Filem Tempatan, Tiger Stripes Lakar Sejarah Di Cannes 2023 - Glam Malaysia
Filem Tempatan, Tiger Stripes Lakar Sejarah Di Cannes 2023

Filem Tempatan, Tiger Stripes Lakar Sejarah Di Cannes 2023

Selepas lebih sedekad bertanding dalam Minggu Kritik Antarabangsa Cannes, Malaysia akhirnya meraih kemenangan pertama menerusi filem Tiger Stripes.

Filem arahan Amanda Nell Eu itu mencatat sejarah sebagai filem tempatan pertama memenangi hadiah utama Minggu Kritik Antarabangsa Cannes ke-62. Dengan kemenangan itu, Eu membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM49,602. Pengarah dan ketua juri, Audrey Diwan memaklumkan Tiger Stripes merupakan karya pertama yang ditonton barisan juri sekali gus menarik perhatian mereka.

Pengarah berusia 38 tahun itu turut berkongsi komen daripada salah seorang juri, Kim Yutani di akaun Instagramnya. “Ini adalah filem yang mengekspresikan dalaman menjadi luaran – dan sebaliknya. Dan bagaimana transformasi daripada seorang anak gadis kepada wanita menimbulkan rasa takut dan terasing. Baik di kalangan di individu mahupun masyarakat. Ia memaparkan kisah alam baligh tradisional yang penuh kreativiti, penghormatan dan semangat luar biasa.”

Tiger Stripes merupakan filem Malaysia keempat yang bertanding dalam Minggu Kritik Antarabangsa Cannes sejak 13 tahun lalu selepas Kaki Bakar, Karaoke dan The Tiger Factory. Ia berkisar tentang seorang gadis remaja berusia 12 tahun, Zaffan yang mengalami tekanan dan perubahan drastik ketika mancapai usia akil baligh. Zaffan dipulau masyarakat kerana dianggap pelik. Selepas membuat melawan rasa takut dan menerima segala keanehan dalam dirinya, dia akhirnya menjadi wanita yang kuat.

Filem terbitan syarikat Ghost Grrrl Pictures ini dibintangi oleh Shaheizy Sam, Fatimah Abu Bakar, June Lojong serta barisan pelakon baharu, Zafreen Zairizal, Deena Ezral dan Piqa. Barisan penerbit termasuk Foo Fei Ling, Patrick Mao Huang, Fran Borgia, Juliette Lepoutre, Pierre Menahem, Jonas Weydemann, Ellen Havenith dan Yulia Evina Bhara. Filem ini turut meraih skor 100% daripada Rotten Tomatoes.

Tiger Stripes Sumber Inspirasi Buat Rakyat Malaysia

Selain pengarah, kejayaan filem ini tentunya membanggakan barisan pelakon termasuk Shaheizy Sam. Walaupun babak lakonannya sebagai pegawai perubatan tidak banyak, dia amat teruja kerana filem itu meraih pengiktirafan antarabangsa.

“Alhamdulillah, biarpun babak saya tidak banyak, saya gembira kerana sekurang-kurangnya ada sumbangan untuk naskhah itu. Saya tidak tahu mengenai kemenangan itu sehinggalah dimaklumkan oleh media. Saya hubungan Eu dan beliau sahkan perkara itu. Sebagai antara tenaga yang terlibat, saya bangga hasil kerja penggiat industri kreatif mendapat pengiktirafan dalam acara yang cukup berprestij,” katanya, memetik laporan BH Online.

Dalam berkongsi kegembiraan, Shaheizy Sam sempat meluahkan rasa terkilan kerana tidak dapat menyaksikan sendiri momen bersejarah itu. Walaupun menerima jemputan untuk menyertai barisan pelakon lain ke Festival Filem Cannes, dia terpaksa menolak kerana terikat dengan promosi filem Polis Evo 3 yang kini sedang menggegarkan pawagam tanah air.

tiger stripes

Foto: Instagram

 

Baca: 10 Filem Terbaik Lakonan Jake Gyllenhaal