Putera Harry & Meghan Markle Diusir Dari Frogmore Cottage - Glam Malaysia
Putera Harry & Meghan Markle Diusir Dari Frogmore Cottage

Putera Harry & Meghan Markle Diusir Dari Frogmore Cottage

Keterlanjuran Putera Harry mendedahkan sisi gelap keluarganya dalam memoir Spare membawa padah apabila dia diusir keluar dari Frogmore Cottage, kediaman rasminya di Windsor.

Raja Charles III dilaporkan mengarah Putera Harry dan Meghan Markle untuk mengosongkan kotej mewah 10 kamar itu dan menghantar saki baki harta benda mereka ke Amerika Syarikat hanya selepas sehari Spare dilancarkan. Frogmore Cottage yang merupakan pemberian Ratu Elizabeth II kepada pasangan Sussex pada 2018 akan diserahkan kepada adik Raja Charles, Putera Andrew yang baru-baru ini juga telah diusir dari Istana Buckingham.

putera harry raja charles

Putera Harry dan Meghan berpindah ke Amerika Syarikat pada pertengahan Mac 2020 dan membeli sebuah kediaman di California pada musim panas tahun yang sama. Namun begitu Istana Buckingham mengekalkan Frogmore Cottage sebagai kediaman rasmi mereka di United Kingdom. Menurut laporan, Duke dan Duchess of Sussex menetap di situ setiap kali mereka pulang ke Britain sejak beberapa tahun lalu.

Putera Harry juga dilaporkan telah memulangkan kembali wang berjumlah RM12.8 juta yang dipinjamnya daripada Sovereign Grant untuk mengubah suai kotej itu sebelum mereka berpindah ke California.

harry raja charles

Foto: Alamy

Menurut pengarang Diraja Tom Bower, keputusan Raja Charles mengusir pasangan Sussex dari Frogmore Cottage bukanlah satu tindakan yang mengejutkan. “Harry dan Meghan memprovokasi Raja Charles dengan buku dan wawancaranya yang memalukan,” katanya merujuk kepada memoir Spare serta penampilan mereka dalam rancangan 60 Minutes dan The Late Show with Stephen Colbert.

See also
Meghan Markle Menjawab Soalan Mengenai Putera Harry Seperti Seorang Puteri Raja

Pengarang Revenge: Meghan, Harry and the War Between the Windsors itu menambah, “Maksud saya, apa yang dia jangkakan? Harry mahu keluarganya datang melutut memohon maaf dan dia melampaui batas kerana menganggap dirinya ‘terpaling’ mangsa.”

Dalam Spare, Duke of Sussex menuduh Raja Charles memanggilnya dengan gelaran ‘alat ganti’ selepas dilahirkan, tidak memeluknya sewaktu menyampaikan berita kemangkatan Puteri Diana dan sentiasa berjenaka bahawa dia bukanlah bapa kandung Harry.

Foto: Getty Images

 

Foto: Getty Images

Baca: 10 Fakta Mengejutkan Tentang Raja Charles III