Korner Mak Datin: Datin Bomohkan Anak Lelaki Kerana Cemburukan Menantu

Korner Mak Datin: Datin Bomohkan Anak Lelaki Kerana Cemburukan Menantu

DatinXNEW
 
Senja semakin berlabuh. Saya baru selesai membersihkan diri ketika telefon bimbit berdering. Baru hendak capai sudah mati talian. Ada tiga miss called daripada Melissa. Pasti ada yang penting kerana banyak kali saya dihubungi. Baru hendak dail semula, telefon berbunyi lagi. Agak terkejut juga, mujur tak tercampak telefon.
 
Melissa sahabat baik saya. Kami saling mengenali sejak 11 tahun lalu. Dia gadis paling cantik di kalangan teman-teman. Gayanya juga sering menjadi ikutan kami. Apa sahaja melekat di tubuhnya tampak  hebat. Jenama pakaian dia beli, kami pergi beli. Produk kecantikan apa dia pakai, itulah juga kami pakai. Potong rambut kami pun di salun sama Melissa kunjungi. Dia juga murah rezeki kerana ada sahaja tangan menghulur itu ini. Razi tergila-gilakan Melissa, setiap tengah hari pasti menghantar makanan. Kamilah untung jadi tukang perabis. Kadang-kadang piza, kadang-kadang McDonald dan selalunya Subway yang menjadi kegemaran Melissa. Karim pula rajin mengajak Melissa menemaninya membeli-belah. Tetapi pasti bahagian Melissa akan ada. Pulang dia dengan beg-beg kertas penuh barang berjenama.
 
Sangat bertuah kehidupannya. Tidak hairanlah Melissa berjaya menawan hati seorang anak hartawan. Ketika kali pertama hendak bertemu bakal mentua, sayalah jadi peneman dia mencari pakaian sesuai. Jelas sekali dia sangat panik. Itu lah kali pertama dia tampak gelisah. Hm, mungkinkah hati teman saya ini sudah dimiliki? Sekian lama dia tidak lagi keluar dengan laki-laki lain. Hanya berdua dengan Haris sahaja.
 
Panjang lebar cerita Melissa mengenai Datuk Farid dan Datin Salma. Entah mengapa dirasakan dirinya kerdil setiap kali bertemu keluarga Haris. Melissa merasakan Datin Salma tidak pernah menyukainya. Saya cuba yakinkan Melissa, itu hanya mainan perasaan. Tetapi Melissa tetap percaya apa dirasakannya. Begitupun mereka berkahwin juga kerana cinta semakin membara. Pejam celik pejam celik lima tahun berlalu. Tetapi masalah Melissa tetap sama, Datin Salma.
 
“Helo Mel, sorry I kat bilik air tadi,” sapa saya lembut. Senyap. Hanya kedengaran tangisan kecil Melissa. Saya bimbang mendengar keadaan itu. “Kenapa Mel?”
 
“Haris buat perangai lagi,” ujarnya dalam sedu-sedan. Bukan sekali telinga saya mendengar aduan Melissa mengenai Haris. Ada-ada sahaja masalah mereka tempuhi sepanjang perkahwinan. Haris seolah-olah tak boleh duduk berdekatan Melissa. Memanglah sejak enam bulan ini hidup mereka kembali rukun damai tetapi entah mengapa taufan kembali melanda. “Sampai hati dia buat I macam tu. Dia tinggalkan I tepi jalan tau. I terpaksa balik jalan kaki,” sambungnya dalam tangis.
 
Saya terlepas tawa membuatkan Melissa bertambah marah. Alah, jalan kaki dari lot kedai ke kondonya hanya beberapa meter sahaja. Itu pun nak komplen. Kira bersenam sajalah. Merajuk panjang Melissa. Kasihan pula. Tetapi saya ini tetap dicarinya kerana hanya saya yang tahu kisah mereka berdua dari awal perkenalan sampailah dah lima tahun berkahwin.
 
Haris seolah-olah membenci Melissa. Puas saya tanya, apakah Melissa secara tidak sengaja ada berbuat salah? Saya perlu tahu kerana sehingga hari ini saya hanya mendengar sebelah pihak. Melissa nafikan sekeras-kerasnya. Tidak pernah dia melakukan perkara tidak wajar. “I manusia biasa mungkin ada buat salah silap tetapi takkan layan I sampai begitu sekali. Kalau silap beri tunjuk ajar. Tegur baik-baik. Tetapi ini dia serang I menuduh yang bukan-bukan,” ujar Melissa lagi.
 
Selang beberapa hari, Melissa mengajak saya bertemunya di sebuah restoran mewah. Kami makan tengah hari dan semestinya ada aduan baru mahu diceritakan. Kisahnya, biras Melissa baru telefon mengadu Datin Salma dan anak perempuannya rajin bertemu bomoh. Dah lama aktiviti itu dilakukan dan dah jadi rutin si datin anak beranak. Tujuan bertemu bomoh pula kerana tak puas hati dengan Melissa. Kononnya Haris sejak kahwin jarang nak jenguk mereka. Terlalu mendengar cakap bini.
 
“Neyli! You kenal I dah lama. Pernah ke I hasut Haris tak balik rumah dia. Patutlah selama ini kami asyik bergaduh. Entah-entahbila balik rumah keluarga dia, mak dia dah beri makan entah apa-apa supaya Haris benci I,” ulas Melissa panjang lebar.
 
“Jangan buruk sangka,” pujuk Saya. “Tapi akhir-akhir ini I alami mimpi buruk. I mimpi fasal katak. Orang tua cakap, itu petanda buruk kan?”
 
“Yekah?” soal saya kembali. Saya kurang arif mengenai perkara mistik sepertinya. Entah benar entahkan tidak cerita dari biras Melissa ni. Begitupun ada logiknya  juga kerana kerap benar Haris ‘naik hantu’ dengan Melissa. Halnya remeh temeh sahaja seperti memilih pakaian, mencari tempat makan dan lokasi percutian. Kebanyakannya masalah mengenai keluarga, bukan masalah-masalah luar seperti bermain kayu tiga.
 
Tetapi harus diingat, lelaki pun satu hal. Sebelum dapat disoroknya segala belang. Dah dapat baru tahu perangai sebenar. Padahal sebelum berkahwin, reputasi Haris yang sampai ke telinga saya indah-indah belaka. Seperti digambarkan Haris seoranglah lelaki terhebat di dunia ini. Sampai saya pun ikut jatuh hati dengan Haris dan berharapan Haris ada adik kembar. Sayangnya dia anak lelaki tunggal dalam keluarga. Hm, mungkin juga ada benarnya Datin Salma mencari jalan pintas mendambakan semula perhatian anak tunggal lelakinya.
 
Menurut Melissa, ibu mentuanya itu sering melirik benci kepadanya. Ekor mata Datin Salma jelas menggambarkan betapa dirinya tidak disenangi. Sebab itu dia tak betah tinggal lama-lama di rumah mentua. Bukan setakat Datin Salma, ibu saudara Haris juga tak pernah senang dengan kehadirannya. Janggal sungguh dirasakan dia setiap kali berkumpul di banglo megah keluarga Haris.
 
Sebab itu Melissa mengelak menerima undangan keluarga Datin Salma. Namun dia tak pernah menghalang Haris untuk bertemu ibunya. Cuma Haris dengan sendirinya enggan mahu pulang. Lebih-lebih lagi dia sering berselisih faham dengan Datuk Farid. Melissa serba salah tetapi bukan dia penyebab utama Haris jarang balik.
 
Adik perempuan Haris juga boleh tahan perangainya. Sama naik dengan fi’il ibunya. Hani seorang gadis manis tetapi kurang dari segi rupa paras. Menurut Melissa, Haris lebih mirip ibunya yang jelita biarpun wajah sudah dimamah usia. Entah macam mana wajah Hani pula mirip sekali wajah Datuk Farid. Saya enggan mengulas panjang tetapi Datuk Farid yang pernah saya temui tergolong lelaki berharta yang agak kurang dari segi rupa parasnya.
 
Berbalik pada kisah Hani, dia adalah sekutu Datin Salma. Kadang-kadang lebih kuah dari sudu. Hani bersekongkol dengan ibu saudaranya memulaukan Melissa. Sebelum ini ada juga umpatan kurang enak mengenai Melissa sampai ke telinganya sendiri. Semestinya daripada birasnya, suami Hani yang kononnya senasib dengan Melissa. Tetapi saya sering mengingatkan Melissa, jangan percayakan siapa-siapa. Kita tak tahu sejauh mana kejujuran birasnya itu.
 
“I tak pernah nak cerita kepada Haris, apa dah keluarga dia buat. Sebab I nak jaga hati suami. Lebih-lebih lagi I tak yakin Haris akan sebelahkan I. Dia mesti percayakan mak dia lebih.” Saya mati akal bermenung seketika. Tak tahu bagaimana hendak menolong seorang sahabat sebaik Melissa. Saya faham Melissa serba salah. Hendak telan mati emak, hendak diluah mati bapak. Sini suami, sana mak mentua. Melissa lebih banyak memendam perasaan. Hanya saya jadi tempat mengadu tetapi sebagai orang luar sejauh mana sangat saya mampu menolong.
 
“Hah, apa kata kita jumpa ustaz ke, ustazah ke. Bukan nak percaya fasal bomoh. Tak nak percaya pun tak boleh juga. Kita sekadar berusaha. Tetapi kita janganlah jadi bodoh seperti mereka pergi cari bomoh juga. Kita guna cara yang benar bagi menghalang segala keburukan yang mendatang. Kalaupun bukan pendinding tetapi sebagai penawar,” pujuk saya cuba membantu.
 
“Boleh! Kita nak jumpa siapa?” soal Melissa bersinar-sinar matanya penuh harapan. “Nantilah I tanyakan kawan. Dia pernah ada masalah dan bertemu seorang ustaz ni. Alhamdulillah, pulih.” “Jangan lama-lama tau,” ujar Melissa. “Boleh I tanya sesuatu? Bukankah you cakap hari tu, Haris sudah banyak berubah?” soal saya ragu-ragu. Bukan apa, hampir setengah tahun dia rehat jadi pakar terapi Melissa. “Sebenarnya, you jangan marah I tau. Maria, adik sepupu I ada bawa jumpa makcik ni. Dia suruh I mandi bunga. Serta merta Haris berubah laku. Tetapi I rasa dia pakai syaitan juga.” Saya terdiam. Pandai pula dia rahsiakan cerita yang satu itu. Takut saya bangkanglah tu. Melissa tahu saya kurang percaya perihal perkara-perkara mistik. Bukan tak percaya kerana telah dua kenalan saya meninggal dunia dek perbuatan sihir. Cuma cara merawatnya dengan mendapatkan bomoh itu sangat tidak menyakinkan. Saya lebih mempercayai ustaz dengan bacaan ayat-ayat sucinya.
 
“Tak apalah. Itu salah satu usaha you. Nanti kita pergi jumpa ustaz ni. Kita usaha lagi. Mana tahu dapat air yasin untuk dijadikan air minum. Moga-moga berjaya tawarkan apa sahaja yang dimakan Haris daripada Datin,” pujuk saya.
 
Saya cuba bersikap terbuka demi sahabat saya ini. Demi memulihkan sebuah hubungan suci berlandaskan cinta. Demi sebuah ikatan yang telah saya saksikan sejak mula. Cuma seperkara di luar jangkaan saya, kerenah Datin Salma dan anak perempuannya yang kaki bomoh. Padahal kedua-duanya berpenampilan sangat moden. Mereka juga datang dari golongan atasan generasi baru. Bukan lagi orang kaya kolot bergaya makcik-makcik.
 
Datin Salma masih cantik menggayakan blaus dan seluar palazzo. Pakaiannya semua berjenama. Belum masuk sepatu dan tas tangan. Kiranya cita rasa Datin Salma sangat saya suka. Memang up-to-date. Rambutnya terletak cantik setiap hari berdandan. Wajah tak lekang dengan solekan. Kulit setengang-tegang tidak kerana sering melakukan rawatan wajah tetapi tidaklah ketara plastik. Sedang-sedang elok sahaja. Ada duit, semua boleh jadi.
 
Hani pun tidak kurang hebatnya tang gaya. Penampilan adik ipar Melissa itu semestinya lebih seksi dan daring. Pun memiliki koleksi pakaian dan barangan berjenama mahal. Wajahnya sudah banyak diubah. Almaklumlah dia tidak cantik semula jadi. Sebab itu saya sering mengusik Melissa. Entah-entah si Hani cemburukan Melissa. Maklum sajalah, teman saya ini memiliki rupa paras menawan. Gaya Melissa juga boleh tahan. Ada persaingan sengit di situ. Sejak kehadiran Melissa, banyak juga media memberi tumpuan kepadanya. Lebih-lebih lagi Melissa berjaya menawan Haris yang dikatakan bujang idaman wanita Malaysia.
 
Majlis perkahwinan mereka juga mendapat liputan gilang-gemilang. Hampir semua majalah meletakkan pasangan itu di muka depan dan menggelarkan perkahwinan mereka “Wedding of the Year”. Hebat!
 
Setahun kemudian Hani turut menamatkan zaman gadisnya. Sambutan diberikan hanya suam-suam kuku. Tidaklah setanding perhatian diberikan Melissa. Ketika perkahwinan Hani itu juga, pihak media kebanyakannya memberi tumpuan kepada Melissa dan Haris kerana mereka sama cantik dan sama padan. Tak jemu-jemu jadi bahan berita.
 
Saya mula membuat andaian dari kajian-kajian saya sendiri. Hati manusia manakan sama. Walaupun mereka penuh gaya, penuh poket tetapi perasaan hasad dengki galak singgah tak mengenal status. Lagikan mereka poket tak berisi pun penuh lagak, inikan pula individu yang miliki segala-galanya yang ingat boleh menakluk dunia tanpa beringat pembalasan Tuhan esok hari.
 
Kami sekadar berusaha. Melissa akhirnya merujuk masalahnya kepada seorang ustaz. Paling tidak lelaki ini berkiblatkan kebenaran. Ternyata ada sesuatu yang tidak kena. Lalu Melissa diberikan beberapa ayat suci sebagai amalan harian. Haris masih culas dengan Melissa. Begitupun keadaan akhirnya bertemu bahagia berpanjangan. Saya kurang pasti apakah kuasa baru bakal digunakan Datin Salma jikalau didapati jampinya kurang menjadi. Tetapi Melissa sudah berikrar akan tetap melawan. Demi cinta dan ikatan suci. Melissa yakin Tuhan pasti menyebelahinya. Insya-Allah!
 
 

See also
Gaya Karpet Merah Boleh Membinasakan