Potato Head Menjadi Syurga Buat Destinasi Gastronomi - Glam Malaysia

Potato Head Menjadi Syurga Buat Destinasi Gastronomi

Pada 2023, Potato Head disenaraikan dalam World’s 50 Best Hotels dan antara yang menjadi penariknya adalah pilihan tempat makan yang pelbagai.

Jika ke Bali, tidak mungkin akan lengkap aktivitinya tanpa singgah ke Potato Head. Kerana ia sudah menjadi ikon moden yang penting buat Bali, sejak terbinanya pada 2010. Sehingga kini, bangunan yang tersergam ala Colosseum rekaan Andra Matin terus maju dengan pelbagai pembaharuan yang mengikut aliran semasa. Jika awal pembukaan, ia hanyalah satu destinasi untuk para pengunjung menikmati pemandangan pantai dengan alunan muzik daripada DJ antarabangsa.

Kini, lokasi terulung Bali ini telah berkembang menjadi satu desa yang menyanjung kelestarian alam. Bukan itu sahaja, di Desa Potato Head ini juga menempatkan tempat makan yang mampu memenuhi selera semua. Di sini ada enam restoran yang mempunyai pengalaman kulinari yang berbeza yakni Tanaman, Kaum, Ijen, Sunset Park, Beach Club dan terkini Dome.

TIGA PENGALAMAN KULINARI PILIHAN GLAM DI DESA POTATO HEAD

DOME

See also
Bingkisan Istimewa Hari Ibu 2021

Dome menjadi penarik terkini di Potato Head. Restoran yang dibina seakan satu kapal angkasa siap sedia membawa semua ke ruang gastronomi yang cukup mengagumkan dengan berpegang pada moto ‘Good Times, Do Good’. Restoran ini diketuai oleh Chef Diego Recarte dan dia memperkenalkan hidangan berasaskan semula jadi serta setiap bahan adalah hasil keluaran tempatan. Reka bentuk Dome ini mengabadikan idea Buckminster Fuller, yakni seorang aktivis hijau dan arkitek yang bersifat futuristik. 

TANAMAN

POTATO HEAD Sejak diperkenalkan, Tanaman menjadi satu pilihan lokasi tempat makan paling popular buat mereka yang mahukan hidangan berasaskan organik dan hijau. Kini, Restoran ini memberikan servis lebih menyeluruh di Desa Potato Head buat hidangan sarapan, tengah hari dan malam. Keunikan yang dimiliki oleh pasukan di Tanaman adalah setiap bahan yang digunakan didapatkan oleh para petani regeneratif tempatan. Chef akan menggunakan setiap bahagian sayuran dan memastikan tiada yang terbuang.

KAUM

Mestilah apabila di Indonesia semua mahu merasa masakan tradisional mereka. Makanya, pilihan di Kaum ini mampu menepati permintaan selera semua. Bukan sahaja mempunyai makanan lokal, di restoran ini juga tersedia masakan asli daripada bahagian Indonesia yang lain seperti Maluku, Sumatera Barat dan Kepulauan Jawa. Kaum meraikan dan mempersembahkan rasa asal usul masakan Indonesia yang diilhamkan oleh suku asli Nusantara kepada khalayak global yang lebih luas.

See also
Galaxy S22 Ultra: Kuasai Prestasi Peranti Premium Siri S

Artikel Berkaitan: 5 Filem Terbaik Dian Sastrowardoyo, Bintang Gadis Kretek