Pil Perancang Kehamilan: Panduan Setiap Wanita Perlu Tahu

Panduan Pil Perancang Kehamilan Yang Anda Perlu Tahu

Kehamilan pastinya anugerah yang diingini oleh ramai pasangan yang telah berumah tangga. Namun begitu, jika anda dan si dia belum bersedia, pastinya anda pernah mendengar penggunaan pil perancang kehamilan sebagai salah satu kaedah perancangan keluarga.

Pil perancang adalah sejenis kontraseptif yang berkesan sehingga 99%  untuk mencegah kehamilan apabila diambil secara konsisten setiap hari.

Pil ini mengandungi hormon yang mengawal haid, mengurangkan sakit senggugut, mengurangkan risiko kanser ovari dan rahim, mengawal kemunculan jerawat pada muka serta merawat endometriosis.

Apa Itu Pil Perancang Kehamilan?

Pil perancang adalah sejenis kontraseptif oral (diambil melalui mulut) yang menggunakan hormon untuk mencegah kehamilan. Ia mengandungi hormon sintetik yang mengawal tahap hormon semula jadi badan, menghalang ovulasi dan mengubah lendir serviks untuk menyukarkan sperma mencapai telur.

pil perancang kehamilan untuk setiap wanita yang merancang keluarga

Foto: Freepik

Pil perancang bertindak untuk mencegah kehamilan sekiranya anda mengambilnya setiap hari mengikut masa yang tetap. Berbeza dengan kaedah perancangan keluarga lain seperti kondom, pil ini tidak dapat melindungi anda daripada jangkitan seksual (STI). 

Jenis Jenis Pil Perancang Kehamilan

Untuk pengetahuan anda, terdapat dua jenis pil perancang dan kedua-dua pil ini mengandungi hormon seperti yang diujarkan tadi:

  • Pil kombinasi kontraseptif: Pil ini mengandungi dua hormon; estrogen, dan progestin. Ini jenis pil yang biasa ditemui di mana-mana klinik mahupun farmasi. Pil kombinasi ini sangat berkesan, dengan kadar kejayaan kira-kira 91-99% apabila diambil dengan betul.
  • Pil progestogen sahaja: Juga dikenali sebagai “minipill”, ia mengandungi hormon progestin sintetik sahaja. Ia adalah alternatif yang terbaik untuk wanita yang tidak boleh terima estrogen, menyusu badan atau mempunyai sejarah darah beku pada kaki atau paru-paru. Walaupun pil progestin sahaja kurang berkesan berbanding pil kombinasi, kadar kejayaannya masih sekitar 91-99% apabila diambil dengan betul.
See also
Koleksi BALENCIAGA terbaru Dan Perkara Menarik Sepanjang Bulan Ini

Adakah Pil Ini Tambah Berat Badan?

Salah tanggapan umum tentang pil kehamilan ialah ia menyebabkan penambahan berat badan. Walau bagaimanapun, kajian saintifik secara konsisten menunjukkan bahawa tidak ada kaitan langsung antara pengambilan pil kehamilan dengan penambahan berat badan yang ketara.

pil perancang kehamilan untuk setiap wanita yang merancang keluarga

Foto: Freepik

Walaupun sesetengah wanita mungkin mengalami turun naik badan sedikit akibat perubahan hormon ini, ia biasanya bersifat sementara dan tidak memberi impak besar untuk dikaitkan semata-mata kepada penggunaan pil.

Namun begitu anda perlu ingat bahawa badan setiap orang bertindak balas secara berbeza terhadap perubahan hormon, dan faktor-faktor seperti gaya hidup, genetik, dan metabolisme individu boleh memainkan peranan dalam sebarang perubahan berat badan yang dialami.

Oleh itu, anda digalakkan untuk mengekalkan diet seimbang dan kekal aktif secara fizikal bagi mengurangkan risiko kenaikan berat badan semasa pengambilan pil perancang kehamilan ini.

Cara Berkesan Untuk Ambil Pil

Sebelum anda mengambil pil perancang kehamilan, ada beberapa perkara penting yang anda perlu pertimbangkan dan garis panduan yang perlu diikuti. Walau bagaimanapun, yang paling utama adalah anda perlu rujuk kepada doktor atau pakar kesihatan terlebih dahulu untuk menyemak kesesuaian anda terhadap pil-pil ini.

See also
Karpet Merah di Filem Festival Toronto

Foto: Freepik

  • Mulakan mengambil pil pada hari pertama kitaran haid anda untuk perlindungan segera daripada kehamilan. Jika anda bermula pada bila-bila masa lain semasa kitaran anda, gunakan kontraseptif alternatif, seperti kondom, untuk tujuh hari pertama.
  • Ambil satu pil pada masa yang sama setiap hari. Jika anda seorang yang kuat lupa, cuba gunakan penggera dalam telefon pintar atau memasuk dalam kalendar harian bagi membantu anda untuk ingat.
  • Simpan pil dalam beg tangan, di rumah ataupun dalam kereta jadi sekiranya anda teringat untuk makan, ia berada di mana-mana sahaja.
  • Minta bantuan pasangan atau teman rapat anda untuk mengingatkan anda makan pil ini setiap hari.

Yang penting, anda perlu habiskan semua pil dalam pek yang anda beli, termasuk pil tidak aktif, jika ada. Ini akan memastikan anda mempunyai perlindungan tanpa gangguan dan membantu mengawal kitaran haid anda.

Sekiranya anda lupa untuk makan pil atau tertinggal dos, apa yang anda perlu lakukan ialah ambil pil yang terlepas sebaik sahaja anda ingat, dan teruskan mengambil dos biasa anda seperti biasa. Guna kontraseptif alternatif sehingga anda telah mengambil pil aktif tujuh hari. Anda juga boleh merujuk kepada sisip bungkusan pil tersebut untuk arahan seterusnya. Jika anda tidak pasti sudah berapa lama anda terlepas makan, anda boleh rujuk kepada doktor.

See also
Nick Jonas Berbicara Mengenai Puteri Sulung Buat Kali Pertama

Siapa Yang Tidak Boleh Ambil Pil Perancang?

Sekiranya anda memiliki kesihatan yang baik, tidak mengalami berat badan berlebihan, tidak merokok serta tidak mempunyai masalah perubatan, anda boleh mengambil pil pencegah kehamilan ini. Kebanyakan wanita mengambil pil ini sehingga putus haid.

Selain itu, jika anda mempunyai masalah kesihatan berikut anda tidak digalakkan untuk mengambil pil perancang ini. Antaranya anda ada penyakit hepatitis, kanser payu dara atau sedang mengambil ubat-ubatan, anda pernah mengalami serangan jantung atau strok, pembekuan darah di kaki, paru-paru atau mata, sakit dada, penyakit jaundis, tumor hati atau sedang hamil/disyaki hamil.

Doktor atau ahli farmasi boleh mencadangkan alternatif yang sesuai untuk anda bagi mencegah kehamilan, jadi jangan lupa untuk merujuk pada mereka.

Setelah anda memahami jenis pil perancang kehamilan yang anda di pasaran, anda tidak perlu lagi risau akan mitos penambahan berat badan. Yang penting, anda harus mengikut cara pengambilan yang betul, teruskan gaya hidup sihat serta rujuk kepada pakar jika anda mempunyai soalan.

Artikel Berkaitan: Persis Anak Patung! 10 Foto Terkini Puteri Kedua Juliana Evans