Hatta Dolmat Terus Berinovasi Dalam Material Mesra Alam
hatta dolmat

Hatta Dolmat Berinovasi Dengan Kain Perca

Pendedahan terhadap sentimen kelestarian di Malaysia semakin meluas. Namun kesedaran perlu diterapkan lagi dikalangan masyarakat tentang sukarnya melupuskan beberapa bahan yang diproses seperti polister. Keadaan ini membawa kepada kroniknya dunia akibat pencemaran dari hasil buangan pakaian dan bekas kecantikan. Hatta Dolmat, mula menyedari kepincangan menjaga alam sejak dulu lagi. Rumah kampung Hatta di Melaka betul-betul ditepi pantai.

hatta dolmat

“Sejak dulu saya sukakan nature. Betapa kesalnya melihat pengunjung buang sampah merata-rata. Saya mengambil tanggung jawab mengajak anak-anak saudara mengutip sampah di sepanjang pantai sampai sekarang,” ujar Hatta Dolmat. Nama Hatta Dolmat memuncak naik pada 2005 selepas bekerjasama dengan pelakon Fasha Sanda dan penyanyi Jaclyn Victor. Kemudian menjelang 2007, Hatta mendapat tempat ketiga di rancangan Project Runway Malaysia. Terjentik kesedaran pentingnya kelestarian di arena fesyen adalah ketika Hatta menyertai Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) pada 2015.

Ketika itu lagi Hatta punya fabrik cetakan digital sendiri. Akibat belanja terlalu mahal, dia malah menyimpan kain perca daripada material tersebut. “Kalau koleksi 30 busana pun telah meninggalkan kain perca yang banyak, cuba bayangkan sisa kain perca sesebuah produksi besar. Pasti lebih banyak. Menyedari itu saya mula produktif melakukan upcycle. Saya mula buat beg pouch, fail, topi dan sebagainya.”

Hatta Dolmat Kerjasama Dengan Kloth Cipta Kain Mesra Alam

Hatta mula menyuntik kelestarian di dalam rekaannya dengan Kerjasama SW Corp dan Kloth secara serius sejak 2020. Kali ini Hatta menggunakan material recycle untuk pertunjukan KLFW. Kain-kain dibekalkan oleh Kloth telah diproses. Lalu terhasillah material bercorak monogram. “Pada awalnya, gandingan bahan 30 peratus kain kapas dan 70 peratus plastik menghasilkan material kurang serapan warna. Jadi hasil warnanya tidak seperti saya inginkan. Banyak kajian dilakukan dan setelah menggunakan 100 peratus bahan plastik barulah kain diproses berhasil menyerap warna seperti saya inginkan,” terang Hatta tidak pernah putus asa.

Katanya lagi, masih ramai organisasi kurang pendedahan tentang kelestarian. Kalau dia tidak mulakan, siapa lagi akan menggerakkan inisiatif ini. Kini terdapat organisasi yang mula membuka mata dan berminat untuk menyertainya di dunia kelestarian. Bagi Hatta ia perkembangan yang cukup memberangsangkan. Selain fesyen, Hatta turut menghasilkan produk perabot kelestarian bersama pereka Azry Fazamy. Material kemasan lembut produk dekorasi HD Home menggunakan kain diproses Hatta Dolmat tadi. HD Home bakal dilancarkan dan menemui penggemarnya tidak lama lagi.

Baca lanjut dalam GLAM Mac 2023.

Artikel Berkaitan: Hatta Dolmat Menjulang Kesedaran Sustainable Fashion