Korner Mak Datin: Datuk Galak Berjoli Bila Isteri Murah Hati

Korner Mak Datin: Datuk Galak Berjoli Bila Isteri Murah Hati

Datin X___
 
*Seperti yang diceritakan kepada Marini Mat Zain
 
Sejak akhir-akhir ini Datin Sara sering sepi. Dia sendirian ditinggalkan suami yang kini kemaruk dengan wanita lain. Kalau gadis tidaklah Datin Sara ralat tetapi wanita ini sudah bersuami dan punya anak dua. Mereka sendiri sudah anak tiga.
 
Bukan sekali dua Datuk Khai buat hal. Ini masuk kali ke empat dia curang. Semua teman-teman memandang Datin Sara seperti perempuan tolol kerana membiarkan sahaja diri dibuli suami.
 
Saya pula sudah lali mendengar keluh kesah Datin Sara. Marahnya bertubi-tubi di belakang. Depan suami menikus. Bukan setakat lembut hati malah direstu pula hubungan baru Datuk. Sungguh saya tak faham dengan pendirian Datin Sara.
 
Datin memang suka telan semua. Dahlah Datuk cemburu buta dan sering menuduh Datin Sara macam-macam. Diri sendiri curang tak apa. Kalau Datin, itu tak boleh, ini tak boleh. Tetapi Datin Sara merelakan sahaja. Ikut sahaja apa mahu Datuk Khai.
 
Semasa saya singgah di pejabat Datin Sara, bangga saya dengan dia. Segala perniagaan dibangunkan menggunakan duit Datin serta kepakarannya sendiri. Suami sekadar uruskan bahagian-bahagian tertentu. Tetapi semestinya Datin Sara menonjolkan suami sebagai orang terpenting sehingga mendapat gelaran Datuk. Bagi saya Datin Sara yang layak digelar Datuk.
 
Datin Sara tertib duduk di meja kerjanya. Dia kelihatan berseri-seri dengan menyarung kurung Rizalman. Begitupun saya dapat melihat keresahan pada anak mata Datin. Lalu kami keluar makan tengah hari di Ben’s Pavilion.
 
“I tak boleh lama. Urusan kerja berlambak. Tak dapatlah bergosip kita,” ujar Datin Sara memaniskan wajah.
 
“Eh, tak apalah. Kita bertemu ini pun sudah cukup. Kita masih boleh bergosip sehingga habis makan,” balas saya berlucu. “Mujur ada you nak temankan I makan,” sambungnya sayu hati tiba-tiba.“Eh, sama-sama lah kita Datin. Saya pun seorang minggu ni. Datuk ke Jakarta ada kerja,” balas saya simpati. Tetapi saya tahu mana arah tuju perbualan kami itu kelak. Tak kisahlah asal lega hati teman dihadapan saya itu. Walaupun saya geram sebenarnya dengan sifat mengalah Datin Sara. Luahan rasanya itu tiada berpenghujung.
 
Saya tak faham muda-muda lagi Datin Sara sudah diduakan suami. Padahal yang mencari nafkah adalah Datin Sara. Dia berhak ke atas segala harta benda. Keputusan di hujung jarinya sahaja. Ternyata Datin yang kerja keras, Datuk hanya tahu dapat elaun setiap bulan dan berbelanja pada perempuan lain. Kini ada hati nak menampung wanita dengan dua anak. Datin diamkan sahaja.
 
“I dah kuat sekarang. I dah tak menangis. I buat bodoh sahaja,” cerita Datin Sara. “Memang you patut buat macam tu. Kalau you merayu, itu yang dia rasa you lemah. Dia rasa dia menang.” “I dah tak kuasa. Dia pelik dengan perangai I sekarang. Tiba-tiba pula jadi romantik. Ambil berat konon,” ujar Datin Sara lagi.“Tapi you dah beri restu,” ujar saya terkilan rasa. “Biarlah. I tak mahu tanggung dosa mereka. Dahlah perempuan tu isteri orang. Berpisah sahaja, belum jatuh talak.” “Baiknya you. Kalau I dah lama tinggalkan dia. Tarik semua kewangan. Biar dia rasa,” ujar saya berani-berani. “Dia tetap suami I dan ayah kepada anak-anak I.” Itulah alasan diberikan Datin Sara setiap kali saya cuba cucuk jarum. Status isteri telah mengikatnya walaupun suaminya tidak betul orangnya. Alahai, entahlah.
 
Wanita itu pula sanggup meminta cerai dengan suami gara-gara jatuh cinta. Alasannya memang dia tak bahagia dengan suami. Tak bahagia pun dah dua anak. Apa tu? Kalaulah saya berpeluang bersemuka dengannya, memang siap saya kerjakan. Akan saya soal dia mengapa terlalu mengikut kata nafsu.
 
Tak tahukah dia Datuk disandang Khai hanya pemberian Datin Sara. Tak tahukah dia Datuk Khai itu bergantung hidup pada isteri! Apabila Datin Sara mula memberi restu, bukan mereka nak jaga hati. Merekas sewenang-wenangnya muat turun gambar berbahagia berdua di laman sosial. Sah-sahlah Datin Sara dapat lihat. Seolah-olah sengaja mahu menunjuk-nunjuk.
 
Ketika bertemu Datin Sara dia kelihatan tenang-tenang sahaja tetapi saya dapat membaca perasaannya di dalam. Siapa tak terluka melihat adegan-adegan suami dan perempuan lain. Tetapi dia begitulah, redha. Geram pula saya dibuatnya.
 
“You sanggup biarkan sahaja?” “Tak apalah. Mereka dah nak berkahwin pun,”balasnya lembut. “Tetapi perempuan itu belum pun habis edahnya. Mana boleh buat sesuka hati. Tinggal serumah pula tu. Dah diberi izin sabar-sabarlah sikit. Balik jenguk you pun tidak.” “I dah beri dia silent treatment. I buat tak kisah je sekarang. Dia yang menggelupur,” terang Datin Sara bangga.
 
Hmm, takat mana sangat Datin Sara mahu cari fasal dengan Datuk? Saya sanggup belanja teman-teman ke kota London kalau benar. Kononnya Datin Sara tidak lagi mengambil berat perihal suami. Buat endah tak endah hingga Datuk panas punggung sekarang dengan perubahan dirinya. Sementelah Datuk kaki cemburu. Pasti disangkanya Datin punya seseorang yang baru.
 
Saya mula bersyarah setuju dengan tindak tanduknya. Bukankah wajar agar lelaki itu sedar diri. Tiba-tiba telefon bimbit Datin Sara berbunyi. Dia menyambutnya dengan penuh mesra. Siapa lagi kalau bukan panggilan daripada Datuk Khai. Hati saya mengeluh, silent treatmentlah sangat. Lembut sahaja suara Datin Sara. Lain benar tonasinya tidak seperti digambarkan seminit tadi. Tak apa-apalah asalkan bahagia. Jangan sampai Datin disuruh mengasuh dua anak madunya kelak semata-mata mereka pergi berbulan madu sudah.
 
Sememangnya Datuk Khai sejak dahulu mata keranjang. Saat awal perkahwinan sudah buat kecoh. Mula-mula dia kaki cemburu. Isteri tidak dibenarkan bekerja tetapi siapa pula mahu menanggung keluarga. Apabila hidup semakin susah, dibenarkan isteri menerajui bisnes semula. Tetapi apabila Datin Sara mula sibuk berniaga, dia mula ada skandal sana sini.
 
Saya pernah menemani Datin Sara ‘memburu’ di mana Datuk Khai berada. Itu kes pertama Datin Sara dapat mengesan kecurangannya. Intipan kami berkesan. Malah, kami sudah beradadi depan pintu gadis itu. Datuk Khai juga ada di dalamnya. Tetapi hati Datin Sara berubah. Dia mengajak saya pulang dengan tangan kosong. “Tak usahlah. Jum kita balik.”
 
Saya melongo dengan keputusannya itu. Balik? Dia lebih rela balik dari menangkap suami dengan gadis lain. Mungkin Datin Sara tak sanggup melihat kecurangan itu. Entah apa yang bakal dilihat dari balik pintu itu. Mungkin juga tetapi angkara dibiarkan, sifat miang keladi Datuk Khai berlanjutan sampai kini.
 
Entah mengapa hubungan curang kali ini mahu diikat mati. Hubungan sebelum ini hanya bertahan beberapa ketika sahaja. Dengan tiada rasa bersalah, Datuk meminta izin menikahi wanita itu. Melenting Datin mendengarnya tetapi disimpan dalam hati. Biasa itu! Dia hanya berdiam dan angguk. Selesai!
 
Kemaruknya Datuk, bawa cinta hatinya ke sana ke mari ketika wanita itu masih isteri orang. Malah, tak sabar-sabar lagi hendak bernikah dengan wanita itu. Ada ke patut dia berniat mahu keluar Malaysia bernikah kerana tak sanggup menunggu habis edah.Gila! Memang niat yang tidak panjang akal.
 
Saya pula mendapat semua info itu dari Datin Sara yang seperti biasa kelihatan tenang. Saya pula yang naik hantu. Kalau benar itu terjadi mana Datin Sara hendak letak muka. Sudahlah dia usahawan, suami pula tak tahu langsung menjaga nama baik.
 
Saya meneliti sekeping gambar perempuan itu. Orangnya biasa-biasa sahaja. Memang raut wajah dan bentuk tubuh sudah kelihatan seperti wanita berumahtangga. Almaklum sahajalah dia sudah melahirkan dua zuriat. Tidak pula punya banyak wang untuk berbelanja menjaga bentuk tubuh sesempurna mungkin. Apa sahaja yang dipandang Datuk Khai entahlah.
 
Jauh beza dengan Datin Sara yang bersih kulitnya. Mulus. Anak tiga tetapi masih langsing. Enggan buruk sangka tetapi saya terfikir apakah kekurangan Datin Sara sehinggakan suami berpaling kepada wanita lain? Atau memang dasar lelaki yang tak pernah mahu hargai isteri di depan mata tetapi lebih nampak wanita di luar sana.
 
Mungkinkah layanan diberikan wanita itu lebih bagus? Mungkin ada kekurangan pada Datin Sara sehingga dia diperlakukan begitu? Namun, kekurangan apa lagi kerana anak pun dah tiga. Tidakkah mampu seorang suami menerima kekurangan-kekurangan isteri seperti mana isteri mampu menerima keburukan suami juga. Rasa saya itu memang sifat Datuk Khai yang berdahi licin. Memang ada segelintir lelaki begitu. Nak-nak kalau sudah berkemampuan. Alangkan yang tak bertaraf hidup rendah pun boleh menambah isteri.
 
Beberapa bulan selepas itu Datin Sara muncul di depan pintu kediaman saya. Telah sekian lama menghilang entah apa cerita dibawanya. Saya terkejut dengan penampilan baru Datin Sara berhijab kini. Syukur! Cantik sangat! Tampak wajahnya tenang mengajak saya ke kafe kesukaan kami. Saya meminta izin dengan Datuk untuk keluar rumah.
 
Kemudian kami beredar dengan menaiki satu kenderaan. Saya menawarkan diri memandu tetapi Datin Sara berkeras. Mata saya tak berkelip-kelip melirik teman saya itu. Walaupun berhijab, dia kekal bergaya. Masih mengenakan busana Rizalman, pereka fesyen kesukaannya.
 
“Khai dah selamat bernikah.” “Oh ya?” Saya pura-pura terkejut padahal sudah mengetahuinya dari teman-teman sosialit lain. “Bulan lepas.” “You ada sekali? Masa kenduri? Buat besar-besaran ke.” ujar saya separuh menyindir.
 
Saya tidak menerima jawapan daripadanya. Rasa bersalah menebal dalam hati. Simpati pula dengan Datin Sara. Pasti sedikit sebanyak hatinya terluka walaupun diri memberi restu. Mana ada perempuan yang sepenuh hati rela berkongsi kasih. Kalaupun ada yang merelakannya dari awal, lama-kelamaan pasti ada hati terguris. Itu lumrah manusia, sedangkan lidah lagi tergigit. Tidak banyak topik kami perkatakan kerana Datin Sara banyak melayan perasaan. Saya mengerti apa dirasanya. Kalau suami saya minta bernikah lagi satu, saya lebih rela hidup sendiri. Jadi ibu tunggal pun tak apa-apa.
 
“You okey?” soal saya mengikut gerak hati. “I okey.” “Datuk ada balik tak?” “Balik!” Hmm, nampak sangat menipu. Rupa-rupanya Datuk Khai membawa isteri berbulan madu di kota Paris. Baiknya hati Datin menaja segala perbelanjaan termasuk tiket penerbangan dan penginapan. Alah, selama ini pun kewangan Datuk Khai ditanggung Datin Sara. Oh, baiknya hati. Dapat payung emas hendaknya dia.
 
“You benar-benar rela? Ikhlas?” “I tak boleh nak larang Khai. Daripada mereka berbuat dosa, biarkanlah,” ujarnya lagi. “Tapi apabila you sudah beri izin, mereka tetap berbuat dosakan? Tinggal serumah sebelum habis edah, apa lagi ketika perempuan itu masih isteri orang,” usul saya berbaur tidak puas hati.
 
“Yang sudah tu sudahlah. Sekarang mereka sudah pun sah,” balasnya tetapi bunyinya seperti berjauh hati. Memang sudah jadi resam wanita mengalah demi anak. Itu alasan paling biasa diberikan. Padahal keharmonian hidup anak-anak bergantung pada didikan diberikan. Memanglah sempurna kehidupan anak-anak seandainya dibesarkan oleh kedua-dua ibu bapa. Namun, ada anak yang tetap memilih kehidupan liar walaupun memiliki keluarga bahagia.
 
Saya kira wanita perlu lebih tegas dan berdikari. Usah bergantung harap dengan lelaki terutama dengan lelaki yang tidak bertanggungjawab. Sebab itu saya tidak menggalakkan wanita berhenti kerja selepas berumah tangga. Paling tidak pilih satu kerjaya atau hobi yang mendatangkan hasil. Orang tua-tua kata sediakan payung sebelum hujan.
 
Bukan hendak meminta perkara buruk menimpa tetapi apa salahnya beringat sebelum kena. Kehidupan kita sebagai wanita ini cukup mencabar. Terutama bagi mereka yang sudah punya anak. Kiranya wanita perlu bijak mengatur hidup demi masa depan dan kebahagiaan.
 
*Dipetik dari GLAM Mac 2013
 
 

See also
Perubahan Sedekad Aktor Paling Kacak Hollywood