Retorik: Ciplak, Identiti Dan Status Fesyen - Glam Malaysia

Retorik: Ciplak, Identiti Dan Status Fesyen

Memiliki barangan fesyen berjenama sentiasa menjadi idaman ramai kerana ia kononnya melambangkan prestij, status dan kejayaan. Jadi siapa tidak mahu memiliki beg tangan Birkin atau LV walaupun harganya puluhan ribu ringgit jika ia mampu melonjakkan simbol status?  Apa salahnya bergaya dengan sepasang Louboutin atau Manolo jika setiap langkah nenjadi tumpuan?

T65068527_2M

Gambar: Arkib GLAM

Atas dasar itu ramai sanggup bersengkang mata dan berhempas pulas demi memenuhi nafsu mereka. Begitu pun, yang tidak sedapnya ada pula yang memilih cara mudah dengan memakai produk berjenama tetapi tiruan. Memanglah seronok bila dapat pakai LV, Hermes, Chanel dan Dior, apa lagi jika harganya murah dan mirip asli hingga ramai yang terpedaya. Persoalannya, apakah perasaan kala memakainya? Seronok, bangga atau tersemat sedikit perasaan malu dan bersalah?

Patutkah barangan fesyen tiruan dilambakkan di pasaran dan patutkah rekaan fesyen diberikan kebenaran hak cipta? Kita mendengar ramai orang mengeluh dan berang tentang hal ini tetapi sehingga rencana ini ditulis dan ketika anda sedang membaca, di suatu tempat di serata dunia ada penciplakan sedang berlaku. Ironinya, mereka yang berasa tidak selesa dengan penciplakan barangan fesyen, pada masa yang sama juga mereka bersetuju bahawa penciplakan memainkan peranan penting sebagai penggerak trend dan inovasi dalam dunia fesyen.

See also
Lady Gaga Is Patricia Reggiani, In Her Upcoming Movie, Gucci

Sesungguhnya tidak dinafikan penciplakan mengembangkan sesuatu trend dan mencipta fesyen terkini daripada sekelompok asal yang kecil ke pasaran yang lebih besar. Ia juga menterjemahkan rekaan daripada eksperimentasi abstrak yang diperagakan di pentas peragaan (yang mungkin dianggap satu khayalan) kepada sesuatu yang nyata dan logik apabila ia mampu dipakai oleh orang ramai di tepi jalan.

Walaupun penguatkuasaan sering dilakukan, untuk membanteras kegiatan tersebut namun ia mestilah bermula daripada pengguna. Dengan kecanggihan teknologi dan kemudahan logistik, barangan yang dikeluarkan di negara lain dapat dihantar dalam masa yang singkat dan mudah dengan kecanggihan teknologi masa kini membolehkan pesanan dan bayaran barangan dibuat melalui online menerusi laman web perniagaan yang boleh dilayari pengguna tanpa keluar rumah.

Dilaporkan bahawa beg tangan kanvas corak monogram jenama Louis Vuitton adalah yang paling banyak diciplak sehingga mencecah 18 peratus daripada jualan keseluruhan produk ciplak jenama popular termasuk Chanel, Prada dan Gucci. Ironinya kanvas bercorak monogram LV itu asalnya direka cipta untuk mengelakkan daripada diciplak. Yang pasti semakin pesat kegiatan penciplakan, semakin laris jualan LV yang asli.

See also
Blue Ivy Memakai Dress $26,000 Oleh Gucci

Malah situasi tersebut juga telah melonjakkan lagi prestij jenama LV dan setiap tahun model-model beg LV naik harganya. Begitulah peliknya situasi atau fenomena tiruan ini hinggakan seolah-olah membeli beg LV, Hermes atau Chanel yang tulen seperti melabur jongkong emas kerana harganya akan terus naik dan mungkin ini juga yang membuat pengasas Louis Vuitton dan pengasas Missoni, Ottavio Missoni tersenyum lebar sewaktu hayat mereka.

Begitu pun, itu bukan topik yang ingin ditimbulkan dan biarlah pengguna ‘bijak’ di luar sana yang menentukan. Apa yang lebih penting dan ingin diketengahkan ialah arah tuju Kuala Lumpur dalam membina imej kota fesyennya; mengejar status kota fesyen dan berazam kuat untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab fesyen di Asia, seharusnya Malaysia juga berusaha ke arah negara pengeluar produk fesyen di Asia.

Kepada pereka juga masyarakat fesyen di negara ini janganlah mengambil lewa akan hal penciplakan ini dan bertegaslah untuk membina kota fesyen yang beridentiti diri. Dalam usaha menyediakan trend terkini untuk setiap fashionista dan the style-savvy yang sentiasa dahagakan yang terhebat dan terkini, kita perlu belajar daripada mereka yang kononnya lebih awal established dan pantas arus industri fesyennya seperti Bangkok, Jakarta dan Hong Kong yang banyak menyogok pengguna dengan produk tiruan.

See also
Retorik: Fasa Arabization - Pengaruh Budaya Arab Ke Negara Bukan Timur Tengah

Kewujudan lewat ‘industri fesyen’ Kuala Lumpur mungkin boleh dianggap sebagai satu rahmat kerana ia memberi ruang dan peluang kepada masyarakat fesyen kita untuk belajar, menilai dan mengatur langkah yang betul. Keinginan meluap untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab fesyen jangan pula sampai kita hilang pertimbangan.

Hakikatnya kita mahu Kuala Lumpur wujud sebagai hab fesyen yang punyai identiti dan acuannya yang tersendiri. Mungkin terlalu besar jika kita katakan kita mahu jadi seperti Milan, Paris dan New York yang membina industri fesyennya melalui pengukuhan jati diri dan mengikut acuan serta budaya sebenar masyarakatnya tetapi itu tidak mustahil berlaku dengan sumber semula jadi yang sedia ada dan kehebatan idea pereka lama dan baru. Kita perlu reka cipta produk yang berkualiti, eksklusif dan jauhkan sama sekali plagiarisme dan palsu!

Oleh: Mahani Awang