11 Perceraian Bintang Popular Hollywood Sepanjang Tahun 2023 - Glam Malaysia
11 Perceraian Bintang Popular Hollywood Sepanjang Tahun 2023

11 Perceraian Bintang Popular Hollywood Sepanjang Tahun 2023

Entah di mana silapnya, ramai selebriti antarabangsa mengumumkan perceraian mereka pada tahun ini.

Kehadiran orang ketiga dan tiada persefahaman antara punca popular mengapa pasangan suami isteri bercerai. Bagaimanapun tiada siapa tahu dugaan apakah yang dilalui barisan selebriti ini dalam rumah tangga sehingga mereka memilih untuk membawa haluan masing-masing.

Berikut artis terkenal Hollywood yang melalui perceraian pada tahun ini

Cardi B & Offset

perceraian selebriti 2023

Selepas enam tahun bergelar isteri, Cardi B mengumumkan perceraiannya dengan Offset di media sosial baru-baru ini. Keretakan rumah tangga pasangan ini dihidu peminat selepas mereka tidak mengikuti akaun Instagram masing-masing pada awal Disember. Kedua-duanya mula menjalin hubungan pada 2017 dan berkahwin pada tahun sama. Mereka memiliki dua anak, Kulture Kiari Cephus, 5 dan Wave Set Cephus, 2.

Meryl Streep & Don Gummer

perceraian selebriti 2023

Oktober lalu pasangan ini membuat kejutan apabila mengumumkan telah bercerai selepas bergelar suami isteri selama 45 tahun. Meryl Streep dan Don Gummer yang berkongsi empat cahaya mata mendedahkan mereka sebenarnya telah pun membawa haluan masing-masing sejak enam tahun lalu.

Joshua Jackson & Jodie Turner-Smith

perceraian selebriti 2023

Aktor kelahiran Kanada ini terkejut dan terluka apabila mendapat tahu isterinya yang juga aktres serta model menfailkan perceraian. Mereka dilaporkan tidak tinggal sebumbung sejak 13 September lalu. Pasangan ini disatukan sebagai suami isteri pada 2019. Hasil perkongsian hidup selama empat tahun, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Juno Rose Diana, 3.

See also
Ramalan Oscar 2021: Siapa Bakal Membawa Pulang Trofi?

Hugh Jackman & Deborra-Lee Furness

perceraian selebriti 2023

Pasangan asal Australia ini mengumumkan perceraian lima bulan selepas sambutan ulang tahun perkahwinan ke-27. Dalam kenyataan bersama, Hugh Jackman dan Deborra-Lee Furness berkata hala tuju kehidupan mereka telah berubah. Disebabkan itu mereka memilih untuk membawa haluan masing-masing demi mencapai matlamat peribadi. Pasangan itu memiliki dua anak angkat, Oscar Maximilian, 23 dan Ava Eliot, 18.

Joe Jonas & Sophie Turner

Pasangan ini mengejutkan dunia apabila tersebarnya berita perceraian mereka di internet. Joe Jonas menfailkan cerai terhadap isterinya selepas empat tahun berumah tangga. Katanya, perkahwinan mereka tidak dapat dipulihkan lagi. Menurut laporan TMZ, pasangan itu berdepan masalah serius dalam rumah tangga sekurang-kurangnya sejak setahun lalu. Mereka mempunyai dua anak perempuan iaitu Willa, 3 dan Delphine, 1.

Britney Spears & Sam Asghari

Lebih setahun bergelar suami isteri, Sam Asghari menfailkan perceraian terhadap Britney Spears dan berpindah keluar dari rumah kelamin mereka. Pasangan itu dilaporkan sering bertengkar selepas Sam menuduh penyanyi itu berlaku curang dengan lelaki lain. Mereka mula menjalin hubungan pada 2016 selepas disatukan dalam klip video Slumber Party dan berkahwin pada 9 Jun 2022.

See also
Satu-satunya Sebab Billie Eilish Memilih Menjadi Vegan

Natalie Portman & Benjamin Millepied

Perkahwinan pasangan ini hancur sekelip mata gara-gara orang ketiga. Natalie Portman menfailkan perceraian selepas tularnya bukti yang menunjukkan suaminya bermain kayu tiga dengan aktivis alam sekitar dua bulan lalu. Dia dilaporkan sudah tawar hati untuk meneruskan perkahwinan yang dibina sejak lebih sedekad. Pasangan ini bertemu buat kali pertama di set penggambaran filem Black Swan pada 2009 dan berkahwin pada 4 Ogos 2012.

Sofia Vergara & Joe Manganiello

Power couple Hollywood ini membuat keputusan membawa haluan masing-masing selepas lebih tujuh tahun mendirikan rumah tangga. Menurut sumber terdekat, perceraian mereka disebabkan ketidaksefahaman yang berpanjangan. Pasangan itu dilaporkan tidak lagi mencintai satu sama lain, gemar meluangkan masa sendiri dan lebih mengutamakan kerjaya berbanding hubungan suami isteri. Sofia Vergara dan Joe Manganiello berkenalan di Majlis Makan Malam Perwakilan Rumah Putih pada awal 2014 dan berkahwin setahun kemudian.

Ariana Grande & Dalton Gomez

Penyanyi kecil molek ini menfailkan perceraian terhadap suaminya selepas dua tahun hidup bersama. Alasannya? Dia terlalu sibuk dek jadual kerjaya yang padat. Menurut laporan, rumah tangga pasangan itu telah lama retak menanti belah dan mereka tidak duduk sebumbung sejak awal tahun ini. Kedua-duanya menjalin hubungan pada Januari 2020 dan disatukan sebagai suami isteri pada 15 Mei 2021.

See also
Sedekad Berumah Tangga, Jovian Mandagie & Nina Sabrina Sah Bercerai

Kevin Costner & Christine Baumgartner

Asbab tidak sehaluan, pasangan ini memilih jalan perceraian selepas hampir dua dekad hidup bersama. Menurut Kevin Costner, dia hilang kawalan dalam perkahwinannya lalu membuat keputusan untuk bercerai. Mereka berkenalan di padang golf pada 1998 dan mendirikan rumah tangga enam tahun kemudian.

Reese Witherspoon & Jim Toth

Pasangan ini mengumumkan perceraian mereka Mac lalu selepas 11 tahun bergelar suami isteri. Reese Witherspoon mengakui ia bukanlah keputusan mudah namun mereka sepakat untuk memberi fokus membesarkan anak bersama. Aktres dan penerbit ini bergelar suami isteri pada Mac 2011.

Foto: Getty Images/Instagram

Baca: Pekerjaan 10 Selebriti Sebelum Bergelar Bintang Hollywood