Datin X: Akibat Tak Jaga Mulut

Datin X: Akibat Tak Jaga Mulut

DatinX10Gambar: Arkib GLAM

 
Kawan Datin X, Salina, punya jawatan besar dalam sebuah syarikat multinasional. Umurnya sudah menghampiri angka 40 tapi masih solo. Muka boleh tahan tapi body memang hot sebab dia ni gym freak. Kata Salina, jodoh semacam berat nak lekat padanya. “Kalau I nak sesuatu, I’ll work hard for it. You know me! Tak kiralah dalam hal kerja atau lelaki. You ingat I tak usaha ke nak make the relationship work? Tapi dah tak boleh nak jadi, nak buat macam mana lagi?” Itulah modal dia kalau dikatakan memilih. Selama mengenali Salina hampir 12 tahun, Datin X akui dia memang tak pernah putus asa bercinta. Macam-macam lelaki dah dia jumpa. Ada yang commitmentphobic, ada yang tipu duit, ada yang tipu kata masih bujang dan macam-macam lagilah.
 
Datin Nur yang juga teman baik kami, punya pendapat sendiri kalau memberi komen fasal Salina. Hanya sebab dia saja yang single di kalangan kami, ada sahaja yang disangsikan dengan Salina ni. Selalu Nur mengomel mengenai sikap Salina yang mengada-ngada, katanya mesti pasal itu lelaki tidak tahan. Kalau Salina cerita mengenai lelaki yang baru dikenalinya, Nur selalu menyindir sinis. Di belakang Salina, Nur suka melawak menggelar kawannya itu andartu. Hmm! Nak je Datin X ingatkan Nur yang dia tu cuma suri rumah jual charm bracelet je padahal si Salina tu pula corporate figure. Siapa yang patut segan dengan siapa sebenarnya?
 
Tapi pada satu hari itu, di sebuah parti hari jadi anak seorang kawan, mood Salina tak begitu baik. Nur sudah terlepas cakap. Kata dulang paku serpih, bab mengata orang dia yang lebih-lebih! “Semua datang berlaki sambil belek anak, you je yang lenggang kangkung. Ini datang ni, nak ‘fishing’ lah tu! Bawa-bawalah berubah sebab awak tu bukannya muda lagi. Tukar boyfriend macam tukar baju!” Apalagi, Salina pun naik hantu. “But at least I tak kejar laki orang, I tak pernah harukan hidup orang. Kenapa? You takut I ngorat laki you ke?!” Nur terus buat muka ketat dan beredar sambil mendengus marah.
 
Bebel Salina pada kami semua, “Dia jangan lupa… dia pun ada anak perempuan juga. Tengoklah besar nanti, I sumpah budak tu kahwin lambat!” Kata-kata bisa Salina itu tadi tak akan Datin X lupa sampai bila-bila. Sebab setelah bertahun kejadian itu berlaku, Datin X perasan, anak perempuan Datin Nur tadi sudah pun masuk usia 30 tapi asyik saja bertukar teman lelaki. Dari satu, ke satu; ada saja yang tak kena. Perkara ini satu hari jadi bualan topik Datin X dan teman-teman. Salina yang baru berkahwin, pun kebetulan ada sama. Dia hanya senyum sinis dan kami semua faham-faham saja.
 
 

See also
Retorik: Impak Internet Menguasai Manusia