Dry Shampoo, Tidak Popular Tapi Ada Fungsinya - Glam Malaysia

Dry Shampoo, Tidak Popular Tapi Ada Fungsinya

Penemuannya sudah lama, tapi harus diakui ia bukanlah sesuatu yang popular di negara kita tapi massif ada fungsinya yang tersendiri. Saya rasa syampu kering tidak digunakan secara lazim kerana situasi cuaca negara kita yang panas lembap membuatkan kita lebih senang mencuci rambut dengan cara ‘konservatif’ yakni basahkan rambut dan bersyampu.

Syampu kering bukanlah satu penemuan baru dalam industri rambut, cuma saya rasa baru beberapa tahun kebelakangan ini orang mula bercakap tentangnya, dan pilihan pun sudah banyak di pasaran. Namun saya percaya di sebalik popularitinya, tidak ramai yang arif tentangnya. Malah ada yang tidak tahu fungsinya, ada yang beranggapan fungsinya sama dengan syampu biasa. 

IGK First Class Charcoal Detox Dry Shampoo

Jadi apa peranan sebenar syampu kering? Syampu kering sebenarnya bukanlah satu produk yang boleh mencuci rambut secara total, ia sekadar menyerap lebihan minyak pada kulit kepala. Jadi pabila ia bukanlah pencuci ia bermakna anda masih perlu mencuci rambut menggunakan syampu biasa. Syampu kering ini elok digunakan pada waktu tertentu sahaja, ia bukanlah pengganti jika anda tidak sukakan syampu biasa. 

Menurut pakar rambut, Lars Skjoth dalam satu temubualnya, serbuk syampu kering boleh mengeringkan kulit kepala dan mapu menyebabkan kelemumur, dermatitis dan jangkitan pada liang rambut. Cara terbaik untuk menyingkirkan sel kulit mati, peluh dan minyak di kulit kepala adalah dengan bersyampu menggunakan syampu biasa.

Bumble and Bumble Prêt-à-Powder Très Invisible Dry Shampoo

Kita disarankan mencuci rambut dengan syampu normal dua hari sekali. Dan Jika anda mempunyai masalah kelemumur, pakar menyarankan rambut dicuci setiap hari menggunakan syampu untuk kepala berkelemumur. Bukan tidak boleh menggunakan syampu kering, tapi tak digalakkan menggunakannya selalu. Jika boleh gunakan syampu kering pada juraian rambut sahaja. Bagi yang mempunyai rambut kering atau rambut keriting, disarankan menggunakan syampu kering yang menghidrat atau melembapkan.

Biasanya orang yang sudah biasa menggunakan syampu kering akan sedar bilakah masa untuk mereka berhenti menggunakannya. Kita mesti belai kulit kepala kita sama seperti kita menjaga kulit muka. Tiba masa kulit perlu dicuci, dibelai dengan pupur (mask) dan perlu juga proses pengelupasan (exfoliate). Kulit kepala juga samalah macam kulit muka perlu sesi detoks. 

Klik: Rambut Keriting, 5 Tip Penting Menjaganya

Jika anda masih keliru cara yang betul menggunakan syampu kering, ini empat langkah yang perlu diberi perhatian.

1- Goncang botol syampu kering

Pertama sekali goncang botol syampu kering anda supaya isi kandungannya teradun mesra, dan bila disemburkan pada rambut, semburannya sekata.

2- Bahagikan rambut

Gunakan sikat dan bahagikan rambut kepada beberapa bahagian. Berikan perhatian kepada bahagian kulit kepala yang berminyak. 

3- Semburkan syampu kering

Pastikan jarak antara mata penyembur dengan kulit kepala sekurang-kurangnya 10 inci. Usah terlalu dekat ia akan menyebabkan bahan syampu kering berkumpul. Tidak perlu sembur ke seluruh kepala, hanya pada bahagian yang berminyak sahaja sudah mencukupi.

4- Urut-urut kepala

Biarkan semburan tadi selama tiga ke lima minit, kemudian urut lembut kepala anda. Ini perlu supaya syampu kering boeh menjalankan magisnya. Kemudian barulah sikat rambut anda.

Ouai Dry Shampoo Foam

Klik: Tujuh Selebriti Wanita Serasi Berambut Pendek

POST A COMMENT