5 Pelakon Hampir Maut Ketika Penggambaran - Glam Malaysia
5 Pelakon Hampir Maut Ketika Penggambaran

5 Pelakon Hampir Maut Ketika Penggambaran

Kebanyakan orang menganggap kerjaya sebagai pelakon adalah satu bidang pekerjaan yang amat mudah.

Apabila sudah mencapai tahap tinggi dalam kerjaya atau terikat dengan francais besar seperti Marvel Cinematic Universe, apa yang mereka perlu lakukan hanyalah menghafal dialog, menyarung persalinan hebat, dan pelakon lagak ngeri akan mengambil alih apabila aksi menjadi terlalu sukar.

Namun realitinya, ia merupakan pekerjaan sukar yang memerlukan pengorbanan masa dan tenaga. Tiada jaminan keselamatan diberikan, malah mereka berdepan bahaya yang boleh mengorbankan nyawa seperti yang dilalui oleh barisan aktor ini. Ada kalanya muncul di set penggambaran boleh diibaratkan seperti meletak nyawa di hujung tanduk.

Lihat barisan pelakon Hollywood yang hampir temui ajal ketika bekerja

 

5. Michael J Fox

pelakon

Foto: Universal Picture

Pelakon ini beruntung kerana terselamat ketika menjalani penggambaran filem Back to the Future Part 3 di mana dia hampir mati tergantung. Michael J Fox menyarung abah-abah dalam satu babak namun malangnya tali yang diikat di lehernya menjadi ketat, menyebabkan dia pengsan. Katanya kepada ScreenRant, “Saya tergantung dan tidak sedarkan diri selama beberapa saat sebelum pengarah, Bob Zemeckis menyedari apa yang berlaku.”

4. Aaron Paul

pelakon

Foto: AMC

Sewaktu penggambaran Breaking Bad musim pertama, Aaron Paul hampir mengalami kecederaan teruk. Dia menjelaskan kejadian yang berlaku dalam sesi temu bual yang disertakan bersama DVD musim pertama. Ketika menjalani penggambaran satu babak bersama Bryan Cranston, dia meminta kepada pengarah untuk bertukar posisi lalu diberi kebenaran. Tanpa diduga, batu seberat 40 paun terjatuh dari ketinggian 14 kaki terus ke tempat di mana dia baru sahaja berdiri. Ternyata tuah menyebelahinya ketika itu.

3. Tom Cruise

pelakon

Foto: Indiwire

Pelakon Edge of Tomorrow ini hampir menemui ajal ketika berlakon di samping Emily Blunt dalam filem tersebut. Emily berkata pengalaman yang berlaku pada 2014 itu adalah ketika merakam babak kejar-mengejar menaiki kereta. “Tom menggelabah sewaktu saya memandu menghampiri selekoh dan tidak henti-henti berkata, ‘Brek, brek, brek. Oh Tuhan. Brek, brek brek. Brek dengan kuat!’ Namun agak terlambat, saya sudah pun melanggar pokok. Saya hampir meragut nyawa Tom Cruise.”

2. Jason Statham

Foto: MovieStillsDB

Filem Expendables 3 sedang menjalani penggambaran di Bulgaria apabila Jason Statham berdepan detik bahaya dalam hidupnya. Sylvester Stallone sebagai penulis skrip filem itu menjelaskan apa yang berlaku kepada The Independant. “Dia sedang memandu uji trak tiga tan dan brek tiba-tiba putus.” Mujur Jason sempat melompat keluar sewaktu trak menjunam ke dalam Laut Hitam dari ketinggian 60 kaki. Lebih menyukarkan keadaan, dia menyarung but dan tali pinggang berat ketika itu. “Dia hampir mati lemas. Namun kerana Jason merupakan penyelam bertaraf Olimpik, dia berjaya menyelamatkan diri.”

See also
Kendall Jenner Disaman Rumah Fesyen Itali, Liu Jo Sebanyak RM7.6 Juta

1. Dylan O’Brien

Foto: Twentieth Century Fox

Ketika menjalani penggambaran sekuel Maze Runner: The Death Cure pada 2016, Dylan O’Brien dirempuh dengan kuat oleh sebuah kereta sebelum dilanggar kali kedua oleh kenderaan lain. Dia mengalami beberapa kecederaan parah termasuk konkusi, patah tulang wajah dan trauma otak. Penggambaran filem terpaksa dihentikan selama hampir setahun demi memberi masa kepadanya untuk pulih, termasuk menjalani pembedahan rekonstruktif. “Saya melalui perjalanan yang sukar dan panjang disebabkan kejadian itu. Mungkin ramai tidak menyedarinya,” katanya kepada Deadline Hollywood.

 

Foto: X

Baca: 5 Pelakon Berbakat Besar Dalam Bidang Nyanyian