Deanna Yusoff Merungkai Kisah Di Sebalik Dunia Peragaan

Deanna Yusoff Merungkai Kisah Di Sebalik Dunia Peragaan

Teks: Aizat Aidid
 
deanna2
 
Pada era 90-an wajah kacukan menjadi pilihan popular, baik dalam dunia perfileman hingga ke arena fesyen. Mereka yang berdarah kacukan dilihat lebih mudah mendapat peluang dan cepat sekali mengaut publisiti. Deanna Yusoff muncul di batas era antara zaman kegemilangan Gianni Versace dan waktu kebangkitan pelopor minimalist, Calvin Klein.
 
Nama Deanna Yusoff cukup besar di pentas fesyen malah lebih dominan dalam persada seni Malaysia. Resumenya hebat belaka apabila dia dianugerahkan Pelakon Wanita Terbaik melalui filem sulungnya, Selubung arahan Datuk Paduka Shuhaimi Baba. Selain itu, Deanna juga boleh berbangga dengan watak Lady Thiang dalam filem Anna and The King. Siapa pula dapat melupakan drama siri popular di saluran Astro Ria, Idaman yang meletakkan Deanna Yusoff sebagai ratu televisyen Malaysia.
 
Walah kerjaya Deanna dalam dunia seni hiburan tampak gah, permintaan untuknya sebagai peragawati tetapi laris. “Saya ketika itu masih menuntut di luar negara dan pulang ke Malaysia hanya untuk bercuti seketika. Namun, mungkin sudah rezeki, saya ditawarkan bermacam-macam kerja,” ujar Deanna yang mempunyai kelulusan dalam bidang perakaunan. Bagaimana mulanya kerjaya sebagai peragawati? “Di Kuala Lumpur sahaja, saya sering ditanya oleh pencungkil bakat jika saya mahu membuat kerja sambilan sebagai model. Sehingga ada ketika itu sedang asyik berenang di kolam renang dan ada orang meminta saya hadir ke sesi uji bakat buat iklan TV.” Atas keyakinan yang diletakkan oleh keluarga ke atasnya, terus peluang ini disambut dengan hati terbuka dan membuahkan kejayaan yang hebat pada wanita yang sudah menjangkau ke usia 47 tahun.
 
Kerjaya sebagai peragawati membawanya terbang ke negara serantau. “Tidak dapat saya lupakan, antara tugasan pertama saya sudah terbang ke Tokyo! Selain itu saya juga bangga kerana terpilih untuk menjadi model buat Salem High Country yang mana antara iklan yang paling popular dan ramai peragawati berlumba-lumba mahu mendapatkan kontrak itu.” Tambah Deanna lagi, dahulu banyak peluang untuk peragawati menghiasi iklan komersial di kaca televisyen seperti jenama Hazeline Snow yang selalu muncul tatkala masa prima. “Sebenarnya saya cukup rasa rendah diri apabila melihat diri sendiri di papan iklan atau televisyen namun hati tetap bangga apabila dipilih untuk menjadi jurucakap buat jenama antarabangsa seperti SKII dan menghiasi kempen L’Oreal.”
 
deanna4 mono
 
Merungkaikan kisah di sebalik dunia peragaan, Deanna berkongsi yang bukan semuanya indah belaka. “Masyarakat melihat kerjaya sebagai model ini cukup glamor dan hanya bersuka-suka selalu. Mereka ingat tugas kami cuma berparti, tampil cantik di hadapan lensa kamera dan kerja tidak berjam-jam lama. Namun sebaliknya, kerjaya kami memakan masa yang panjang and some barely survived! Paling sedih apabila kami ini tidak dilayan sebagai manusia lain.” Deanna berasa cukup bertuah kerana dia masih mampu memilih tugasan peragaan yang mana hendak dia lakukan. “Saya selesa memilih kerja peragaan dengan team yang bagus.” Lagipun, baginya jika ada tugasan yang tidak berpihak kepadanya, maka bukan kerana salah dirinya. “The job was just not meant to be!” ujarnya.
 
Membesar sebagai model mengajar Deanna banyak perkara. “Jangan kerana perkara kecil buat anda hilang akal. Oh, ada satu kisah dahulu ketika masih hijau dalam dunia peragaan, saya sering kehilangan kasut. Kerana kaki saya saiznya kecil dan kasut yang disediakan terlalu besar. Kerana hanya kasut hilang boleh jadi drama besar. Tapi itu semua mengajar kita untuk lebih bijak mengendali masalah yang akan tiba. Lebih street smart!” Tambahnya lagi, dunia peragaan ini turut mengajar dia untuk lebih hidup berdikari dan membina keyakinan diri. “Namun, dunia peragaan ini juga membentuk saya menjadi obses dengan diri sendiri, segala-galanya dari segi bentuk badan hingga yang ada di luaran kerana ia menjadi tatapan umum. It’s superficial!”
 
Melihat situasi peragaan sekarang Deanna kesal kerana seakan-akan industri fesyen sendiri sudah lupa bagaimana untuk menghargai kecantikan yang dimiliki oleh bakat tempatan. “Mereka tidak menghargai wajah yang kita ada di Malaysia. Saya faham benar jika kehendak jenama antarabangsa adalah untuk menggunakan peragawati antarabangsa. Maka dek kerana itu mungkin peragawati tanah air sekarang susah untuk menerima tugasan sebegini.” Deanna juga menyoalkan perihal adakah peragawati tempatan baru hari ini sudah siap sedia untuk melangkah ke peringkat antarabangsa. “Ada peragawati baru yang punya peluang cerah, namun tidak bersedia untuk berusaha lebih jauh. Kerana inilah banyak tugasan di Malaysia dimonopoli oleh peragawati luar negara. Model kita yang baru hendak menapak dalam industri ini perlu sentiasa ada pelan B untuk melangkah jauh dalam dunia peragaan,” nasihat Deanna Yusoff.
 
*Artikel ini disiarkan dalam GLAM April 2014
 
 

See also
Gucci Flora Gorgeous Magnolia Baharu Lebih Berfantasi