Punca Sebenar Victoria Beckham Tinggalkan Spice Girls
Isteri kepada David Beckham, Victoria mendedahkan dia meninggalkan kumpulan popular zaman 90-an Spice Girls kerana ingin menyemarakkan kembali hidupnya.
Dalam satu surat yang dilayangkan untuk dirinya di masa hadapan buat British Vogue, Victoria atau lebih dikenali sebagai Posh Spice berbicara mengapa dia manamatkan bab kerjayanya bersama kumpulan pop British tersebut.
Pereka fesyen yang kini berusia 46 tahun itu menjelaskan, sewaktu menghadiri konsert sahabat baiknya Elton John, dia sedar sudah tiba masanya untuk mengejar impian sendiri.
“Dia mempersembahkan lagu Tiny Dancer, seolah-olah ini kali pertama, dan anda (dirinya) sedar ia ibarat oksigen buatnya,” Victoria menulis, merujuk kepada persembahan Elton John di Las Vegas Residency. “Ia momen yang mengubah hidup – menyanyi dan menari membuatkan anda teruja, tapi ia bukan minat anda.”
Sambungan surat itu berbunyi, “Hari itu, anda bertekad untuk mula menerokai impian sendiri. Sudah tiba masanya untuk melangkah keluar daripada Spice Girls. Buat kali pertama, anda berjalan sendirian dan ia menakutkan. Menutup bab yang mendefinisikan diri anda selama ini agak menggerunkan.”
Victoria menyambung bagaimana dia terus mencipta semula dirinya dan mengabaikan kritikan negatif yang diterima.
“Anda selalu melihat hikmah di sebaliknya untuk membuka jalan sendiri. Pertama, anda menemui minat dalam bidang fesyen, kemudian baru-baru ini, bidang kecantikan. Apa seterusnya? Saya teruja untuk tahu.”
Surat yang dipaparkan British Vogue merupakan susulan kepada warkah yang dikarang pada 2017 buat dirinya yang berusia 18 tahun, di mana dia turut bercerita mengenai pengalamannya bersama kumpulan tersebut.
“Bersama-sama, anda akan buktikan tiada salahnya untuk tampil berbeza. Dan sebagai ahli Spice Girls, anda akan menjual 75 juta rekod. Anda tidak akan dapat membayangkan masa hadapan anda sekarang ini. Anda akan mengembara menaiki kapal terbang peribadi, melawat negara-negara indah, menginap di hotel ternama.”
Victoria meneruskan, “Anda cukup bertuah. Jika anda tidak menyertai Spice Girls, anda mungkin masih terperangkap dalam kepompong tidak yakin diri, dan anda tidak akan menjadi diri sendiri.”
Victoria membuat keputusan untuk tidak menyertai bekas ahli kumpulannya – Geri Halliwell, Melanie Chisholm, Melanie Brown dan Emma Bunton di kala mereka merancang untuk kembali bersama pada tahun 2019. Persembahan terakhirnya bersama Spice Girls adalah sewaktu Sukan Olimpik 2012 di London.
Foto: Getty Images for BVLGARI and EJAF
Baca: Tanpa Kim Cattrall, ‘Sex and the City’ Akan Kembali Di HBO Max