Jessica Simpson Tayang Susuk Langsing Di Instagram - Glam Malaysia

Jessica Simpson Tayang Susuk Langsing Di Instagram

Sudah lebih setahun sejak Jessica Simpson mendedahkan yang dia berjaya menurunkan berat badan sebanyak 45 kilogram.

Dan ternyata dia masih kekal cantik dan langsing sehingga sekarang, buktinya apabila dia memuat naik foto terbaharu di Instagram pada Hari Natal lalu.

Penyanyi berusia 40 tahun itu mengenakan onesie Krismas rona merah putih yang dipadankan bersama beanie merah. Dalam foto tersebut, dia dirakam berwajah riang dengan celana panjang digulung dari paras pinggang ke bawah. Namun ada jenaka di sebaliknya.

“Saya ingatkan Eric rakam gambar dari pinggang ke atas…” selorohnya di ruangan kapsyen mengenai salah faham yang berlaku antara dia dan suami, Eric Johnson.

Simpson mempamerkan susuk langsing buat kali pertama pada September 2019, enam bulan selepas melahirkan anak perempuannya, Birdie. “Enam bulan. Turun 45 kilogram (ya, saya bermula dengan 108 kilogram),” tulisnya di Instagram waktu itu. “Banyak sebab untuk saya beremosi, namun saya bangga kerana kembali berasa seperti diri sendiri… Walaupun terasa mustahil, saya memilih untuk bekerja lebih keras.”

See also
Puteri Sulung Priyanka Chopra & Nick Jonas Diperkenalkan Kepada Dunia

Penulis Open Book yang mempunyai tiga cahaya mata ini berkongsi mengenai keadaan tubuhnya selepas melahirkan. “Ketika hamil, berat badan saya meningkat dengan banyak, maksud saya, banyak sekali. Saya tak jangka akan jadi seberat itu ketika hamil anak ketiga. Ingatkan saya boleh kawal diri, tetapi rupanya Tuhan mencipta saya sebegitu, sentiasa kelaparan ketika hamil,” ujarnya ketika menjadi tetamu jemputan di Home Shopping Network.

Walaupun sedang menjaga badan, Simpson tidak menolak semua makanan kegemarannya. “Apa yang saya makan kebanyakannya diperbuat daripada kubis bunga. Tapi saya akan makan satu peket Cheetos selepas itu. Saya rasa penting untuk catatkan apa yang kita makan supaya mudah mengawal diri,” tambahnya.

Dan nampaknya segala usaha kerasnya membuahkah hasil apabila dia berjaya memakai kembali jeans kesayangannya beberapa jam sebelum hari ulang tahunnya yang ke-40 Julai lalu. “Sudah 14 tahun saya simpan jeans True Religion ini di dalam almari. Dan memandangkan usia 30-an saya hampir berakhir dalam beberapa jam lagi, saya terfikir apa salahnya mencuba kembali jeans ini, dan helo 40-an, gembira bertemu anda,” tulisnya sebagai kapsyen.

See also
Betty Catroux – Muse Sebenar Yves Saint Laurent

Kata Simpson, momen itu sangat bermakna kerana sudah terlalu lama dia tidak memakai jeans dan hanya menyarungkan pakaian rumah hampir sepanjang tahun ini disebabkan pandemik Covid-19.

Foto: Evan Agostini/Invision/AP/Shutterstock

Baca: Hidap Endometriosis, Emma Roberts Akhirnya Bergelar Ibu