Sembang Fesyen: Zery Zamry

Sembang Fesyen: Zery Zamry

Zery Zamry
 
Senantiasa fokus ketika berkarya, koleksi ciptaan Zery Zamry cukup glamor, sentiasa memukau. Berikannya walau sebidang kain polos, dia mampu merubahnya menjadi sesuatu yang indah.
 
Masih segar ingatan, himpunan Splendor of Nyonya Kebaya yang cukup anggun walau cuma berteraskan idea tradisi. Kombinasi bijak estetik era Victoria disulami bersama elemen tradisional Melayu klasik lantaran membuahkan sebuah himpunan yang magis. Pereka fesyen ini pernah meraih anugerah ketika Minggu Fesyen Kuala Lumpur pada 2006. Selain itu, busana rekaanya turut digemari selebriti-selebriti tanah air untuk ke acara permaidani merah. Ziana Zain pernah memenangi anugerah Best Dressed di Anugerah Bintang Popular 2011 apabila menyarung gaun ciptaannya.
 
Pereka busana pengantin kesukaan?
Sudah tentu saya memilih Zuhair Murad dan Elie Saab. Selain itu, himpunan Monique Lhuillier juga saya gemari. Siluet feminin bersama perincian teliti.
 
Pereka baru ramai yang hebat-hebat. Pernahkah anda berasa tergugat?
Tidak sama sekali. Bagi saya, ia amat bagus sekali kerana dengan adanya pereka muda ini barulah wujud saingan sihat. Kadang-kala, idealis dalam rekaan segar mereka mampu mengubah corak pemikiran lama fesyen tempatan kita.
 
Gaya signature Zery Zamry?
Sebagai pereka Melayu, saya tidak terlepas dengangaya rekaan berselera tradisional. Malah, elemen moden turut digabungkan dalam setiap helaian busana saya. Selain itu, perincian sarat labuci atau batu jemeki antara motif wajib dilakukan.
 
Jika diberi pilihan berkolaborasi bersama pereka tempatan lain dalam sesebuah peragaan fesyen, siapakah pilihan anda?
Sejak zaman universiti, saya sangat mengagumi kehebatan Radzuan Radzwill. Oleh itu, dia ialah individu pilihan paling tepat bagi saya dan mungkin dengan kolaborasi ini menjadi suatu momen paling terindah.
 
 

See also
8 Wanita "Crazy Rich Asians" Sebenar Dalam Dunia Fesyen