Amanda Imani Terbang Jauh Membuat Persembahan Di Serata Dunia

Amanda Imani Terbang Jauh Membuat Persembahan Di Serata Dunia

Amanda Imani
 
Orangnya tinggi lampai selain berperwatakan ceria, dia juga punya raut wajah yang begitu seksi, itulah pandangan pertama saya terhadap Amanda Imani apabila bersemuka empat mata di studio tempoh hari. Memulakan karier nyanyian seawal usia 17 tahun, ketika itu berita yang menggembirakan hati apabila komposer Ajai menghidu bakatnya dan ia adalah suatu yang mustahil untuk ditolak. Justeru itu, pada tahun 2010, bermulalah revolusi muzik Amanda Imani dengan terhasilnya album pertama berjudul Amanda Imani. Lebih membanggakan buatnya apabila dia turut sama menyumbangkan lirik di dalam album itu. “Saya masih begitu muda dan tidak punyai sebarang pengalaman ketika itu. Mempunyai seseorang yang percaya akan kemampuan saya dan ingin menghasilkan album debut, itu adalah suatu benda besar buat saya.”
 
Selesai album pertama, Amanda tidak berhenti di situ sahaja, dia maju bersama beberapa single seperti kolaborasinya bersama Malique dan juga pemain biola elektronik, Dennis Lau. Apabila ditanya tentang projek terbarunya, air muka lantas berubah. Begitu gembira bercerita, manakan tidak album yang akhirnya ditunggu-tunggu telah pun menjengah pasaran tahun lalu.
 
Diberi judul Black Heart, bergenre Rock Alternatif, berbeza sedikit dari muzik yang sering dibawanya iaitu Pop. Mempunyai tujuh buah lagu baru beserta dua trek bonus dan sepenuhnya dihasilkan oleh Amanda Imani dari penghasilan lirik, melodi hingga album itu sendiri. Soal saya tentang konsep album ini, mengapa memilih lagu Inggeris sepenuhnya? “ Konsep utama adalah untuk memperdengarkan bait-bait lirik, apa yang ingin saya katakan menerusi lagu-lagu saya dan kerana ia lebih menggambarkan siapa saya. Genre ini juga tersasar dari ritma saya sebenar namun ia bagus kerana tidak ramai penyanyi wanita di luar sana yang ingin membawa genre ini. Saya juga tidak mahukan lagu yang mesra radio sepenuhnya kerana itu bukanlah idea asal saya. I just wanted it to be real and raw.
 
Saya tabik dengannya yang tidak gentar mengambil risiko dan ingin bereksperimen dalam apa jua yang dilakukan. Mungkin ramai masih tidak tahu, Amanda Imani antara penghibur yang sudah terbang jauh membuat persembahan di serata dunia. Antara yang sudah dijelajahi ialah di China, rantau Eropah juga Sepanyol. Dia kerap memenuhi jemputan luar negara. Bagi Amanda, peluang seperti ini membuka matanya dalam mengenali budaya dan muzik luar. Beralih pula soal saya ke kisah fesyen Amanda Imani. Lihat sahaja laman Instagramnya, gambar-gambar yang dimuat naik semuanya begitu stylish. “Saya cintakan fesyen! Ia dan muzik berjalan seiring. Bagi imej pula, saya sering bertukar ganti. Sebenarnya, Black Heart menggambarkan stail peribadi saya. Fesyen boleh dianggap menyerikan lagi diri saya sebagai seorang penyanyi. And some people work the music around the fashion, but I do the opposite.”
 
Gemarkan gaya klasik sepanjang zaman namun Amanda juga suka merubah angin penampilan dengan menyuntik sedikit elemen edgy dan rock dalam gaya harian. “Gerobok saya penuh dengan persalinan rona serba gelap!” ujarnya sambil tertawa. Tidak hairanlah jika ditanya pereka kegemarannya, sudah tentu Alexander McQueen dan Ezzati Amira. Menjadikan Lana del Ray sebagai inspirasi membuatkan dia berharap suatu hari dia mampu berkoloborasi bersama penyanyi ini. Impiannya dimasa akan datang, ingin membantu generasi muda dalam mengecapi impian sebagai penyanyi. Dia percaya, jika kita memberi, dalam waktu yang sama kita turut mempelajari sesuatu secara tidak langsung.
 
Teks & Penyelaras: Zuhairie Sahrom dan Amira Azman
Penata gaya: Aizat Aidid
Arahan Seni: Ashura Hakim
Gambar: Eric Chow/ Blink Studio
 
*Artikel ini disiarkan dalam GLAM edisi April 2015
 
 

See also
Julia Roberts Jual Aset Hartanah Malibu USD8 Juta