Kediaman - Urban Kontemporari - Page 3 of 4 - Glam Malaysia

Kediaman – Urban Kontemporari

Binaan dinding dan siling berganda setinggi 24 kaki menjadi paksi rekaan banglo serba moden ini. Mainan palet neutral mewah; hijau, kelabu dan coklat cerah disulami paten chevron dan ira marmar mencipta kediaman berkarakter untuk pasangan muda serta anak mereka.

Pemilik, Nur Fazlin Khalil meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada pereka Azry Fazamy untuk merealisasikan kediaman impian

Banglo tiga tingkat di Bukit Jelutong ini bereksperimentasi gabungan pelbagai jenis material yakni kayu, besi, kaca dan kulit. Kediaman didiami oleh pasangan muda, Nur Fazlin Khalil bersama suami, Amirul Hijjas Ahmad Ridzwan bersama dua anak mereka. Mainan palet neutral segar hijau dan kelabu mendominasi segenap ruang kediaman. Mendapat sentuhan semula oleh pereka, Azry Fazamy, banglo ini mengambil masa enam bulan untuk siap sepenuhnya. “Sebelum mengenali Azry, saya membuat penambahan pelan lantai dapur sebanyak 10 kaki. Malah, kami juga menggunakan khidmat pasukan pereka bentuk dalaman lain yang akhirnya meninggalkan projek separuh jalan. Pentingnya mengambil tahu serba sedikit latar belakang pereka sebelum memulakan projek,” cerita Fazlin membuka bicara.

Reka pelan lantai kediaman dimulakan dengan pembinaan ruang foyer yang dibina santai bergaya. Tempat duduk dibina melekap terus pada dinding beralaskan kusyen corak chevron dan aturan aksesori bekas lilin tembaga. Azry turut membina kabinet pasang siap material kayu cerah berfungsi sebagai sistem unit penyimpanan kegunaan penghuni.

Slide untuk lihat gambar.

3 of 4
Use your ← → (arrow) keys to browse

Ruang tamu dan ruang makan dibina dalam pelan lantai yang sama. Azry bertindak bijak memisahkan ruang makan dengan binaan gerbang dinding berpetak. Rekaan corak chevron dan aksesori cermin pada panel dinding memberi satu dimensi rekaan segar. Jelas Azry, “Pemilik mahukan cermin di ruang ini tapi tidak mahu didominasi kesan refleksi yang akan terhasil jika menggunakan potongan cermin besar. Jadi, saya olah semula rekaan kegunaan cermin dalam binaan dinding fokal di ruang makan ini.” Corak chevron turut dikekalkan pada rekaan jubin lantai paten ira kayu cerah. Azry mengaturkan set meja makan dibaluti kulit jenama Ashley bagi menyempurnakan keseluruhan ruang.