Kediaman - Aura Eropah Moden - Page 2 of 4 - Glam Malaysia

Kediaman – Aura Eropah Moden

Di atas sebidang tanah lapang lereng bukit, pemilik membina sanggar impian tersergam indah. Seni bina banglo berteraskan moden kolonial ini mula dibina sekitar tahun 2016. Reka bentuk dalaman banglo direka dan ditata gaya sepenuhnya oleh Laurea Home Furnishing. Diberi kepercayaan penuh oleh pemilik tanpa sebarang penetapan konsep atau gaya tertentu, banglo dipersembah Laurea bergaya Eropah moden. “Saya dan pemilik telah menjalin kerjasama agak lama, malah banglo ini adalah projek residensi pemilik kendalian Laurea yang kelapan dan paling besar perlu dilaksanakan. Sebelum ini, kami berjaya merealisasikan kediaman inap; unit kondominium pemilik,” cerita Siti Hawa Ismail, pengasas Laurea Home Furnishing.

Reka pelan asal banglo langsung tidak diusik oleh Laurea, Siti Hawa menyatakan kali ini firmanya hanya terlibat untuk reka bentuk dalaman dan penggayaan ruang. Beritahu Siti, “Berbeza dengan projek- projek sebelumnya, saya dan pemilik bermula dari asas yakni design and build. Kali ini, kami tidak mengubah apa-apa struktur dan reka pelan asal banglo. Kami bertanggungjawab mereka bentuk sistem wardrobe, kabinet dapur, wall paneling, kemasan lembut dan accessorizing.”

Banglo tiga tingkat ini termasuk basement memayungi ruang-ruang hidup; tujuh buah kamar beradu en suite, ruang tamu, ruang makan, dapur, surau dan ruang basuhan (laundry area).

2 of 4
Use your ← → (arrow) keys to browse

Menuju ke dapur, binaan wall paneling berukir paten geometri moden berfungsi sebagai panel pemisah. Tambah Siti Hawa, “Konsep Eropah Moden, aksesori keemasan, wall paneling adalah signatur rekaan Laurea. Selepas perbincangan bersama pemilik, mengenal pasti dan memahami konsep dan skema warna yang diingini oleh pemilik, baru kita akan mengeluarkan lakaran 2D dan 3D mengikut gaya, reka pelan dan saiz kediaman selepas perbincangan tadi. Hubungan chemistry antara pemilik dan pereka bentuk amat penting kerana kita tidak mahu melakukan kesilapan yang melibatkan tambahan masa dan kos projek.”