Adele Tidak Berpeluang Meraih Status Pemenang EGOT, Ini Sebabnya - Glam Malaysia
Adele Tidak Berpeluang Meraih Status Pemenang EGOT, Ini Sebabnya

Adele Tidak Berpeluang Meraih Status Pemenang EGOT, Ini Sebabnya

Menjadi penerima EGOT adalah impian besar kebanyakan artis. Namun buat Adele, ia sangat mudah untuk dicapai.

EGOT yang merupakan pencapaian teragung di Hollywood adalah singkatan untuk individu yang pernah memenangi anugerah Emmy (rancangan televisyen), Grammy (muzik), Oscar (filem) dan Tony (teater muzikal). Penyanyi Inggeris itu menjadi antara artis tersohor kini dengan merangkul Emmy untuk rancangan istimewa Adele: One Night Only tahun lalu, memiliki 18 trofi Grammy dan memenangi Oscar untuk lagu asal terbaik Skyfall. Bagaimanapun sehingga kini dia masih belum berjaya menggenggam trofi Tony.

Sewaktu menjayakan segmen terakhir Carpool Karaoke bersama James Corden baru-baru ini, Adele berkata memiliki EGOT bukanlah sesuatu yang didambakannya. Walaupun hakikatnya semua orang tahu, dia hanya perlu mengambil satu langkah ke hadapan untuk meraih status itu.

adele EGOT

Foto: CNN

“Kali terakhir kita menjayakan Carpool Karaoke, anda adalah pemenang Oscar dan Grammy. Kemudian anda memenangi Emmy untuk rancangan istimewa anda. Ini bermakna anda hanya selangkah daripada Tony untuk meraih status EGOT. Anda sudah pun memiliki EGO,” kata James Corden. Pelantun Easy On Me itu berjenaka mengatakan dia sentiasa mempunyai ‘ego’, sebelum menjelaskan mengapa dia tidak akan pernah memenangi Tony.

“Saya tidak akan sesekali menghasilkan muzikal atau sesuatu seperti itu kerana saya bencikannya. Saya benar-benar tidak menyukainya. Saya rasa saya tidak pernah mendedahkan sebelum ini betapa bencinya saya pada muzikal.”

Walaupun tidak menyukainya, Adele mengakui amat menghormati semua jenis seni muzikal. “Saya cuma tidak perlu mendengar segalanya dalam bentuk lagu sepanjang masa. Saya juga rasa EGO lebih sesuai dengan diri saya.”

adele

Foto: Getty Images

Senarai Penerima EGOT

Di Hollywood, hanya 18 selebriti dan personaliti yang berjaya meraih pencapaian teragung itu setakat ini. Terbaharu adalah Viola Davis menerusi kemenangan Grammy pertama untuk memoirnya berjudul Finding Me. Pelakon, penerbit dan pengarang itu membawa pulang trofi Emmy pada 2015 (pelakon wanita utama terbaik dalam drama menerusi How to Get Away With Murder) dan Oscar pada 2017 (pelakon pembantu wanita terbaik menerusi Fences). Dia turut memenangi dua anugerah Tony: Satu pada tahun 2001 (pelakon terbaik dalam teater menerusi King Hedley II) dan satu lagi pada tahun 2010 (pelakon wanita utama terbaik dalam teater menerusi Fences).

Viola Davis EGOT

Foto: Good Morning America

“Ia merupakan satu perjalanan yang indah. Saya kini seorang EGOT!” katanya sewaktu memberi ucapan kemenangan di pentas Grammy pada bulan Februari lalu. Viola Davis merupakan individu berkulit hitam keempat yang berjaya meraih status itu selepas Whoopi Goldberg, John Legend dan Jennifer Hudson.

See also
10 Sumbangan Hebat Kylie Jenner Kepada Dunia

Richard Rodgers menjadi penerima EGOT pertama pada 1962 ketika berusia 59 tahun. Penerima lain adalah Helen Hayes, Rita Moreno, John Gielgud, Audrey Hepburn, Marvin Hamlisch, Jonathan Tunick, Mel Brooks, Mike Nichols, Scott Rudin, Andrew Lloyd Webber, Time Rice dan Alan Menken. Robert Lopez menjadi pemenang termuda dengan meraih status itu ketika berusia 39 tahun pada 2014.

 

Foto: Simon Emmett

Baca: Ed Sheeran & Adele Tolak Permintaan Raja Charles III