Sekitar Majlis Perkahwinan Pewaris Jordan, Putera Al Hussein & Rajwa Al Saif - Glam Malaysia
Sekitar Majlis Perkahwinan Pewaris Jordan, Putera Al Hussein & Rajwa Al Saif

Sekitar Majlis Perkahwinan Pewaris Jordan, Putera Al Hussein & Rajwa Al Saif

Tanggal 1 Jun 2023 melakar detik bahagia buat Putera Al Hussein apabila disatukan dengan wanita pilihan hatinya, Rajwa Al Saif.

Pasangan itu diijabkabulkan sebagai suami isteri di Amman, ibu kota Jordan. Putera Al Hussein dan isterinya yang merupakan warga Arab Saudi kemudian diarak ke Istana Al-Husseiniya untuk diraikan dalam majlis gilang-gemilang. Rajwa yang kini dikenali sebagai Puteri Rajwa Al Hussein kelihatan anggun dalam gaun putih suci rekaan Elie Saab.

PUTERA AL HUSSEIN & RAJWA AL SAIF

Majlis akad nikah berlangsung di Istana Zahran, lokasi sama di mana Raja Abdullah II dan Permaisuri Rania disatukan pada 1993. Ia dihadiri sekitar 140 tetamu termasuk ahli keluarga Hashemite, kerabat Diraja dan pemimpin negara dari seluruh dunia.

PUTERA AL HUSSEIN & RAJWA AL SAIF

Paling mencuri perhatian rakyat Malaysia tentunya Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah. Tetamu dari golongan kenamaan dan kerabat Diraja lain termasuk Putera William dan Puteri Kate Middleton, Wanita Pertama Amerika Syarikat Jill Biden, serta Putera Mahkota Frederik dan Puteri Mahkota Mary dari Denmark. Tidak lupa juga Sultan Hassanal Bolkiah dari Brunei dan puteranya yang kacak, Putera Abdul Mateen.

See also
10 Gaun Perkahwinan Diraja Unik Dari Seluruh Dunia

PUTERA AL HUSSEIN & RAJWA AL SAIF

PUTERA AL HUSSEIN & RAJWA AL SAIF

Pengantin perempuan tiba di Istana Al-Husseiniya menaiki Rolls-Royce Phantom V 1968 bersama adik Putera Al Hussein, Putera Hashem. Putera Mahkota tiba lebih awal dalam pakaian seragam tentera penuh istiadat dan pedang bertali emas. Rajwa Al Saif diiringi ke gazebo di mana upacara akad nikah dijalankan oleh Imam Mahkamah Hashemite Diraja, Dr Ahmed Al-Khalaileh.

PUTERA AL HUSSEIN & RAJWA AL SAIF

PUTERA AL HUSSEIN & RAJWA AL SAIF

PUTERA AL HUSSEIN & RAJWA AL SAIF

PUTERA AL HUSSEIN & RAJWA AL SAIF

Putera Al Hussein & Rajwa Al Saif Berarak Ke Majlis Resepsi

Usai pernikahan, rakyat Jordan membanjiri laluan sejauh 10 kilometer untuk melihat pasangan itu berarak ke lokasi majlis resepsi menaiki Range Rover 1984 buatan khas. Perarakan itu menampilkan lapan Land Rovers 1980-an merah dan 11 motosikal BMW merah milik Unit Konvoi Diraja, sebahagian daripada penubuhan tentera khas dikenali sebagai Pengawal Diraja. Pancaragam Muzikal Angkatan Tentera Jordan turut membuat persembahan semasa acara itu.

PUTERA AL HUSSEIN & RAJWA AL SAIF

Seperti kebiasaan, ketibaan pasangan pengantin disambut dengan persembahan zaffeh oleh Pasukan Muzikal Angkatan Tentera Jordan. Kesemuanya dilihat menyarung shemagh merah-putih, hiasan kepala tradisional lelaki sebagai tambahan kepada pakaian seragam lengkap.

See also
Impian Gwen Stefani & Blake Shelton Untuk Bergelar Suami Isteri Akhirnya Menjadi Nyata

PUTERA AL HUSSEIN & RAJWA AL SAIF

Selepas melewati gerbang kehormat, pasangan itu bersalaman dengan lebih 1,700 tetamu ditemani kerabat Diraja Jordan. Majlis itu kemudian dimeriahkan dengan persembahan daripada penyanyi tempatan dan serantau, kumpulan koir, orkestra kebangsaan dan kumpulan tarian rakyat.

Dekorasi Majlis Resepsi Pasangan Mempelai

Menurut Mahkamah Hashemite Diraja, ruang menyambut tetamu di Istana Al-Husseiniya direka untuk mempamerkan tradisi, seni bina halus dan persekitaran semula jadi Jordan. Saat tiba, tetamu melewati laluan berinspirasikan padang pasir yang menampilkan permaidani Badwi tenunan tangan sepanjang 20 meter.

Dikelilingi bunga liar yang mencerminkan landskap asli, kedatangan tetamu dialu-alukan dengan kopi tradisional dan muzik Arab kala menuju ke majlis resepsi. Sebaik tiba di ruang tetamu, mereka disambut dengan pemandangan pokok zaitun dan pokok kurma yang mewakili keramahan budaya Jordan dan Arab Saudi. Ruang itu menampilkan lima gerbang berskala besar, diilhamkan oleh seni bina istana dan warna landskap padang pasir Wadi Rum Jordan.

Tempat duduk tetamu dihiasi dengan corak sulaman tradisional, manakala meja tetamu diperbuat daripada batu Madaba semula jadi dan dihiasi dengan pasu kaca serta tembikar tanah liat tradisional. Dekorasi itu juga menggabungkan batu basalt yang dipalu tangan dari utara Jordan dan bunga melati yang memenuhi pintu gerbang istana. Majis resepsi diakhiri dengan acara memotong kek tujuh tingkat oleh pasangan mempelai.

See also
Kejutan Ulang Tahun Kelahiran Daripada Harry & Meghan Markle Buat Kate Middleton

Persiapan perkahwinan Putera Al Hussein dan Rajwa Al Saif mengambil masa hampir setahun selepas mereka mengikat tali pertunangan pada Ogos 2022. Pasangan itu bertunang di kediaman pengantin perempuan di Riyadh disaksikan keluarga kedua belah pihak.

Keluarga Rajwa Al Saif bukanlah calang-calang. Bapanya, Khalid bin Musaed mempunyai pertalian darah dengan kerabat Diraja Arab Saudi. Dia berketurunan suku Subay yang wujud di wilayah Sudair di Najd sejak permulaan era Raja Abdulaziz. Sementara itu ibunya, Azza binti Nayef Abdulaziz berasal dari keluarga Al-Sudairi yang terkenal.

Foto: Arab News/Royal Hashemite Court/YouTube

Baca: 15 Foto Majlis Berinai Rajwa Al Saif, Bakal Permaisuri Jordan