, Michelle Yeoh mewakili gabungan sempurna antara kecemerlangan, ketulenan dan kebanggaan terhadap asal usul budaya sendiri.
Dalam menjawab tentang cita-cita membuka butik di luar negara, Alia berkongsi bahawa walaupun pelbagai kemungkinan antarabangsa telah diterokai, tumpuan kini kembali kepada rantau sendiri. “Kami mula berfikir, kenapa pandang jauh sangat sedangkan Asia Tenggara sendiri kaya dengan peluang dan keindahan semula jadi?” ujarnya. Baginya, impian untuk melihat rekaan Alia Bastamam di lokasi-lokasi percutian mewah seperti Bali, Phuket atau Hoi An seiring dengan semangat jenamanya yang mementingkan keanggunan tropika dan kebebasan bergaya.
Apabila Kit menyentuh tentang gabungan maskulin dan feminin dalam koleksi Odyssey Act III yang menampilkan lelaki berbaju korset di pentas KLFW 2024, Alia mengakui bahawa itu adalah penutup sebuah trilogi visual yang sangat peribadi namun membuka pintu kepada eksplorasi seterusnya. “Saya akan terus meneroka sensualiti, jantina dan identiti dari tubuh wanita klasik hingga maskuliniti baru. Akhirnya, ia tentang menjadi manusia… dan kelihatan ‘hot’ dalam proses itu,” jelasnya.
Sebagai wajah hadapan GLAM, Alia bukan hanya mewakili keanggunan yang sofistikated, tetapi juga seorang wanita yang mengangkat martabat seni reka Malaysia dengan penuh integriti. Dalam setiap langkah, Alia menunjukkan bahawa kelembutan, kejujuran dan keberanian itulah makna sebenar gaya. Pastinya almari fesyen wanita glamor mesti diserikan dengan busana Alia Bastamam. GLAM melihat jenama ini membesar, mekar dengan banyak kisah sukses. Ia pasti boleh dijadikan kisah indah buat penerus dunia fesyen sekarang.
Baca kisah penuh Alia Bastamam dengan mendapatkan majalah GLAM isu Jun/Julai 2025 di pasaran sekarang atau langgan secara online menerusi magzter.com.