"Mulanya saya kurang yakin untuk menjadi pelakon" - Fathia latiff

“Mulanya saya kurang yakin untuk menjadi pelakon” – Fathia latiff

Fathia Latiff Jun 2015
 
Teks: Aizat Aidid
 
Jika saya mahu buatkan perbandingan antara Fathia yang saya kenal sewaktu menuntut di universiti dahulu dengan Fathia hari ini, aktres yang rupawan ini sudah tumbuh menjadi sekuntum bunga yang sempurna sifatnya. Mekar dengan kelopak yang segar dan baunya semerbak harum mengapung di segenap ruang bilik. Dia yang saya kenal dahulu cukup manja dan bersifat keanak-anakan, namun kini Fathia jauh matang dalam mengawal bahteranya sebagai wanita penuh dedikasi serta berwawasan. Tidak ada lagi ruang diberikan kepada orang lain untuk mempergunakannya. Namun begitu, masih terpancar sifat manisnya kepada mereka yang rapat atau yang kenal sifat sebenar Fathia Latiff.
Di sebalik bundar matanya tertanam pelbagai misi yang hendak di kecapi. Tanpa melihat ke belakang, Fathia Latiff berlari laju mendukung cintanya dalam arena lakonan dan merehatkan seketika cita-citanya dalam bidang guaman.
 
Sebelum nama Fathia Latiff menyinggahi bibir-bibir pencinta dunia hiburan tanah air, dia terlebih dahulu sudah kukuh dalam lapangan peragawati iklan. Sifatnya yang tidak tahu duduk diam, dia tahu sahaja bagaimana mencari ruang bagi meluaskan ilmu serta mendapat wang sampingan. Wajah kacukan Arab yang dimilikinya digunakan sebaiknya, lalu sering kali Fathia dilihat berlakon buat iklan berjenama hebat seperti Sunsilk.
 
“Setelah ligat sebagai peragawati iklan, barulah dijemput rezeki untuk mencuba nasib dalam arena lakonan pula. Namun begitu, saya kurang yakin untuk menjadi pelakon kerana saya tidak punya ilmu asas dalam lakonan berbanding dengan pelakon yang sudah siap sedia menuntut ilmu sebagai pelakon,” ujar Fathia Latiff yang memegang watak sebagai Nabila melalui drama paling popular tahun 2009 iaitu Nur Kasih.
 
Sejak daripada kejayaan drama bersiri Nur Kasih, Fathia yang dahulunya hanya diberi kepercayaan memegang watak pembantu mula mendapat tawaran menyandang peranan utama. Satu persatu drama bersiri lakonannya ditayangkan seperti Hani, Laila Asyikin, Mahabbah, Diandra dan Arianna Rose. Jika drama yang dia lakonkan adalah hasil adaptasi naskhah novel itu katanya menjadi beban kepadanya tetapi dia senang dengan cabaran tersebut. Fathia akan menghayati watak dengan segenap jiwanya.
 
“Saya sebenarnya kurang minat membaca novel. Maka jika ada drama daripada adaptasi novel, saya akan cuba berikan lebih seratus peratus untuk mengubah karakter wanita itu mengikut rentak saya yang tersendiri. Saya tidak mahu menggunakan jalan mudah dengan memberikan perwatakan yang sama dengan watak di dalam novel. Namun kadang kala peminat tidak terima usaha saya itu. Mereka lebih gemarkan saya melakonkan watak sama sebiji dengan karakter dalam novel.”
 
Konsep & Penata Gaya: Cheah Wei Chun clanhouseonline.com
Gambar: Bustamam mokhtar
 
*Artikel ini disiarkan dalam GLAM edisi Jun 2015
 
 

See also
Pertama di Malaysia, BookXcess ini Berkonsepkan Terowong Buku