Datin X: Sosialit Berniaga Beg Tiruan

Datin X: Sosialit Berniaga Beg Tiruan

Pada satu petang, Datin X terima satu pesanan Whatsapp yang panjang berjela daripada Datin Anna. Dia merungut memberitahu beg-beg berjenama yang dibeli daripada seorang personal shopper ini sebenarnya tiruan. Sudah berpuluh ribu dia berhabis duit. Dan sekarang dia inginkan pendapat ramai mengenai apa jenis tindakan yang perlu diambil kepada si penipu itu. Tapi apa yang membuatkan masalah ini bertambah rumit, personal shopper tersebut seorang kenalan yang agak rapat dengan kami. Dia anak orang berkedudukan, malah suami barunya juga orang berpangkat. Datin X suruh dia simpan cerita dan terus RSVP table for two di sebuah restoran untuk brunch bersama keesokan hari.

Dari jauh Datin X sudah nampak Datin Anna berjalan mengheret satu beg kertas besar. Sampai saja di meja, terus dia keluarkan satu-persatu beg berjenama. “Hah! You tengok ni. Celaka punya perempuan. Berani dia jual pada I beg imitation? Dia tahu tak I siapa?” Terbuntang mata Datin X melihatkan beg-beg berjenama tiruan bersepah di atas meja. Aksi Datin Anna yang sungguh drama turut menarik perhatian tetamu-tetamu lain di meja-meja sebelah. “You sure or not, beg-beg ini fake?” ujar Datin X cuba meredakan panik Datin Anna.

Arkib GLAM

“Betul Datin, takkan lah staf butik nak tipu I. Sebenarnya I bawa beg-beg ni ke butik untuk betulkan gancu dan talinya. Sepuluh minit selepas I keluar dari butik, staf butik telefon I suruh datang ke butik semula. Kemudian dia pulangkan semula beg-beg I ni sebab katanya, beg-beg I ni bukan yang original! Oh my God, malunya I. Sudahlah I pergi ditemani menantu dan biras. Tak tahu nak letak muka di mana!”

See also
Retorik: Faking It

Rupa-rupanya sebelum kes Datin Anna, ada beberapa jenama mewah sudah menghantar secret shopper untuk varify ketulenan beg-beg yang dijual wanita tersebut. Memang terbukti, barangan jualannya semua tiruan kelas AAA. Namun jenama-jenama tersebut tidak mengambil apa-apa tindakan meskipun telah tahu kerana wanita tersebut berserta ibu dan adik-beradiknya sememangnya sudah lama menjadi regular customer di butik-butik mereka.

“Apa yang buat I marah sangat, dekat kita dia jual beg tiruan tapi dia sendiri guna beg original, shopping di butik sebenar. Mahu saja I call dan maki dia sekarang!” Balas Datin X, “Betullah tekaan I. I memang dah lama syak. Harga beg dari 14 ribu turun jadi 10 ribu and it’s brand new. Bodohlah dia kalau jual beg jauh lebih murah daripada harga pasaran. I ada juga kira kalau beli di Paris, selepas tolak cukai VAT segala. Harga masih jauh lebih tinggi dari harga yang ditawarkannya. Dengan kos delivery lagi, dari mana pula dia nak kaut untung? But I think she could get away with it sebab dia orang bergelar kut. Takkan lah title besar macam tu boleh jual beg tiruan. Orang tak akan percaya!” Celah Anna, “But the thing is Datin… how could she be so irresponsible?

Sekarang bila dah pecah tembelang, jatuh kelas!” Bukan sahaja tidak bertanggungjawab, tapi ini sudah masuk kes jenayah penipuan. Boleh jadi kes polis! “So you nak buat police report ke?” “I beli beg-beg dari dia dah lama. Resit pun dah hilang. I boleh saja buat gila dan heret dia ke balai tapi mengenangkan mak, bapak, atuk, nenek dia semua I kenal rapat; tak sampai hati pula nanti habis semua pakat bergaduh! Tak sangka betul ya… muka cantik, bergaya, pakai branded top to toe tapi kaki pembohong!”

See also
10 Negara Paling Mewah Di Dunia 2023

Ya, memang kasihan pada Datin Anna. Tapi ini juga masanya untuk Datin X beri nasihat supaya lain kali membeli daripada sumber yang sah. Pergi terus ke butiknya dan laman online yang sah. Tak perlu guna third party demi diskaun sebab risikonya amat tinggi. “Datin Anna, you ada duit. Travel memang kerap kali. Tapi yang you masih gatal beli barang dari personal shopper tu kenapa? Jangan kedekut sangat. Setakat murah seribu dua tak berbaloi lah.

Sekarang menyesal tak sudah. Dah berapa ribu you labur pada beg-beg fake ni? Takkan lah masih nak simpan, buat sakit mata saja. Kalau tak guna, you nak bagi siapa? You bagi free kat I pun jangan haraplah I nak pakai.” Balas Datin X seperti hilang semangat, “My daughter would never be caught dead carrying fake bags, that’s for sure. Tak apalah, nanti I bahagi-bahagikan beg semua ni pada maid-maid I.”

Datin X masih ingat lagi dulu-dulu, masa orang kita mula cerdik fesyen; ramai betul melaram dengan beg berjenama. LV, Chanel, Hermes… semua jenama ada. Tetapi masa itu juga, boleh tahan ramai juga yang sanggup bawa beg versi tiruan. Gaya punya pasal! Sampailah cerita-cerita horror timbul apabila ada sosialit dihalau keluar dari parti sebab sandang beg fake, kemudian ada pula muka-muka yang banyak butik blacklist sebab support imitation.

Satu lagi, masakan Datin X boleh lupa dengan cerita beg seorang sosialit yang kena potong talinya oleh sekuriti jenama terkenal. Itulah bahananya. Duit ada, tapi kedekut. Tapi lain pula kisahnya dengan apa yang Datin X mahu kongsi hari ini. Bila orang ramai sudah mula bijak melabur dengan jenama mewah, adalah pula sebilangan manusia tidak bertanggungjawab yang sanggup menjual beg tiruan demi meraih keuntungan berlipat ganda.

See also
Profil: Puncak Waktu Ziana Zain

Dipetik daripada GLAM Isu April 2018.