5 Filem Patriotik Mesti Tonton Sempena Hari Kemerdekaan
Bulan Ogos adalah bulan kemerdekaan, pastikan anda menonton 5 filem patriotik pilihan GLAM bagi menghargai jasa dan perjuangan pejuang negara hari ini!
Setiap kali bulan Ogos berkunjung, pasti semangat patriotik itu serta-merta datang membara kerana Ogoslah menjadi bulan paling keramat buat negara dan rakyat Malaysia. Mengingatkan kembali bagaimana para wira dan wirawati negara bermati-matian memperjuangkan kemerdekaan dengan niat dan matlamat yang satu, ingin bebas daripada dijajah penjajah asing. Syukur kerana Malaysia sehingga kini masih aman dan moga terus kekal aman selamanya.
Tiga satu bulan lapan, lima puluh tujuh
Hari mulia, negaraku merdeka
Oleh kerana itu, kami di GLAM ingin berkongsi antara filem patriotik yang harus ditonton. FIlem hebat yang sebenarnya harus diiktiraf dan terus dihargai kerana mereka inilah yang membantu generasi hari ini untuk kekal mengenali dan menyemat di dalam hati erti perjuangan dan penat lelah yang dilalui pejuang dan pemimpin negara dalam mencapai keamanan hari ini. Buat anda yang tercari-cari filem apa yang harus ditonton di hari cuti minggu ini, ayuh kami bantu anda!
Ini 5 Filem Patriotik Mesti Tonton
#1 Air Force The Movie: Selagi Bernyawa (2022)
“Keamanan dan kesejahteraan dikecapi ketika ini tidak diperoleh dengan mudah, Sebaliknya melalui pengorbanan pejuang yang mempertaruhkan nyawa dalam mempertahankan kedaulatan negara. Kami memegang teguh ikrar Kesatria untuk mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan kepentingan negara, sehingga ke titisan darah terakhir,” Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM
Sebuah filem aksi ketenteraan Malaysia 2022 arahan bersama Zulkarnain Azhar dan Frank See dengan skrip oleh Zulkarnain, See, Peter Toyat dan Opie Harris. Mengisahkan mengenai sekumpulan pegawai dan anggota Pasukan Khas Udara (PASKAU) bersama penumpang awam yang terkandas di Namburi selepas pesawat A400M mereka naiki ditembak oleh Militan Utara Namburi yang tidak berpuas hati dengan bantuan yang disalurkan hanya sampai kepada puak pemisah Namburi Selatan. Susulan kejadian tersebut, Tentera Udara mengusahakan rancangan untuk menyelamatkan mereka kerana pesawat yang ditembak jatuh tidak dapat dikesan. Dibintangi oleh Aiman Hakim Ridza, Dato Adi Putra, Nas-T, Sara Ali dan ramai lagi. Telah ditayangkan pada Ogos 2022, filem ini ternyata mendapat sambutan memberangsangkan.
#2 Paskal The Movie (2018)
Antara filem patriotik terbaik sehingga ke hari ini dan masih kekal utuh di hati kami yang menonton. Naskah yang amat berkualiti arahan Adrian Teh, seorang pengarah yang tidak pernah menghampakan. Filem ini yang mengisahkan tentang Leftenan Komander Arman Anwar, seorang anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL) iaitu pasukan elit Tentera Laut Diraja Malaysia. Akan tetapi, ibu Leftenan Komander Arman sebenarnya tidak merestui pekerjaannya itu kerana sebelum itu, ayahnya yang juga seorang ahli PASKAL yang telahpun terkorban sewaktu menjalankan misi kenegaraan. Namun, setelah lama kemudian, rakan sepasukannya terkorban dan seorang lagi diberhentikan, Arman membuat keputusan untuk berhenti. Cabaran mula mendatang apabila dia terhimpit dengan misi terakhir yang perlu diselesaikan. Lihat bagaimana kehebatan Hairul Azreen, Ammar Alfian, Henley Hii, Gambit Saifullah, Taufiq Hanafi dan ramai lagi melakonkan filem ini. Mereka sudah ibarat pasukan PASKAL sebenar.
#3. Malbatt: Misi Bakara (2023)
Filem yang sedang ditayangkan kini dipawagam dan berjaya mendapat kutipan sebanyak RM10.5 juta sepanjang 4 hari pertama tayangan. Sebuah lagi karya hebat daripada Adrian Teh. Filem yang mengisarkan daripada kisah benar. Diadaptasi berdasarkan kisah sejarah tahun 1993 di mana Rejimen Askar Melayu DiRaja(RAMD) Mekanin dan Batalion Malaysia (MALBATT) melancarkan misi menyelamatkan askar-askar Amerika Syarikat menerusi kejadian Black Hawk. Pernah dengar tentang filem Hollywood, Black Hawk Down? Ia adalah sebuah filem yang menceritakan peristiwa yang sama namun langsung tidak mempersembahkan sisi perjuangan tentera Malaysia. Mereka langsung tidak menceritakan tentang siapa yang menyelamatkan tentera mereka yang terperangkap di Pasar Bakara ketika itu. Dibintangi oleh Shaheizy Sam, Bront Palarae, Zahiril Adzim dan ramai lagi. Tonton filem ini untuk mengetahui kisah sebenar tentang peristiwa Black Hawk Down ini.
#4 Tanda Putera (2013)
Sebuah filem arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba yang ketika itu dikatakan mengundang kontroversi kerana dituduh tidak memotretkan sejarah dengan jujur. Namun beliau menafikan tuduhan tersebut dan mempertahankan Tanda Putera sebagai sebuah filem fiksyen. Buat anda yang belum pernah menonton, filem Tanda Putera ini adalah sebuah filem yang menceritakan tentang persahabatan dua tokoh pemimpin negara iaitu Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein bersama timbalannya, Tun. Dr. Ismail Abdul Rahman dalam mengharungi cabaran pergolakan tragedi 13 Mei. Yang penting, filem ini meraikan keberanian serta semangat patriotisme sehingga berjaya menawan kestabilan dan keharmonian negara walau berdepan dengan masalah kesihatan yang kritikal. Filem yang ditunda hampir setahun, namun pelancaran filem ini amat berbaloi kerana penonton dapat mengetahui dan merasai sendiri susah payah yang dialami pemimpin menerusi filem ini.
#5 Leftenan Adnan (2000)
Leftenan Adnan ialah sebuah filem perang Malaysia yang dihasilkan pada tahun 2000 arahan Aziz M. Osman bersama skrip yang ditulis oleh Aziz sendiri dan Mejar Ramli Abu Bakar. Filem ikonik yang dibintangi oleh Hairie Othman, Umie Aida, Faizal Hussein, Rusdi Ramli, Shaharuddin Thamby, Rambo Chin, Wahid Senario dan ramai lagi. Filem ini menceritakan tentang perjuangan pegawai tentera Tanah Melayu, Adnan Saidi (juga dikenali sebagai Leftenan Adnan), yang bertarung nyawanya demi menyelamatkan Tanah Melayu daripada penaklukan tentera Jepun semasa Perang Dunia II. Filem ini turut memaparkan babak pertempuran terakhir Rejimen Askar Melayu berdepan kemaraan tentera Jepun yang jauh lebih ramai di Bukit Chandu sehingga mengorbankan Leftenan Adnan.