Pupuk Kreativiti Si Kecil

Pupuk Kreativiti Si Kecil

Kid3Gambar: Ingimage

 
Kreativiti tidak patut dihadkan untuk bidang seni semata, aplikasinya amat banyak dalam kehidupan seharian. Si anak yang kreatif lebih bijak berfikir dalam apa jua situasi. Perkembangan minda sedari kecil juga mampu membantu mereka bila umur meningkat, sama ada dalam pembelajaran, karier mahupun kehidupan seharian. Satu lagi tanggapan kurang tepat tentang sifat kreatif ialah ia bakat dalaman yang hanya dimiliki sesetengah individu sahaja. Sebenarnya kreativiti dan bakat boleh diasah dari kecil. Ada pelbagai cara untuk mengasah bakat ini namun pakar serta pengkaji sosial merumuskan beberapa perkara yang boleh diamalkan untuk memupuk kreativiti dalam kanak-kanak.
 
1. Tanam Tabiat Kreatif
Pengarang buku The Creative Habit, Twyla Tharp, merumuskan bahawa untuk menjadi kreatif, ia perlu dijadikan sebahagian daripada amalan seharian. Teorinya, dengan melaraskan satu rutin setiap hari, minda akan lebih bersedia untuk menjadi kreatif. Contohnya, untuk anak yang belum bersekolah rutinnya mungkin bangun tidur, mandi, sarapan dan diikuti satu aktiviti kreatif yang boleh dilakukannya. Aktiviti yang boleh dilakukan pula pelbagai dan boleh diselang-seli mengikut hari dan waktu.
 
2. Dedahkan Pelbagai Cabang Seni
Bidang seni kreatif bukan terhad kepada melukis dan mewarna sahaja. Dedahkan si kecil kepada pelbagai cabang seni sama ada seni visual, seni persembahan, seni rekacipta dan lain-lain aktiviti yang memupuk semangat ingin menghasilkan karya melalui sesuatu proses dengan tangan sendiri. Ikut kesesuaian umur, perkenalkan kepadanya akitiviti tarian atau meniru gaya watak kartun kegemarannya, menulis cerita pendek, mencipta lagu, bermain alat muzik, melukis komik, mereka cipta barang perhiasan, malahan bereksperimen dengan fesyen serta memasak juga merupakan aktiviti kreatif yang menyumbang kepada tumbesaran minda anak-anak.
 
3. Bermain Dengan Kreatif
Jika boleh, pastikan kebanyakan permainan anak anda mampu mengembangkan mindanya dan membuatkan dia berfikir secara kreatif. Contohnya bongkah binaan atau permainan binaan struktur atau doh tanah liat yang tiada peraturan tetap dalam cara permainannya namun boleh menghasilkan seribu satu ciptaan. Boleh juga sajikan permainan yang mempunyai hanya satu jawapan tetapi terdapat pelbagai cara penyelesaian, seperti permainan kiub Rubik atau puzzles.
 
4. Gunakan Apa Yang Ada
Ajar anak anda yang dia tidak semestinya memerlukan peralatan atau permainan khas untuk mencipta sesuatu. Tunjukkan apa yang boleh direka cipta daripada bahan-bahan semula jadi seperti daun-daun luruh, batu-batu kecil atau kulit telur yang boleh dicat pelbagai corak, bunga-bunga yang boleh dipetik dan disusun menjadi centrepiece untuk makan malam serta pelbagai projek yang boleh dilakukan dengan bahan terbuang seperti tin kosong, kotak susu, tangkai aiskrim dan lain-lain.
 
5. Make It Special
Jadikan waktu berkarya aktiviti kegemarannya dengan menjadikan ia bonding time antara anda dan anak-anak. Usah risau tentang hasil kerja mereka, yang penting mereka berseronok dengan anda. Apabila ia dikaitkan dengan perasaan positif dan bahagia, mereka lebih cenderung melakukannya kerana ia menggembirakan. Tingkatkan keyakinan diri mereka dengan memberikan pujian jika wajar atau kritikan membina jika perlu. Beritahu yang it’s okay to fail – just try again or move on.
 
6. Terus Berkarya
Umum percaya bahawa pengkarya muzik terkenal Mozart merupakan child genius dalam bidang muzik. Namun sebenarnya, dia telah bekerja keras sedari kecil sehingga jari-jarinya cacat dan berubah struktur di usia 20-an akibat ketekunannya bermain piano. Sebelum terhasilnya karya agung Mozart, Simfoni ke-25, dia telah menghasilkan 24 simfoni terdahulu sebagai latihan. Namun tidak bermaksud anda perlu memaksa anak berlatih berkarya setiap hari hingga bosan, cuma jika anak anda punyai minat yang mendalam, suntikkan semangat positif padanya dengan contoh Mozart ini. Pupukkan semangat “never give up” agar bakat kreatifnya dapat diasah betul-betul sehingga membuahkan kejayaan baginya suatu hari nanti.
 
 

See also
Tip Anak Bijak