Panduan Networking Dalam Industri Fesyen

Panduan Networking Dalam Industri Fesyen

Oleh: Johan Kassim

front rowGambar: TPGVIP

 
Persepsi umum tentang ‘networking’ adalah berkisar kewajipan menghadiri acara sosial, cubaan menambat hati insan-insan penting dan bertukar-tukar contact. Ia terpulang kepada individu itu sendiri. Cara dia menguruskan situasi tersebut dengan akalnya untuk menzahirkan tanggapan baik, disenangi orang ramai, membuatkan orang lain nampak bakatnya sekali gus menjalinkan hubungan. Kendalikan dengan cara logik, relevan dan ada kelas, tidak perlu terlalu mencuba sehingga sanggup menjadi orang lain, bukan?
 
Fesyen adalah bisnes, melibatkan hubungan antara satu individu fesyen dengan kelompok fesyen penting yang lain dan dihubungkan dengan kelompok yang lain lagi. Setiap satu mereka punya kekuatan tersendiri. Percabangan hubungan ini penting buat individu ‘primer’ untuk ditempatkan di fasa lebih baik. Seperti melihat peta minda – subjeknya di tengah-tengah, sekelilingnya adalah isi penting. Reaktif terhadap setiap satu ‘isi penting’ itu adalah langkah untuk memperkembangkan diri.
 
Saya berbual dengan teman yang juga Pengarang Projek Khas majalah GLAM, Yana Baharudin yang menceritakan tentang pereka-pereka fesyen muda tempatan. Dia berpesan agar pereka-pereka muda ini untuk tidak membuat networking sembarangan. Seperti, jangan melebihkan individu yang ada populariti atau sekadar dikenali di sosial media kerana gayanya sahaja (latar belakangnya ‘kosong’), tetapi tidak membuahkan apa-apa hasil. Tiada apa-apa sumbangan dan akhirnya, tidak menaikkan nama pun. Siapa individu terpenting dalam industri fesyen itu perlu dirujuk melalui hierarki sosial fesyen. Mana tahu, orang yang tidak dipandang itulah lagi kuat pengaruhnya?
 
Contohnya, di Minggu Fesyen Kuala Lumpur. Yang sepatutnya setiap satu slot itu meletakkan kelompok-kelompok penting seperti pembeli fesyen, perhubungan awam, klien, media-media tempatan, ketua pengarang majalah dan selebriti di barisan hadapan, tidak dipraktikkan sebetulnya. Sebaliknya ada yang gemar meletakkan ‘figura’ popular dan yang entah siapa-siapa di barisan hadapan yang langsung tiada ‘significant’.
 
Sebab itulah pentingnya mengkaji dan ambil berat akan hal hierarki sosial fesyen, ketahui siapa yang punya potensi untuk diketengahkan namanya. ‘Guideline’ yang betul diharuskan dalam mengawal kualiti dan standard. Untuk tidak menampakkan industri fesyen kita lemah. Jika tidak serius, sukarlah untuk ‘survive’. Lebih-lebih lagi kelompok muda yang baru berjinak dalam industri ini, di mana perlunya pendedahan jujur tentang sudut mana yang wajar berikan perhatian. Namun, harus beringat untuk niatkannya sebagai membantu diri dan orang lain dalam industri ini. Bukan untuk ambil kesempatan!
 
APAKAH SILAPNYA? LANGSUNG, BAGAIMANA?
Bersikap Terlalu Memilih… Kelompok ‘Salah’!
Ada individu fesyen yang hanya bergaul dengan satu kelompok itu sahaja. Silap hari bulan, jadi groupie. Mereka tidak mengambil langkah berkembang.
 
Siapa?
Individu penting industri. Ia tidak semestinya berkaitan dengan bos besar atau CEO. Apa yang ditegaskan adalah mengenali mereka yang ada potensi sama ada secara langsung atau yang menerusi kenalan-kenalan. Tidak kiralah usia atau pangkat. Jangan bataskan diri. Kalau boleh, keluarlah. Go out more often. Diana Vreeland menemui dan memperkenalkan nama-nama seperti Richard Avedon, Louise Dahl-Wolfe dan pengarah seni Alexey Brodovitch. Semua ini terhasil daripada networking Vreeland. Apa ‘label’ mereka sekarang? Legenda.
 
Perlu Tahu Orang Dalam Penerbitan
Individu fesyen perlu tahu orang dalam penerbitan, terutamanya media cetak. Seperti penulis fesyen, pengarang fesyen dan sudah tentu, ketua pengarang. Kata Pengarang Projek Khas majalah GLAM, Yana, dia mencadangkan cara-cara untuk menembus perhubungan ini perlu dilakukan dengan profesional. Keberanian perlu ada. Silap besar sesetengah individu fesyen adalah ada antara mereka yang memandang ringan kuasa media cetak. Fotografer seni, Walter Pfeiffer pernah meluahkan mengapa dia skeptikal ketika Markus Ebner menawarkannya untuk bekerja dengan majalah Achtung. Kata Pfeiffer, ‘editorial is mediocre’. Namun, dia terima juga tawaran Ebner. Akhirnya, ia memperluaskan lagi kerjanya dan membuat dirinya lebih dikenali sehingga dia bekerja pula dengan i-D dan Vogue.
 
Perhubungan Awam Perlu Ada
Konteksnya adalah pereka fesyen atau jenama fesyen tempatan. Melantik perhubungan awam sebagai wakil adalah cara paling berkesan. Pilih perhubungan awam yang memiliki contact bagus.
 
Gunakan Teknologi, Sosial Media dan Seumpamanya
Semua sedia maklum yang puncanya adalah daripada wujudnya fashion savvy. Di mana hampir 80 peratus orang bergantung kepada teknologi dan sosial media sebagai perantara. Semenjak aktif Instagram, saya perasan sudah banyak insan kreatif tidak takut untuk berkongsi hasil kerja kreatifnya menerusi sosial media, yang boleh ditakrifkan sebagai ‘portfolio’.
 
Institusi Atau Diri Sendiri?
Secara peribadinya, ia berkaitan dengan diri sendiri juga. Bagaimana dia sendiri bergerak ke hadapan dalam ikhtiar mewujudkan networking. Ada individu fesyen yang tidak mengambil berat hal-hal berkaitan dengan komunikasi dan terlalu yakin dengan cara pendekatannya. Go overboard, boleh ‘membunuh’ diri. Kerana perlu ingat yang bukan semua orang boleh terima cara kita, bukan?
 
 

See also
Kenali Alan Wong VJ 'The MTV Show'