Chanel Cruise 2024: Empat Trend Yang Hangat

Empat Trend Wajib Cuba Dari Pentas Chanel Cruise 2024

Chanel Cruise 2024 menghimpunkan satu koleksi yang cukup girang dengan mengambil inspirasi daripada gaya hidup Los Angeles. GLAM merungkaikan empat gaya utama yang wajar diberikan perhatian!

ON WEDNESDAYS, WE WEAR PINK

Demam rona paling hangat 2023 masih utuh di pentas Pra-musim bunga 2024 Chanel. Percikan palet merah jambu ini yang menjadi viral sejak filem Barbie menyinggah ke sinema terus mencipta panasnya ke hujung tahun bersama Chanel. Mungkin kerana Margot Robbie yang menjadi wajah utama jenama Paris ini juga melakonkan watak Barbie sehinggakan memberi sedikit inspirasi kepada Virginie Viard, selaku pengarah kreatif di Chanel. Gaya yang cukup feminin ini sebenarnya menjadi perisai fesyen unggul bagi abad ke-21 kerana sejak awal tahun 2000 sudah mula mencipta ombaknya. Kini ia kembali dengan membawa fenomena luar biasa!

chanel cruise 2024

HITAM PERKASA

Chanel semestinya tidak dapat lari daripada penggunaan rona hitam. Kerana sejak awal jenama ini ditubugkan, palet gelap ini sering menjadi pilihan Coco Chanel sehinggakan menjadi warna kegemarannya. Selalunya Chanel akan menghasilkan rekaan yang cukup ringkas dalam rona putih dan ditambah dengan perincian hitam, lalu menerbitkan rasa glamor yang cukup ringkas. Mendiang Coco Chanel pernah menghasilkan dress hitam ringkas dan pada Oktober 1926, majalah Vogue berkongsikan yang dress ini bakal terus menjadi pelengkap gerobok fesyen dunia. Nyata dress hitam ringkas itu sehingga kini mempunyai status yang tidak lekang dek panas. Perhiasan aksesori pula hadir dalam rona hitam atau putih bagi memberi nilai versatil dalam gaya wanita.

See also
Chanel Bunga/Panas 2018 Eksperimen Wanita Alaf Baru

chanel cruise 2024

METALIK MENGGODA

Bagaikan satu pengembaraan yang sarat dengan fantasi, himpunan pra-musim bunga 2024 membawa pilihan yang mampu menyegarkan gaya. Buat yang berani, pilihan cool cadangan Viard adalah menggunakan aksesori dengan kemasan berkilat. Tidak hanya berpegang pada baju penuh dengan jahitan sekuin, ada juga helaian yang diperbuat menggunakan fabrik berkilau mencipta semula gaya 80-an yang menjadi idea utama di pentas Chanel ini. Fesyen berasaskan metalik ini bukanlah sesuatu yang baharu, era Old Hollywood sering menggunakan kain lame membaluti tubuh mereka. Kemudiannya, diolah menjadi helaian baju sukan untuk memberi rasa glamor pada wanita. Kini dipersembahkan semula dengan injek gaya lebih baharu. 

KEEP ROLLING

Satu tema yang paling kuat wujud di pentas  Chanel Cruise 2024 adalah sukan kasut luncur. Ia adalah aktiviti yang cukup popular di Los Angeles apatah lagi di tepi pantai Venice. Maka kasut beroda ini dijadikan esen penting dalam mengangkat idea dan ditafsirkan dalam nada yang lebih eksentrik. Rantai, gelang mahu pun pin dengan berekan kasut beroda merajai wanita-wanita Chanel kali ini. Selain itu, Viard juga mengabadikan keindahan warna tatkala matahari terbenam di pantai. Simbahan rona jingga memberikan gaya segar pada gerobok. Atau pilihan biru yang tenang, seperti di Lautan Pasifik. 

See also
Meraikan Haruman Agung, Chanel N°5

Artikel Berkaitan: G-Dragon, Yuna dan Bintang Hollywood Bersinar Di Acara Chanel Cruise ’24